08 Jun 2013

Gempa bumi sederhana berlaku di kawasan pulau Filipina

28 Rejab 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Gempa bumi sederhana berukuran 5.3 pada skala Richter, berlaku di kawasan pulau Filipina pada 10.12 pagi ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.
Menurut kenyataan jabatan itu, garis pusat gempa bumi itu ialah 165 kilometer timur laut Surigao City, Filipina dan 1,096 kilometer timur laut Kinabatangan, Sabah.
Gempa bumi itu tidak mendatangkan ancaman tsunami, menurut kenyataan itu. - BERNAMA

Operasi mengesan mangsa terperangkap diteruskan hingga petang: Polis

28 Rejab 1434 H. [MOD] -

GEORGETOWN: Opersi mengesan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan tanjakan konkrit susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang akan diteruskan sehingga petang ini.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, kerja mengesan mangsa akan diteruskan dengan kerja pembersihan dan empat anjing pengesan turut dibawa masuk bagi mengesan mangsa tertimbus.
"Anjing jenis Labordor yang mempunyai kepakaran mengesan mangsa yang masih hidup dan meninggal dunia setakat ini belum menemui sebarang petunjuk penemuan mangsa baru.
"Bagaimanapun, polis bimbang kemungkinan ada warga asing terperangkap berikutan maklumat awal yang diterima pengguna jalan raya terdapat dua motosikal yang melalui bawah runtuhan itu," katanya.
Operasi hari ini disertai kira-kira 150 anggota polis, bomba dan penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awan (JPAM).

PAS juga akan cadang wakil Pegawai Perhubungan Politik

28 Rejab 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR:
 PAS Selangor akan menuruti langkah DAP bagi mencadangkan seorang wakilnya untuk jawatan Pegawai Perhubungan Politik kerajaan Negeri Selangor.

Perkara tersebut akan dibincangkan pada mesyuarat Badan Perhubungan PAS Selangor, Selasa depan, kata Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr. Abdul Rani Osman seperti satu kenyataan yang di terbit kepada Harakahdaily, hari ini.

Tegas Abdul Rani, adalah lebih baik setiap wakil parti dari Pakatan Rakyat Selangor dilantik bersama, memandangkan kejayaan Pakatan Rakyat di Selangor pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lalu adalah kejayaan bersama di antara PAS, PKR dan DAP.

"Jadi, PAS akan mencadangkan agar jawatan itu turut diberikan kepada wakil PAS dan juga DAP, sepertimana diberikan kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail," tegas beliau ketika dihubungi.

Terdahulu, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP mencadangkan Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Teresa Kok untuk jawatan tersebut dengan status dan syarat lantikan yang serupa dengan Saifuddin.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memberitahu, perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat CEC, kelmarin.

Katanya, cadangan lantikan Teresa itu adalah bertujuan untuk memastikan keseimbangan dan bahawa DAP adalah rakan kongsi sekata dalam Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

Beliau turut berpendirian' PAS juga patut mempunyai seorang Pegawai Perhubungan Politik bagi negeri Selango
r

07 Jun 2013

Anwar timbang pulau sesi pembukaan Parlimen

28 Rejab 1434 H. [MOD] -


  • Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan untuk memulaukan sesi pembukaan ke-13 Parlimen dengan tidak menghantar soalan untuk perbahasan.

    NONETindakan anggota Parlimen Permatang Pauh itu pastinya mengundang kritikan terhadapnya dari segenap sudut.

    "Politik juga tentang tanggapan dan tanggapan meluas bahawa pilihan raya umum ke-13 dicemari penipuan yang cukup meluas, yang cukup untuk kita mempertimbangkan pilihan sama ada untuk memulaukan sesi pembukaan," katanya.

    Anwar hampir pasti akan dicadangkan semula sebagai ketua pembangkang walaupun PKR bukan lagi menguasai jumlah kerusi dalam Parlimen.

  • Malaysiakini/-

  • Dalam pilihan raya umum lalu, DAP memperoleh 38 kerusi, PKR 30 dan PAS sebanyak 21 kerusi.

06 Jun 2013

PRU12 janji bina hospital, selepas PRU13 tiada apa

27 Rejab 1434 H. [MOD] -

IPOH: PAS Negeri Perak kesal dengan kerajaan BN yang sehingga hari ini belum merealisasikan janji membina hospital di Parit Buntar sebaliknya mengulangi janji itu demi menarik sokongan rakyat.

Ketua Penerangannya, Dr Ahmad Nuri Al-Amin(gambar) berkata, hospital di Daerah Kerian itu yang telah dijanjikan semasa kempen PRU12 dahulu dan diumumkan beberapa kali oleh pimpinan serta menteri namun sehingga hari ini tidak direalisasikan.

“Dalam isu pembinaan hospital baru di Daerah Kerian, ianya telah timbul sejak pilihan raya umum tahun 2008 lagi dan diulangi oleh Perdana Menteri pada tahun 2011 serta Timbalan Perdana Menteri ketika kempen PRU13 baru-baru ini.

“Projek pembinaan itu sekali lagi diumumkan dan kali ini oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri S Subramaniam di Teluk Intan beberapa hari lalu.

“Mereka umum banyak kali tetapi kenapa gagal juga untuk disiapkan,” katanya kepada Harakahdaily, hari ini.

Subramaniam, katanya turut mengumumkan untuk membina hospital di Kampar dan Bandar Seri Manjung sedangkan janji lama belum ditunai.

Jelas Ustaz Nuri, janji baru ini akan sentiasa dicanang sehinggalah pilihanraya kelak jika ianya masih tidak dilaksanakan.

“Bagi kami, kenyataan politik hanya membosankan rakyat kerana keperluan asas seperti pembinaan hospital baharu sewajarnya ditunaikan.


“Kami berharap jangan ketika sudah hampir dengan PRU14 nanti akan ada lagi yang menjanjikan benda yang sama yang masih belum terlaksana sepenuhnya.

“Kami bersama rakyat memberikan tempoh lima tahun kepada BN melaksanakan janji-janji mereka untuk membina hospital baharu tersebut,” jelasnya lagi.

harakah/-

Pemuda PAS ucap takziah, tingkat keselamatan atlit


27 Rejab 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merakamkan ucapan takziah di atas kemalangan yang menimpa adik Muhammad Syafiq Imran Syahril(gambar), pelumba basikal Terengganu sehingga meragut nyawanya semalam.


Dalam kejadian pagi semalam, Allahyarham Muhammad Syafiq Imran sedang mengadakan sesi latihan rutin  bersama rakan-rakannya sebelum terjatuh dan digilis sebuah treler di Kampung Bukit Guntung, Tepoh.

“DPPM menganggap kejadian yang berlaku ke atas Allahyarham Muhammad Syafiq sebagai suatu tragedi malang yang begitu tragis dan menyayat hati,” ujar Ketua DPPM, Nasrudin Hassan.

Katanya, ia adalah suatu suratan takdir yang telah ditentukan oleh Allah SWT terhadap hamba-Nya.

“Semoga kejadian ini memberi pengajaran kepada pasukan Terengganu dan juga negeri-negeri lain agar sentiasa memberi perhatian terhadap keselamatan peserta mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, Ahli Parlimen Temerloh itu menasihatkan atlit sukan agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan semasa latihan mahupun perlumbaan supaya semua mereka mampu mengharungi acara yang dipertandingkan dengan selamat.

Katanya, kehilangan seorang pemain bererti sebutir bintang yang digilap juga telah hilang dan pergi sekelip mata.

Pastinya, kata beliau kehilangan beliau sukar dicari ganti kerana pasukan tersebut terpaksa mencari pelumba lain yang berbakat besar seperti Allahyarham Muhammad Syafiq.

“DPPM mengharapkan semoga keluarga Allahyarham tabah menghadapi ujian seberat ini dan turut mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan di sisi Allah sebagai hambaNya yang soleh jua,” ujarnya lagi.

harakah/-

Edwards berusia 105 tahun masih pandu kereta


27 Rejab 1434 H. [MOD] -






NGATAKI, New Zealand – Seorang lelaki berusia 105 tahun, Bob Edwards merupakan pemandu paling tua di negara ini.
Edwards mendapat lesen pertamanya ketika dia berusia 17 tahun pada tahun 1925.
Dia yang merupakan salah seorang pemandu paling tua di dunia kini telah memandu kenderaan selama 88 tahun.
Edwards belajar memandu dengan menggunakan kereta buatan Perancis, De Dion Bouton.
Kereta tersebut tidak mempunyai stereng tetapi menggunakan tuil.
Edwards kini memiliki sebuah kereta Mitsubishi pacuan empat roda yang berwarna merah.
Menurut lelaki kelahiran England itu, selepas berhijrah ke New Zealand, dia membeli kenderaan Dodge yang merupakan kenderaan pertamanya.
Kereta itu kemudian diubah suai menjadi sebuah trak.
Edwards yang tidak pernah berhasrat untuk berhenti memandu melakukan senaman pada setiap pagi di gimnasium di rumahnya untuk mengekalkan kecergasannya.
Dia turut memasak makanan untuk dimakan bersama isterinya, Lesley yang berusia 91 tahun.
“Saya tidak berasa diri saya seorang tua,” katanya.
Edwards memandu kenderaannya tiga kali seminggu untuk pergi ke kedai yang terletak 15 kilometer dari rumahnya.
Dia juga memandu untuk melawat rakan-rakannya dan pergi ke hospital bagi memeriksa kesihatannya.
Edwards hanya pernah terlibat dalam satu nahas jalan raya.
Dia juga pernah disaman sekali dalam seumur hidupnya kerana memandu melebihi had laju.
Warga emas itu turut patah tulang pinggul tiga tahun lalu dan dinasihatkan oleh doktor supaya tidak memandu selama enam minggu.
Namun, Edwards tidak menghiraukan saranan tersebut dengan alasan dia memandu kereta automatik yang hanya menggunakan kaki kanannya.
Di New Zealand, para pemandu yang berusia lebih 80 tahun perlu menjalani ujian kesihatan dan penglihatan sekali dalam tempoh dua tahun sebelum mereka dibenarkan memandu. – Agensi

Selesai luar mahkamah, kemenangan kepada TG Nik Aziz

27 Rejab 1434 H. [MOD] -

(Berita NST yang mendakwa TG Nik Aziz bapa kafir)


KUALA LUMPUR: Tindakan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor dan enam yang lain termasuk akhbar NST untuk menyelesaikan kes saman di luar mahkamah merupakan satu kemenangan kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Kelantan, Hisham Fauzi yang dihubungi Harakahdaily memberitahu, keputusan tersebut diperolehi ketika perbincangan antara peguam dilakukan dalam kamar di mahkamah semalam.  

"Saya menyifatkan ini satu kemenangan kepada Tok Guru Nik Aziz dalam saman yang beliau kemukakan kepada Abdul Rahim dan enam yang lain apabila mereka mahu menyelesaikannya di luar mahkamah.

"Walaupun saya tidak boleh menyatakan jumlahnya yang perlu mereka bayar tetapi ia sebenarnya menunjukkan satu pengakuan dari mereka semua berhubung tindakan yang telah dilakukan," jelasnya.

Dalam pada itu beliau juga berharap keputusan ini akan menjadi iktibar kepada mana-mana pihak yang cuba melemparkan fitnah ataupun kenyataan yang tidak bertanggungjawab.

Selain Hisham (gambar kiri) turut mewakili bekas Menteri Besar Kelantan itu ialah peguam Mohamed Hanipa Maidin yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Sebelum itu, Nik Abdul Aziz pada 31 Mei tahun lepas telah memfailkan saman fitnah RM10 juta itu terhadap Abdul Rahim di samping tiga pemberita akhbar New Straits Times (NST)-- Rahmah Ghazali, Lim Poh Lean dan Nik Imran Abdullah, Pengarang Urusan Kumpulan News Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) Datuk Abdul Jalil Hamid, Pengarang Kumpulan NST Datuk Syed Nadzri Syed Harun dan NSTP sebagai defendan.

Saman itu dikemukakan berikutan satu kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Ketua Polis Negara pada 8 Mei dalam NST yang menggelar Nik Abdul Aziz sebagai bapa kafir (father of kafir) yang didakwanya cuba memesong orang Islam bahawa perhimpunan BERSIH 3.0 adalah tanggungjawab agama.

Akhbar NST memetik Rahim sebagai berkata perkara itu bukan kali pertama Nik Aziz mengeluarkan kenyataan seperti itu yang didakwanya "mengelirukan" rakyat.


harakah/-

Lelaki AS tangkap ikan toman gergasi

27 Rejab 1434 H. [MOD] -

NEWTON menunjukkan ikan toman yang berjaya ditangkapnya di Aquia Creek, Virginia pada Sabtu lalu. - Agensi


FREDERICKSBURG, Virginia – Seorang lelaki Amerika Syarikat (AS) berjaya menangkap seekor ikan toman sepanjang satu meter di Aquia Creek, Stafford, Virginia pada Sabtu lalu.
Akhbar Free Lance-Star melaporkan lelaki tersebut, Caleb Newton berjaya menangkap ikan tersebut yang seberat 7.88 kilogram (kg).
Menurut Persatuan Sukan Memancing Antarabangsa (IGF), rekod dunia bagi ikan tersebut adalah seberat 7.82kg yang ditangkap di Jepun pada tahun 2004.
Newton, 27, perlu menghantar permohonan kepada IGF termasuk butiran tentang ikan tersebut dan alat yang digunakan untuk menimbangnya bagi mendapatkan pengesahan rekod dunia. – Agensi




Royalti: Barang kali boleh dikategori hina raja

27 Rejab 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berpandangan mereka yang membelakangi titah sultan supaya dikembalikan royalti minyak mungkin boleh dikategorikan menghina raja.

Bekas Menteri Besar Kelantan itu menyatakan beliau membaca laporan akhbar berkenaan seorang wanita ditahan kerana menghina Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Saya optimis pihak berkuasa akan menjalankan siasatan sebaik-baiknya,” tulis beliau di blognya.



Beliau menulis bahawa di sebuah negeri, pernah Sultan negeri berkenaan bertitah di dalam Dewan Undangan Negeri agar dikembalikan royalti minyak dan didaratkan gas yang ditemui di lautan negeri ke pantai yang terdekat.

Namun malangnya, kata beliau pembangkang di negeri berkenaan membelakangi titah Sultan.

“Barangkali ini juga boleh dimasukkan di dalam kategori menghina raja,” ujarnya.

harakah/-

Mati sesak nafas di Everest Base Camp

27 Rejab 1434 H. [MOD] -




KUALA LUMPUR – Hajat seorang pendaki muda negara untuk menawan puncak Gunung Everest tidak kesampaian apabila dia mengalami sesak nafas yang teruk akibat diserang penyakit akut ketinggian (AMS) sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 7.15 malam kelmarin.
Timbalan Pengarah Kanan Komunikasi Korporat Perbadanan Putrajaya (PPj), Zaharah Selamat berkata, Mohammad Shahrulnizam Ahmad Nazari, 25, dipercayai terlampau letih selepas pendakian menjadi semakin sukar akibat tekanan udara dan paras oksigen yang semakin rendah.
Katanya, mangsa yang merupakan Penolong Jurutera di Perbadanan Putrajaya (PPj) masih sihat dan cergas ketika memulakan pendakian pada hari pertama dari Monjo ke Namche Bazaar.
“Apabila pendakian semakin tinggi dengan tahap kesejukan melampau, dia mengalami keletihan sehingga menyebabkan tubuhnya menjadi lemah dan sukar bergerak.
“Dia seterusnya mengalami kesukaran bernafas yang saya percaya menjadi punca mangsa meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

kosmo/-

Hina Agong: Jangan kait dengan Pakatan Rakyat


27 Rejab 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa kecewa dengan suasana selepas PRU13 yang cuba mengaitkan sentimen 'nakal' dengan Pakatan Rakyat (PR) terutama isu penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

“Kami tegaskan, Malaysia mempunyai Perlembagaan dan Rukun Negara yang menjadi pegangan kepada seluruh rakyat semenjak kita merdeka sehingga kini.

“Bagi kami, apa yang sedang berlaku adalah cubaan pihak-pihak tertentu meletakkan kesalahan tersebut di bahu kami di dalam PR,” tegas Naib Ketuanya, Dr Raja Ahmad Iskandar al-Hiss.

Katanya, cubaan pihak-pihak tertentu 'mengaitkan' kenyataan berbentuk tulisan di media sosial dengan PR dan membina persepsi bahawa PR dikaitkan dengan penghinaan tersebut amat dikesali.


Tegasnya lagi, DPPM dengan tuntas dan segera mencadangkan pimpinan PR yang telah memenangi PRU13 yang lalu untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong dan menyembahkan taat setia.

Sekarang ini, ujarnya masih banyak usaha-usaha pihak tertentu 'menyamar' dengan memburukkan Institusi Raja yang sedang berleluasa.

Tambahnya, DPPM memohon pihak polis menangani isu itu tanpa prejudis dan segera bagi menghalang wabak tidak sihat itu menular.

“Atas sifat rakyat yang taat kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, kami menyembah taat setia dan menjunjung kasih Ke Bawah Duli Tuanku Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya dalam kenyataan.


Katanya, DPPM yakin, bersama-sama AMK dan DAPSY memohon merafak sembah atas kapasiti sebagai anak muda yang sayangkan kepada Institusi Diraja dan bersedia mengadap jika diperkenan atas perkara tersebut.

“Kami yakin anak muda di luar sana akan bersama kami menjunjung Institusi Diraja yang menjadi payung kepada rakyat,” ujarnya.

harakah/-

Najib keliru fantasi bulan madu dengan realiti M’sia


27 Rejab 1434 H. [MOD] -


"Kamu tidak boleh menyalahkan graviti kerana jatuh cinta” (You can’t blame gravity for falling in love) -Albert Einstein

ADA benarnya kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak apabila mengakui kegagalan kerajaan pimpinannya dan jentera pilihan rayanya untuk mengurus tanggapan atau persepsi rakyat menjadi sebab prestasi Barisan Nasional (BN) tidak lebih baik berbanding ketika zaman pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sekurang-kurangnya dapatlah tempias ‘tsunami Cina’ itu reda. Sudah tentu, subjek yang menjadi sasaran Najib adalah medium maklumat alternatif seperti facebook, blog, laman web pro-rakyat dan sebagainya.

Buah fikiran Najib Razak sama dengan Hishammuddin Hussien

Nada Najib hampir sama dengan kenyataan yang pernah diungkapkan bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (kini Menteri Pertahanan) yang dipetik media bahawa “kerajaan mengalih tumpuan kepada menguruskan persepsi umum dalam fasa kedua Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk mengurangkan kebimbangan rakyat”.

Justeru itu, untuk membaiki persepsi dan mengurangkan kebimbangan rakyat, Kerajaan Persekutuan dalam Belanjawan 2013 lalu telah memperuntukkan sejumlah RM272 juta untuk memperbaiki ‘persepsi’ jenayah melalui pengiklanan.

BN, Najib dan kerajaan pimpinannya harus akur, realiti sosio ekonomi dan politik Malaysia memungkinkan berlakunya perubahan persepsi rakyat terhadap parti yang memerintah. Ini bukan lagi masa untuk beliau berbulan madu.Bagaimanapun, langkah untuk mengurangkan persepsi negatif rakyat terhadap jenayah bukanlah langkah bijak kerana kerajaan BN pada hakikatnya telah gagal menangani realiti jenayah yang berlaku setiap detik.

Adakah segalanya “salah persepsi”?

Sebelum mengulas lanjut, elok juga kita menyoal bagaimana pula dengan persepsi negatif yang dipropagandakan siang dan malam melalui media massa kawalan BN sehingga hampir setiap inci ruang sebaiknya digunakan untuk memburukkan Pakatan Rakyat (PR).

Bagaimana pula dengan kemunculan cybertrooper BN atau Briged DDD ibarat cendawan tumbuh selepas hujan yang tidak putus nafas terus-menerus menyerang dan membuat pelbagai dakwaan dan kisah dongeng terhadap pimpinan PR?

Adakah Najib juga secara tidak langsung mengisytiharkan gagasan 1Malaysia tajaannya gagal walau pun bukan sedikit wang rakyat dibelanjakan untuk mempromosikan konsep itu ke seluruh negara?

Bukankah gagasan 1Malaysia  juga boleh diklasifikasikan sebagai kempen memperbaiki persepsi rakyat terhadap perpecahan kaum yang sebenarnya berpunca daripada tindak-tanduk UMNO selama ini?

Atau, adakah Najib benar-benar tidak tahu terhadap apa yang berlaku ke atas negara yang dipimpinnya?

Najib dan seluruh Kabinetnya harus sedar, 51 peratus majoriti rakyat Malaysia yang tidak memilih BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu bukanlah disebabkan persepsi tetapi realiti yang secara langsung mencorak persepsi negatif rakyat terhadap mereka.

Najib berfantasi, rakyat tanggung perit realiti

Pertembungan majoriti masyarakat bandar dan luar bandar yang memilih BN atau PR seperti kajian beberapa ahli akademik adalah benar.

Masyarakat di bandar lebih terkesan dengan pelbagai krisis akibat tekanan hidup. Kadar bayaran tol, kenaikan harga petrol dan diesel, nisbah gaji dan perbelanjaan harian yang tidak seimbang, kenaikan harga barang keperluan, tekanan mental kerana terpaksa bersesak-sesak di lebuhraya, semua ini adalah realiti yang tidak dirasai seorang Perdana Menteri yang tidak pernah hidup susah seperti Najib, jauh sekali untuk merasa betapa pedihnya terkena bedilan kanister atau semburan air FRU.

Rentetan itu, rakyat disekolahkan realiti yang berlaku di sekitar mereka. Rakyat sudah faham mengapa rumah mereka dimasuki pencuri, diragut, disamun, mengalami tekanan perasaan, mengidap pelbagai penyakit urban dan sebagainya.

Inilah realiti kota besar di Malaysia, jauh bezanya dengan persepsi, apa lagi fantasi palsu Najib terhadap ‘persepsi’ yang diperkatakannya.

Dalam hal ini, elok rasanya beliau mengambil pedoman daripada bekas Presiden Amerika, John F Kenneddy yang pernah berkata “Jangan mencari jawapan daripada pihak Republikan mahu pun Demokratik, tetapi carilah jawapan yang benar. Jangan kita betulkan kesalahan lalu tetapi terimalah ianya sebagai tanggungjawab kita demi masa depan”. (Let us not seek the Republican answer or the Democratic answer, but the right answer. Let us not seek to fix the blame for the past. Let us accept our own responsibility for the future.)

BN, Najib dan kerajaan pimpinannya harus akur, realiti sosio ekonomi dan politik Malaysia memungkinkan berlakunya perubahan persepsi rakyat terhadap parti yang memerintah. Ini bukan lagi masa untuk beliau berbulan madu.

Malaysia berubah selari dengan kemajuan dan pengalaman pahit maung rakyat mengharungi kehidupan sehari-hari untuk membayar cukai kepada kerajaan. Tetapi, bagaimana pula dengan realiti kehidupan Najib dan pasukannya? Adakah Najib masih berfantasi atau masihkah ada ruang untuk mereka menjamah realiti sebagai rakyat Malaysia seadanya?

harakah/-

Exco sukan harap Khairy tidak pinggir S'gor


27 Rejab 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Exco Belia dan Sukan Selangor Dr Ahmad Yunus Hairi mengharapkan perlantikan Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baru membuka lembaran baru pembangunan sukan negeri itu.


Menurutnya, pada penggal lalu, Selangor berdepan kesukaran mendapat kerjasama kerajaan pusat dalam urusan berkaitan sukan dan belia di Selangor.

Ianya juga termasuk hal berkaitan peruntukan sukan yang dilihat seperti mahu menganaktirikan Selangor yang kini ditadbir oleh Pakatan Rakyat.

“Peruntukan daripada Kerajaan Pusat wajar diberi tanpa melihat batasan politik kerana kita mahu memajukan sukan di negara kita," katanya dipetik Selangorku.

Menurut beliau lagi, dalam mencari penyelesaian itu, Selangor akan mengadakan pertemuan dengan Khairy dalam masa terdekat bagi membincangkan kerjasama dan halatuju pembangunan sukan di negeri itu.

“Kita merancang untuk berjumpa beliau supaya diharapkan peruntukan daripada Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Negeri tidak dianaktirikan,” kata beliau

Pertemuan rasmi itu katanya dijangka akan diadakan pada minggu depan dan surat rasmi sudah dihantar dan hanya menunggu respon daripada pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Beliau menegaskan, kerajaan pusat tidak wajar untuk meminggirkan negeri Selangor dalam pembangunan sukan kerana negeri ini terbukti melahirkan atlet-atlet terbaik yang banyak menyumbang kepada kemajuan sukan negara.
harakahdaily/-

04 Jun 2013

Polis : Larangan terhadap Nurul ditarik balik.

25  Rejab 1434 H. [MOD] -
 Astro Awani | Kemas kini: Jun 03, 2013

Pesuruhjaya Polis Sabah, DCP Datuk Hamza Taib tidak mengulas lanjut mengenai sebab-sebab di sebalik penarikan tersebut tetapi berkata tidak ada individu lain yang turut dihalang seperti yang diumumkan dalam senarai ‘persona non grata’ kerajaan negeri Sabah.

"Setakat ini polis berkata, tidak ada individu lain yang dilarang kecuali Nurul. Tetapi larangan itu pun telah ditarik balik, " kata Hamza kepada Astro Awani.

"Bagi pemimpin-pemimpin yang lain jika mereka mahu datang tidak ada masalah asalkan mereka mematuhi undang-undang," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Alias Ahmad tidak dapat mengesahkan bahawa senarai hitam baru yang dikatakan melarang 10 individu daripada parti pembangkang dan pemimpin masyarakat sivil daripada memasuki Sabah.

Dalam satu SMS kepada Astro Awani, beliau berkata: "Saya nasihatkan anda untuk menyemak dengan pejabat Ketua Menteri Sabah."

Awal hari ini, sepucuk surat dikatakan bocor dari Pejabat Ketua Menteri Sabah yang dialamatkan kepada Jabatan Imigresen negeri yang mengatakan bahawa selain Nurul Izzah, ada individu yang lain turut dihalang daripada memasuki negeri ini.

Menurut surat tersebut, nama-nama lain yang termasuk dalam senarai tersebut adalah, termasuk:

- Datuk Seri Anwar Ibrahim - Lim Kit Siang - Mohd. Rafifi(sic) Ramli - Datuk Ambiga Sreenevasan - Mohd. Sabu - Syed Ibrahim Syed Noor - Wong Chin Huat - Mary Chin Abdullah (sic) - Ong Boon Kiang - Hishamuddin Rais

Dokumen yang bertarikh 21 Mei itu, ditandatangani oleh En. Moktar Yassin Ajam yang merupakan (Setiausaha Negeri bagi Hal Ehwal Dalam Negeri & Penyelidikan) telah dihantar kepada Pengarah Imigresen negeri Sabah. Kepala surat tersebut dikenalpasti daripada Ketua Menteri, Pejabat Datuk Musa Aman.

Ketika dihubungi, Moktar berkata beliau tidak dapat mengesahkan kandungan surat itu. "Saya minta maaf, saya seorang kakitangan kerajaan. Saya tidak boleh memberikan apa-apa kenyataan, hanya kerajaan negeri yang boleh. Saya minta maaf," kata beliau.

Surat itu mengatakan bahawa senarai itu diberikan kelulusan dengan cop Kabinet Sabah, berikutan dengan mesyuarat pertama pada 15 Mei.

"Kabinet telah bersetuju bahawa Ketua Menteri boleh menggunakan kuasa mutlaknya di bawah Akta Imigresen dan, selaras dengan pengesahan daripada Ketua Polis Cawangan Khas Diraja Malaysia Sabah, untuk melarang individu-individu ini daripada menjejak tanah di Sabah," kata surat itu.

Malaysiakini melaporkan bahawa ketua DAP Sabah Jimmy Wong yang mendakwa bahawa sumber yang boleh dipercayai daripada Jabatan Imigresen telah membocorkan sekeping salinan kepadanya.

Khamis lalu, Nurul Izzah telah dihalang daripada memasuki Sabah apabila beliau tiba di Kota Kinabalu. Beliau sepatutnya meraikan Pesta Kaamatan atau dikenali sebagai Pesta Menuai.

Pada 31 Mei, Jabatan Imigresen Sabah berkata bahawa larangan Nurul adalah arahan daripada kerajaan negeri.

Kemudian, dilaporkan Musa menafikan bahawa larangan untuk Nurul telah bermotifkan politik. Beliau bagaimanapun berkata, mereka yang menjadi ancaman kepada keamanan dan keharmonian negeri Sabah tidak akan dialu-alukan dalam negeri ini.