04 Februari 2022

UMMAH BERSEDIA MENJADI PENGANJUR SIDANG MUAFAKAT PERPADUAN UMMAT DIANTARA PEMIMPIN POLITIK DAN NGO ISLAM



Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) telah meneliti dengan penuh minat dan harapan kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Tan Sri Anuar Musa yang melihat bahawa satu pertemuan penting diantara pemimpin politik Melayu dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu Islam harus diadakan sebelum menjelangnya Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Ini berikutan mutakhir ini kelihatan semangat perpaduan ummah bagi menjadi benteng mempertahankan Islam dan Melayu dinegara ini kian rapuh akibat daripada nafsu untuk berebut kuasa diantara kelompok tertentu parti parti politik.

Kuasa politik Melayu Islam merupakan asas penting kepada kestabilan dan kemakmuran negara ini sebagaimana yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu Islam Agama Persekutuan dan Melayu adalah kaum majoriti dalam negara ini.

Jika kuasa Islam dan Melayu tewas dinegara ini, maka ini akan dan boleh menjadi penyebab kepada mengugat kestabilan dan kemakmuran negara.

Keputusan PRU14 yang lepas telah kita menyaksikan dan pasrah bahawa kuasa Melayu Islam terlepas daripada menguasai politik dan pentadbiran negara, akibatnya tindakan dan polisi kerajaan Pakatan Harapan yang liberal terhadap Islam dan Melayu telah menimbulkan suasana yang tegang berlaku diantara kaum dan agama di negara ini. Ini telah menimbukan bibit bibit api persengketaan kaum dan agama yang mula menjadi api dalam sekam.

Pada 8 Dis 2018, Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) telah mengambil inisiatif bersama lebih 500 NGO Islam yang telah disertai juga oleh pemimpin parti-parti politik Melayu Islam telah bersama sama menganjurkan himpunan perpaduan ummah membantah ICERD bagi mempertahan Raja Melayu ,Islam dan Melayu di Dataran Merdeka yang telah berjaya menghimpunkan sejuta ummat yang bertemakan putih melambangkan perpaduan ummah dan perdamaian. Menyeru semua pihak berdamai dan bermuafakat mempertahan kedaulatan negara.

Bermula daripada titik bersejarah inilah telah membawa kepada usaha kearah perpaduan parti parti politik melayu Islam yang terbesar iaitu Umno dan PAS dan lain-lain parti yang juga bersama dengan gagasan perpaduan ummah ini.

Perpaduan rakyat ini akhir nya menatijahkan kepada jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan terbentuk pula kerajaan Perpaduan Nasional (PN) sehingga ke hari ini.

Adakah kita akan bersengketa dan berpecah semula ? setelah kita membena permuafakatan ..sudah tentu tidak kerana ini akan meruntuhkan semula ummat.

Sekiranya selepas ini berlaku lagi perpecahan kuasa politik ummat Islam dan Melayu di negara ini, maka ini akan membuka semula peluang dan ruang kepada pihak lain untuk menguasai semula kuasa poiltik dan pentadbiran di negara ini.

Jesteru itu, sangat wajar perpaduan ummah diperkemaskan semula bagi mempertahankan hala tuju dan matlamat yang lebih besar bagi membena perpaduan negara yang akan menjamin masa depan negara.

UMMAH sangat menyokong usaha ini dan bersedia menjadi pihak pengajur bersama kepada program ini kearah perbincangan yang dicadangkan oleh Tan Sri Anuar Musa bagi memperkukuhkan perpaduan dan muafakat ummah.

Semoga semua pihak samada pemimpin parti politik, pemimpin NGO dan tokoh Agamawan, Kaum serta Masyarakat segera berlapang dada dan bersedia untuk bermuzakarah ke meja rundingan demi memartabatkan perpaduan ummah bagi mempertahan Islam, Melayu dan tanahair demi masa depan anak cucu kita di negara ini.

MOHD ZAI MUSTAFA
Pengerusi
Gerakan Pembela Ummah (UMMAH)
4 Feb 2022

Tiada ulasan: