04 Februari 2022

Tiada SOP khusus untuk solat Terawih

 Gambar hiasan

Gambar hiasan

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak akan membuat sebarang prosedur operasi standard (SOP) khusus untuk solat Terawih, sebaliknya hanya menggunakan garis panduan sedia ada.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, berkata pihaknya juga tidak bercadang membuat sebarang penambahan dalam SOP sedia ada yang sudah disediakan kerajaan sebelum ini.

"Tiada SOP khusus untuk solat Terawih, semua solat sama saja seperti yang dilakukan sekarang," katanya selepas melancarkan Bulan Solat Peringkat Kebangsaan 2022, di Auditorium Kompleks Islam Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menetapkan jarak jemaah antara satu sama lain untuk melaksanakan solat jemaah atau solat Jumaat sejauh satu meter dan wajib memakai pelitup muka.

Selain itu, JAKIM turut menetapkan solat jemaah dan solat Jumaat dilakukan antara 10 hingga 15 minit dengan imam digalakkan membaca surah atau ayat pendek.

Bagi Solat Jumaat, teks khutbah perlu dipendekkan sebaik mungkin dengan menjaga rukun asal.

Sementara itu, mengulas mengenai terdapat premis menggunakan perkataan halal yang tidak diperakui, Idris berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membuat pemantauan.

"Kita sentiasa kerjasama dengan KPDNHEP untuk melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan sekiranya menerima laporan berkaitan hal berkenaan. Kita akan ambil tindakan dan tidak akan membiarkan perkara itu berlaku," katanya.

Semalam, media melaporkan seorang pemilik premis makanan di Melaka didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah menggunakan perkataan halal tanpa perakuan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pada buku menu.

UTUSAN.

Tiada ulasan: