02 Februari 2022

Cuti tamat, lebuh raya utama sesak ke Kuala Lumpur

 Keadaan Lebuhraya Utara Selatan dekat Tapah menghala ke Kuala Lumpur yang dilaporkan oleh LLM menerusi Twitter - Foto NSTP/Twitter LLM

Keadaan Lebuhraya Utara Selatan dekat Tapah menghala ke Kuala Lumpur yang dilaporkan oleh LLM menerusi Twitter - Foto NSTP/Twitter LLM

KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa kawasan di sekitar lebuh raya utama mula sesak selepas orang ramai tamat cuti umum sempena Tahun Baharu Cina, hari ini.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam laporan media sosialnya menyatakan sehingga jam 5 petang tadi trafik perlahan di beberapa laluan di Lebuhraya Utara Selatan.

Aliran trafik perlahan di Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di Sungai Petani Utara ke Sungai Petani Selatan; Permatang Pauh ke Perai; Juru Auto City ke Jawi; Bandar Baharu ke Alor Pongsu; Taiping Utara je Changkat Jering; Sungai Perak ke Terowong Menora, Ipoh Selatan ke Gopeng; Hentian Gua Tempurung-Tapah dan Bidor ke Sungkai.

Trafik juga perlahan di lebuhraya sama arah utara sebelum masuk Plaza Tol Rawang Selatan; Slim River ke Sungkai; Sungkai ke Bidor; sebelum masuk Plaza Tol Tapah; selepas Tapah ke Hentian Sebelah Gua Tempurung dan Bandar Baharu ke Bandar Cassia.

Selain itu, Lebuhraya Utara Selatan arah utara turut sesak di Bukit Gambir ke Ayer Keroh; sebelum masuk Plaza Tol Ayer Keroh; kawasan rehat dan rawat (RNR) Ayer Keroh ke Hentian Sebelah Pedas Linggi; Pedas Linggi ke Port Dickson dan sebelum masuk Plaza Tol Port Dickson.

Di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak pula, trafik sesak arah barat ke Kuala Lumpur di persimpangan Karak ke Plaza Tol Bentong dan selepas Plaza Tol Bentong ke Bukit Tinggi.

Sementara itu, aliran trafik di Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) sebelum masuk Plaza Tol Penawar arah Cahaya Baharu turut perlahan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000 dan laman Twitter di http://www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-887752 serta laman Twitter di http://www.twitter.com/LLMinfotrafik.

BHARIAN.

Tiada ulasan: