02 Februari 2022

Tidak campur siasatan RCI Tabung Haji – Idris

 

IDRIS Ahmad (dua dari kanan) meninjau kerja-kerja membaik pulih rumah penduduk yang terjejas akibat dipukul ribut di Kampung Tawas, Ipoh, Perak, hari ini. - FOTO/ZULFACHRI ZULKIFLI

IPOH: Kerajaan tidak akan mencampuri siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu berbangkit mengenai Tabung Haji (TH).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, pihaknya memberi kepercayaan penuh kepada pasukan yang memulakan tugas dengan mengadakan mesyuarat pertama Rabu lepas. 

Menurut beliau, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pasukan siasatan yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) itu bagi menyiasat isu-isu pengurusan dan operasi Tabung Haji.

Ads by Kiosked

“Kita tidak masuk campur sebaliknya kita hanya beri senarai nama (anggota RCI) kepada Yang di-Pertuan Agong dan baginda telah memberi tauliah, maka kita beri kebebasan kepada mereka untuk melakukan apa sahaja dalam RCI.

“Sikap kita dalam soal ini mesti tak nak ganggu perjalanan siasatan. Kita hanyalah nak tahu dapatan siasatan. Akhir nanti mereka akan berikan hasilnya dan itulah keputusannya,” katanya. 

Beliau ditemui pemberita semasa menyampaikan sumbangan kepada mangsa ribut dan puting beliung di Kampung Tawas, di sini hari ini.

Menurut Idris, kesemua enam ahli RCI yang dilantik merupakan individu yang terdiri daripada golongan yang berintegriti dan berautoriti serta mempunyai kepercayaan baik dikalangan masyarakat. 

“RCI sedang berjalan dan kita membantu mereka yang terlibat. Biarlah ia satu badan yang bebas daripada kita,” katanya. 

Pada 14 Julai tahun lepas kerajaan bersetuju menubuhkan RCI di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu berkaitan Tabung Haji.

Ads by Kiosked

Manakala pada 20 Januari lalu, kerajaan mengumumkan pelantikan enam ahli RCI diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Raus Sharif setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menyelesaikan isu-isu berbangkit berkaitan TH dalam tempoh 2014 hingga 2020.

Sementara itu, mengenai mangsa kejadian ribut yang berlaku pada Ahad lalu, Idris berkata, beberapa keluarga mangsa menerima bantuan wang tunai RM300 dan bekalan barang keperluan bernilai RM100 setiap keluarga.

“Setiap kali bencana agensi-agensi agama akan turun dengan segera untuk membantu mereka yang terkesan walaupun bukan beragama Islam, kerana bencana tidak mengira agama dan bangsa, lebih-lebih lagi kita hidup dalam masyarakat majmuk,” katanya. – UTUSAN

Tiada ulasan: