Oleh SARINA ISMAIL
ALOR SETAR: Menteri Besar menegaskan pembinaan stadium baharu Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tidak melibatkan wang kerajaan negeri.
Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, stadium yang bakal dibina di Sungai Petani itu akan ditanggung sepenuhnya KDA FC dengan usaha sama pihak tertentu.
“Saya sedar ada pihak yang mempertikaikan pembinaan stadium terbabit. Tetapi mereka yang komen itu sebenarnya tak tahu apa-apa.
“Saya ada juga baca orang pertikai kononnya loji air tak siap, dah nak buat stadium pula,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Widad K-League 2022 di Seri Mentaloon di sini.
Menurutnya juga tanah untuk membina stadium dibuat pengambilan sejak beberapa tahun lalu oleh kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK).
Namun, kata beliau memandangkan wang belum ada ketika itu, maka tanah terbabit (lokasinya tidak jauh dari litar lumba di Ambangan Heights) terbiar sehingga sekarang.
“Baru-baru ini apabila KDA FC bersama rakan usahasama cadang nak buat stadiuam di situ maka kita setujulah.. Bukan pakai duit kerajaan pun,” kata beliau.
KDA FC baru-baru ini mengumumkan pembinaan stadium baharu di Sungai Petani yang bakal dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk pusat latihan dan fasiliti bola sepak moden bernilai RM70 juta.
Sanusi juga berkata, lokasinya begitu strategik terletak di tengah-tengah negeri bagi memudahkan peminat bola sepak seluruh Kedah datang. – HARAKAHDAILY 18/2/2022
Tiada ulasan:
Catat Ulasan