NEW YORK: Individu terkaya Asia, Mukesh Ambani telah berjaya membeli hotel mewah, Mandarin Oriental di sini dengan harga yang dikira sebagai murah, hanya AS$98.2 juta (RM410 juta).
Pemilik konglomerat Reliance Industries itu mengumumkan pada Sabtu, beliau telah berjaya membeli majoriti pemerolehan saham syarikat induk hotel itu, firma yang berpangkalan di Cayman Islands dan dikawal oleh Investment Corporation of Dubai.
Sehubungan itu, Reliance secara tidak langsung memegang 73.4 peratus kepentingan dalam aset hartanah berkenaan.
Perjanjian itu dijangka ditutup pada akhir Mac ini dan Reliance berkata bahawa ia akan merancang untuk memperoleh baki pegangan saham Mandarin Oriental berdasarkan penilaian yang sama jika pemilik lain hartanah tersebut memilih untuk turut menjual saham mereka.
Investment Corporation of Dubai mengambil alih bangunan hotel berkenaan pada 2015, yang mana sehingga Mac 2021, Mandarin Oriental Hotel Group masih memiliki 25 peratus kepentingan, menurut laporan tahunan terbaharu syarikat itu.
Harga AS$98.2 juta itu mewakili diskaun yang ketara berdasarkan laporan pemegang saham 2007 dari Mandarin Oriental Group yang mendedahkan nilai sebenar hartanah berkenaan mencecah AS$340 juta.
Seperti kebanyakan hotel, Mandarin Oriental dilanda impak pandemik Covid-19. Dalam pemfailan bursa saham Sabtu, Reliance berkata bahawa hotel berkenaan memperoleh hanya AS$15 juta sepanjang tahun 2020, berbanding AS$115 juta dan AS$113 juta masing-masing pada 2018 dan 2019.
Hotel ikonik yang terletak berhampiran Central Park dan menghadap ke Columbus Circle, merupakan pencetus buat Reliance yang sebelum ini terkenal dalam bisnes berkaitan tenaga, peruncitan dan teknologi bagi mengembangkan lagi empayar perniagaannya di peringkat global.
Reliance kini mempunyai pegangan saham di Oberoi Hotels, koleksi resort lima bintang di seluruh India dan enam negara lain, serta Stoke Park, sebuah kelab desa Inggeris yang terkenal di United Kingdom.
Terdahulu, Ambani, 64, telah membuat perjanjian sepanjang wabak Covid-19 untuk mengumpulkan berpuluh-puluh bilion dolar bagi mengejar matlamatnya untuk menjadikan Reliance sebagai gergasi teknologi global utama yang seterusnya.
Menurut indeks Bloomberg Billionaires, kekayaan peribadi Ambani juga meningkat dalam beberapa bulan kebelakangan ini kepada AS$92.9 bilion, menjadikan beliau orang terkaya di India dan Asia, serta individu kesebelas terkaya di dunia. – Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan