06 Jun 2013

Najib keliru fantasi bulan madu dengan realiti M’sia


27 Rejab 1434 H. [MOD] -


"Kamu tidak boleh menyalahkan graviti kerana jatuh cinta” (You can’t blame gravity for falling in love) -Albert Einstein

ADA benarnya kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak apabila mengakui kegagalan kerajaan pimpinannya dan jentera pilihan rayanya untuk mengurus tanggapan atau persepsi rakyat menjadi sebab prestasi Barisan Nasional (BN) tidak lebih baik berbanding ketika zaman pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sekurang-kurangnya dapatlah tempias ‘tsunami Cina’ itu reda. Sudah tentu, subjek yang menjadi sasaran Najib adalah medium maklumat alternatif seperti facebook, blog, laman web pro-rakyat dan sebagainya.

Buah fikiran Najib Razak sama dengan Hishammuddin Hussien

Nada Najib hampir sama dengan kenyataan yang pernah diungkapkan bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (kini Menteri Pertahanan) yang dipetik media bahawa “kerajaan mengalih tumpuan kepada menguruskan persepsi umum dalam fasa kedua Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk mengurangkan kebimbangan rakyat”.

Justeru itu, untuk membaiki persepsi dan mengurangkan kebimbangan rakyat, Kerajaan Persekutuan dalam Belanjawan 2013 lalu telah memperuntukkan sejumlah RM272 juta untuk memperbaiki ‘persepsi’ jenayah melalui pengiklanan.

BN, Najib dan kerajaan pimpinannya harus akur, realiti sosio ekonomi dan politik Malaysia memungkinkan berlakunya perubahan persepsi rakyat terhadap parti yang memerintah. Ini bukan lagi masa untuk beliau berbulan madu.Bagaimanapun, langkah untuk mengurangkan persepsi negatif rakyat terhadap jenayah bukanlah langkah bijak kerana kerajaan BN pada hakikatnya telah gagal menangani realiti jenayah yang berlaku setiap detik.

Adakah segalanya “salah persepsi”?

Sebelum mengulas lanjut, elok juga kita menyoal bagaimana pula dengan persepsi negatif yang dipropagandakan siang dan malam melalui media massa kawalan BN sehingga hampir setiap inci ruang sebaiknya digunakan untuk memburukkan Pakatan Rakyat (PR).

Bagaimana pula dengan kemunculan cybertrooper BN atau Briged DDD ibarat cendawan tumbuh selepas hujan yang tidak putus nafas terus-menerus menyerang dan membuat pelbagai dakwaan dan kisah dongeng terhadap pimpinan PR?

Adakah Najib juga secara tidak langsung mengisytiharkan gagasan 1Malaysia tajaannya gagal walau pun bukan sedikit wang rakyat dibelanjakan untuk mempromosikan konsep itu ke seluruh negara?

Bukankah gagasan 1Malaysia  juga boleh diklasifikasikan sebagai kempen memperbaiki persepsi rakyat terhadap perpecahan kaum yang sebenarnya berpunca daripada tindak-tanduk UMNO selama ini?

Atau, adakah Najib benar-benar tidak tahu terhadap apa yang berlaku ke atas negara yang dipimpinnya?

Najib dan seluruh Kabinetnya harus sedar, 51 peratus majoriti rakyat Malaysia yang tidak memilih BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu bukanlah disebabkan persepsi tetapi realiti yang secara langsung mencorak persepsi negatif rakyat terhadap mereka.

Najib berfantasi, rakyat tanggung perit realiti

Pertembungan majoriti masyarakat bandar dan luar bandar yang memilih BN atau PR seperti kajian beberapa ahli akademik adalah benar.

Masyarakat di bandar lebih terkesan dengan pelbagai krisis akibat tekanan hidup. Kadar bayaran tol, kenaikan harga petrol dan diesel, nisbah gaji dan perbelanjaan harian yang tidak seimbang, kenaikan harga barang keperluan, tekanan mental kerana terpaksa bersesak-sesak di lebuhraya, semua ini adalah realiti yang tidak dirasai seorang Perdana Menteri yang tidak pernah hidup susah seperti Najib, jauh sekali untuk merasa betapa pedihnya terkena bedilan kanister atau semburan air FRU.

Rentetan itu, rakyat disekolahkan realiti yang berlaku di sekitar mereka. Rakyat sudah faham mengapa rumah mereka dimasuki pencuri, diragut, disamun, mengalami tekanan perasaan, mengidap pelbagai penyakit urban dan sebagainya.

Inilah realiti kota besar di Malaysia, jauh bezanya dengan persepsi, apa lagi fantasi palsu Najib terhadap ‘persepsi’ yang diperkatakannya.

Dalam hal ini, elok rasanya beliau mengambil pedoman daripada bekas Presiden Amerika, John F Kenneddy yang pernah berkata “Jangan mencari jawapan daripada pihak Republikan mahu pun Demokratik, tetapi carilah jawapan yang benar. Jangan kita betulkan kesalahan lalu tetapi terimalah ianya sebagai tanggungjawab kita demi masa depan”. (Let us not seek the Republican answer or the Democratic answer, but the right answer. Let us not seek to fix the blame for the past. Let us accept our own responsibility for the future.)

BN, Najib dan kerajaan pimpinannya harus akur, realiti sosio ekonomi dan politik Malaysia memungkinkan berlakunya perubahan persepsi rakyat terhadap parti yang memerintah. Ini bukan lagi masa untuk beliau berbulan madu.

Malaysia berubah selari dengan kemajuan dan pengalaman pahit maung rakyat mengharungi kehidupan sehari-hari untuk membayar cukai kepada kerajaan. Tetapi, bagaimana pula dengan realiti kehidupan Najib dan pasukannya? Adakah Najib masih berfantasi atau masihkah ada ruang untuk mereka menjamah realiti sebagai rakyat Malaysia seadanya?

harakah/-

Tiada ulasan: