18 Januari 2022

Ujian klinikal herba Cina berjaya rawat pesakit COVID-19

 Pihak berkuasa kesihatan Pakistan mengumumkan kejayaan melengkapkan ujian klinikal ubat herba tradisional Cina untuk merawat pesakit COVID-19. - Foto AFP

Pihak berkuasa kesihatan Pakistan mengumumkan kejayaan melengkapkan ujian klinikal ubat herba tradisional Cina untuk merawat pesakit COVID-19. - Foto AFP

KARACHI: Pihak berkuasa kesihatan Pakistan hari ini mengumumkan kejayaan melengkapkan ujian klinikal ubat herba tradisional Cina untuk merawat COVID-19, ketika negara Asia Selatan itu dilanda gelombang kelima pandemik.

Ubat dikenali sebagai Jinhua Qinggan Granules itu dihasilkan oleh Juxiechang (Beijing) Pharmaceutical Co Ltd, sudah pun digunakan untuk merawat pesakit COVID-19 di China.

Pengarah Pusat Sains Kimia dan Biologi Antarabangsa, Prof Iqbal Chaudhry, berkata ujian klinikal ubat herba tradisional Cina itu dilaksanakan terhadap pesakit yang dijangkiti dengan beberapa varian COVID-19.

"Memandangkan ia diuji terhadap pesakit dijangkiti varian COVID-19 yang berbeza-beza, kami menjangkakan ia berkesan terhadap Omicron serta varian lain," katanya.

Sementara itu, ketua ujian klinikal berkenaan, Dr Raza Shah, berkata ujian itu membabitkan 300 pesakit yang dirawat di rumah dan ubat terbabit bagi kes COVID-19 ringan dan sederhana dengan kadar keberkesanan 82.67 peratus.

Ujian klinikal itu diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Pakistan.

Pakistan merekodkan 4,340 kes COVID-19 hari ini iaitu kes harian tertinggi direkodkan dalam tempoh tiga bulan dengan Karachi merekodkan kadar positif 39.39 peratus pada hujung minggu lalu.

Pusat Operasi Pentadbiran Nasional Pakistan yang bertanggungjawab mengurus tindak balas pandemik dilaporkan berkata, kes COVID-19 dalam tempoh tujuh hari lalu meningkat 170 peratus, manakala kes kematian melonjak 62 peratus. - Reuters

Tiada ulasan: