12 Januari 2022

Lebih separuh penduduk Eropah mungkin dijangkiti Omicron

 FOTO HIASAN EPA

FOTO HIASAN EPA

Copenhagen: Lebih separuh penduduk Eropah mungkin dijangkiti varian Omicron dalam tempoh dua bulan sekiranya jumlah jangkitan kekal pada kadar semasa, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pengarah Serantau, Hans Kluge memberi amaran bahawa varian Omicron mewakili 'gelombang baru dari barat ke timur' yang melanda Eropah.

"Pada kadar semasa, Institut Penilaian Metrik Kesihatan (IHME) menjangka lebih 50 peratus populasi di rantau ini akan dijangkiti Omicron dalam tempoh enam ke lapan minggu," katanya.

Rantau Eropah di bawah WHO meliputi 53 negara dan kawasan termasuk beberapa negara di Asia Tengah.

Kluge berkata, 50 negara daripada rantau ini sudah mengesahkan kes varian Omicron.

Menurut WHO, 26 daripada negara berkenaan melaporkan lebih satu peratus daripada populasi mereka dijangkiti Covid-19 setiap minggu, setakat 10 Januari 2022.

Malah, rantau berkenaan juga menyaksikan lebih tujuh juta kes baharu dilaporkan pada minggu pertama 2022.

Merujuk data yang dikumpul sejak beberapa minggu lalu, Kluge berkata, varian itu disahkan lebih mudah menular dan "mutasi yang dimilikinya membolehkannya melekat pada sel manusia dengan lebih mudah, dan ia boleh menjangkiti walaupun mereka yang pernah dijangkiti atau diberi vaksin."

Bagaimanapun, Kluge juga menegaskan bahawa "vaksin yang diluluskan terus memberikan perlindungan yang baik terhadap penyakit dan kematian yang teruk, termasuk untuk Omicron."

AFP.

Tiada ulasan: