06 Jun 2013

Exco sukan harap Khairy tidak pinggir S'gor


27 Rejab 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Exco Belia dan Sukan Selangor Dr Ahmad Yunus Hairi mengharapkan perlantikan Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baru membuka lembaran baru pembangunan sukan negeri itu.


Menurutnya, pada penggal lalu, Selangor berdepan kesukaran mendapat kerjasama kerajaan pusat dalam urusan berkaitan sukan dan belia di Selangor.

Ianya juga termasuk hal berkaitan peruntukan sukan yang dilihat seperti mahu menganaktirikan Selangor yang kini ditadbir oleh Pakatan Rakyat.

“Peruntukan daripada Kerajaan Pusat wajar diberi tanpa melihat batasan politik kerana kita mahu memajukan sukan di negara kita," katanya dipetik Selangorku.

Menurut beliau lagi, dalam mencari penyelesaian itu, Selangor akan mengadakan pertemuan dengan Khairy dalam masa terdekat bagi membincangkan kerjasama dan halatuju pembangunan sukan di negeri itu.

“Kita merancang untuk berjumpa beliau supaya diharapkan peruntukan daripada Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Negeri tidak dianaktirikan,” kata beliau

Pertemuan rasmi itu katanya dijangka akan diadakan pada minggu depan dan surat rasmi sudah dihantar dan hanya menunggu respon daripada pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Beliau menegaskan, kerajaan pusat tidak wajar untuk meminggirkan negeri Selangor dalam pembangunan sukan kerana negeri ini terbukti melahirkan atlet-atlet terbaik yang banyak menyumbang kepada kemajuan sukan negara.
harakahdaily/-

Tiada ulasan: