11 Januari 2022

AS catat 1.1 juta kes COVID-19 sehari

 Amerika Syarikat (AS) mencecah sekurang-kurangnya 1.13 juta semalam, sekali gus menjadikan kadar rekod tertinggi dalam tempoh 24 jam. - Foto AGENSI

Amerika Syarikat (AS) mencecah sekurang-kurangnya 1.13 juta semalam, sekali gus menjadikan kadar rekod tertinggi dalam tempoh 24 jam. - Foto AGENSI

WASHINGTON: Penularan kes jangkitan COVID-19 di Amerika Syarikat (AS) mencecah sekurang-kurangnya 1.13 juta semalam, sekali gus menjadikan kadar rekod tertinggi dalam tempoh 24 jam.

Kadar tertinggi yang dicatatkan sebelum ini ialah 1.03 juta pada 3 Januari lalu.

Peningkatan mendadak kes COVID-19 di AS semalam dipercayai berpunca daripada pertambahan kes yang tidak dilaporkan segelintir negeri pada hari minggu lalu.

Purata kes baharu dalam tempoh tujuh hari pula merekodkan lonjakan tiga kali ganda, hanya dalam masa 14 hari, mencecah 700,000 kes baharu sehari.

Tidak semua negeri di AS sudah melaporkan kes jangkitan masing-masing semalam, justeru angka kes dijangka lebih tinggi.

Turut mencatatkan peningkatan ialah kadar kemasukan pesakit ke hospital, menjangkau dua kali ganda dalam tempoh tiga minggu.

Berdasarkan perangkaan semasa, lebih 135,500 orang dimasukkan ke hospital berikutan COVID-19, melangkau rekod terdahulu iaitu 132,051 orang yang dicatatkan pada Januari tahun lalu.

Meskipun varian Omicron mengundang potensi kurang berbahaya, pegawai kesihatan memberi amaran bahawa peningkatan jumlah jangkitan berupaya menambah beban terhadap sistem perkhidmatan hospital, selain penangguhan prosedur pembedahan elektif.

Hal itu kerana petugas di hospital terpaksa memberi tumpuan terhadap rawatan pesakit COVID-19, sekali gus berdepan kekurangan tenaga perubatan.

Lonjakan kes turut merencatkan operasi sekolah yang berdepan kekurangan pegawai, guru dan pemandu bas sekolah.

Chicago membatalkan kelas pada hari keempat, selepas daerah berkenaan dan barisan gurunya belum menentukan keputusan untuk menangani isu lonjakan kadar jangkitan.

New York pula menghentikan operasi tiga kereta api bawah tanah, memandangkan sebahagian besar pekerjanya dilaporkan sakit.

Usaha beberapa syarikat supaya pekerja kembali ke pejabat juga tertangguh berikutan penularan varian Omicron.

Kadar kematian ketika ini berada di sekitar 1,700 sehari, iaitu peningkatan daripada kira-kira 1,400 kes dalam tempoh beberapa hari lalu. - REUTERS


Tiada ulasan: