02 Februari 2022

Tidak perlu polemikkan urusan ditangani pimpinan

 

TAIPING: Ahli-ahli PAS mesti fokus kepada gerak kerja semasa tadbir urus parti dan kerajaan serta menggiatkan kerja melaksanakan strategi telah disusun untuk PRU15 tanpa mempolemikkan perbincangan peringkat pimpinan.

Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria meminta supaya ahli-ahli PAS memberi thiqah kepercayaan kepada para pimpinan bagi memutuskan sesuatu perkara, sebaliknya menumpu kepada kelancaran amanah dan tanggungjawab dipikul.

“Sekarang kita fokus pada penambahan pengundi sesuai dengan Gerak Kerja 24 jam (G24) yang kita telah lancarkan baru-baru ini. Kalau Mac ada PRU, kita (sudah) ready. Kalau bulan 7 (Julai) ada PRU, kita ready. Gerak kerja ini perlu didukung sepenuhnya bermula dari akar umbi lagi.

“Kita tak payah ambillah kerja yang atas-atas (pimpinan). Dengan siapa (PAS) nak duduk, kerusi nak berapa. Kita yang bawah-bawah ni terima arahan sahaja. Kalau tidak kita akan pening.

“Yang tak perlu tanya, jangan kita tanya. Beri tsiqah kepada keputusan pimpinan. Itu akhlak yang kita perlu ada” tegasnya pada ucapan pergulungan Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS peringkat negeri Perak di Hotel Taiping Perdana, di sini kelmarin.

Beliau pada ucapan itu menyeru supaya tuntutan siap siaga semampu mungkin yang diadakan dari segi harta dan tenaga dapat memenuhi hikmah ayat surah al-Anfal iaitu untuk menggerunkan musuh-musuh Allah.

Serunya, sebagai bukti kesiapsiagaan menghadapi PRU15 akan datang, PAS Perak kini sedang giat menyusun strategi penambahan pengundi baharu memandangkan ia merupakan antara tiket utama PAS untuk menang.

Peringatnya juga, ahli PAS mesti sentiasa bersedia untuk memikul amanah dan tanggungjawab dengan baik di seluruh peringkat antaranya PAS Kawasan, Negeri mahupun jika diberi ditaklifkan memegang mana-mana portfolio setelah menang PRU.

“Kehancuran negara berpunca daripada integriti. Integriti ini bukan soal mengurus kewangan sahaja, ia termasuk bagaimana amanah itu dilaksanakan jika telah dipertanggungjawabkan ke atas bahu kita. Bukan sekadar seronok dapat jawatan itu ini,” pesannya lagi. – HARAKAHDAILY 1/2/2022

Tiada ulasan: