06 Jun 2013

Pemuda PAS ucap takziah, tingkat keselamatan atlit


27 Rejab 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merakamkan ucapan takziah di atas kemalangan yang menimpa adik Muhammad Syafiq Imran Syahril(gambar), pelumba basikal Terengganu sehingga meragut nyawanya semalam.


Dalam kejadian pagi semalam, Allahyarham Muhammad Syafiq Imran sedang mengadakan sesi latihan rutin  bersama rakan-rakannya sebelum terjatuh dan digilis sebuah treler di Kampung Bukit Guntung, Tepoh.

“DPPM menganggap kejadian yang berlaku ke atas Allahyarham Muhammad Syafiq sebagai suatu tragedi malang yang begitu tragis dan menyayat hati,” ujar Ketua DPPM, Nasrudin Hassan.

Katanya, ia adalah suatu suratan takdir yang telah ditentukan oleh Allah SWT terhadap hamba-Nya.

“Semoga kejadian ini memberi pengajaran kepada pasukan Terengganu dan juga negeri-negeri lain agar sentiasa memberi perhatian terhadap keselamatan peserta mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, Ahli Parlimen Temerloh itu menasihatkan atlit sukan agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan semasa latihan mahupun perlumbaan supaya semua mereka mampu mengharungi acara yang dipertandingkan dengan selamat.

Katanya, kehilangan seorang pemain bererti sebutir bintang yang digilap juga telah hilang dan pergi sekelip mata.

Pastinya, kata beliau kehilangan beliau sukar dicari ganti kerana pasukan tersebut terpaksa mencari pelumba lain yang berbakat besar seperti Allahyarham Muhammad Syafiq.

“DPPM mengharapkan semoga keluarga Allahyarham tabah menghadapi ujian seberat ini dan turut mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan di sisi Allah sebagai hambaNya yang soleh jua,” ujarnya lagi.

harakah/-

Tiada ulasan: