23 Jun 2011

Wanita bakar anak dalam ketuhar ditahan

21 Rejab 1432H. [MOD] -

SACRAMENTO - Seorang wanita ditahan, kelmarin selepas pihak berkuasa menemui mayat bayi perempuannya berumur enam minggu di dalam ketuhar gelombang mikro.

Suspek dikenali sebagai Ka Yang, 29, kini ditahan di Penjara Daerah Sacramento dan tidak dibenarkan untuk diikat jamin.

Siasatan polis mendapati bayi malang itu mengalami kesan melecur teruk seperti dibakar dan menjadi punca utama kematian bayi itu.

Polis arah jangan jual baju Bersih

21 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 23 Jun: Polis malam tadi mengarahkan seorang aktivis PKR, Razali Abd Ghafur agar tidak menjual baju berwarna kuning bercetak perkataan 'Bersih' kepada orang ramai atau bakal berdepan tindakan.

Amaran tersebut yang didakwa "arahan pihak atasan" diberikan kepada beliau pada majlis ceramah Jelajah Selangor Tawan Malaysia (Jelas 2) di Kampung Sungai Merab Luar, Bangi.

Ceramah tersebut dihadiri Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafiei, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Ketua AMK Negeri Sembilan, Nazree Yunus.

"Pada mulanya dia datang ke gerai saya, minta ambil gambar. Lepas ambik gambar, saya tanya awak siapa. Dia bagtau dia polis sambil tunjuk IC polis.

"Kemudian dia ambik dua helai baju Bersih, dan suruh saya jangan jual baju itu. Katanya arahan dari atasan," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Menurutnya, beliau kemudiannya dijemput ke Balai Polis Datuk Abu Bakar Baginda dan dirakam kenyataan selama 20 minit.

Arahan tersebut dipercayai ada kaitan dengan rancangan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) yang mahu mengadakan himpunan aman 9 Julai ini.

Dalam respon segera, Shuhaimi turut mempersoal tindakan pihak berkuasa itu.

"Sejak bila jual baju tak boleh? Umno BN makin gila," tulisnya di Twitter.

Sebelum ini, polis juga telah memberi amaran kepada penganjur himpunan itu agar membatalkan hasrat mereka.

Ratusan laporan polis juga turut dibuat diseluruh negara termasuk oleh Umno.

Selain itu, polis juga memberi amaran akan membuat tangkapan awal sebagai pencegahan.

Bagaimanapun, Bersih sehingga kini tetap dengan pendirian akan meneruskan himpunan itu.

harakahdaily/-

Australia mahu guna cap jari kenal pasti wanita pakai burqa

21 Rejab 1432H. [MOD] -

SYDNEY - Polis Australia mempertimbangkan untuk menggunakan cap jari bagi mengenal pasti wanita yang memakai burqa, selepas seorang hakim menyatakan dia tidak dapat memastikan sama ada seorang wanita yang memakai burqa adalah orang yang sama membuat laporan palsu kepada polis.

Menurut hakim Clive Jeffreys, kes terhadap Carnita Matthews, yang pada awalnya didapati membuat aduan palsu kepada polis oleh majistret, tidak dapat dikenakan tindakan kerana beliau tidak dapat memastikan adakah wanita itu yang membuat aduan tersebut.

Laporan itu dibuat oleh seorang wanita yang memakai burqa di balai polis Sydney tetapi pegawai polis tidak pernah melihat wajah wanita itu.

Akibat daripada keputusan itu, Menteri bagi Perkhidmatan Kecemasan dan Polis New South Wales, Mike Gallacher memberitahu akan meminta polis mempertimbangkan untuk memperbaiki kaedah mengenal pasti mereka yang menggunakan burqa.

"Satu daripada kaedah itu termasuklah dengan menggunakan cap jari jika mereka tidak mahu menanggalkan burqa yang dipakai," katanya kepada televisyen ABC.

Gallacher berkata, adalah tidak mustahil untuk menjadikan cap jari sebagai sebahagian daripada pengisytiharan undang- undang dan beberapa kenyataan lain untuk memastikan kebenaran. - AFP

Isa Samad: Pinjam duit KWSP satu 'penghormatan'

21 Rejab 1432H. [MOD] -

Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad berkata tidak ada masalahnya jika Felda meminjam wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) – berjumlah RM6 bilion seperti yang ditimbulkan oleh Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) sebelum ini.

Mohd Isa turut menangkis tanggapan bahawa pinjaman berkenaan menunjukkan Felda kini menghadapi krisis kewangan walau dilaporkan meraih keuntungan sebanyak RM1.197 bilion tahun.

Beliau berkata pinjaman berkenaan merupakan satu "penghormatan" kepada Felda kerana ia menunjukkan keyakinan KWSP bahawa lembaga pembangunan tanah itu mampu melunaskan pinjaman berkenaan.

"Apa masalahnya pinjam? Kita pinjam pun daripada (KWSP), (KWSP) bagi kita pinjam itu juga satu penghormatan sebab yakin pada kita, kita boleh bayar.

"Kalau saya meniaga saya ada duit, takkan saya nak guna semua duit saya sendiri, saya mesti pinjam. Itu yang penting, apa yang masalahnya kalau pinjam?

"Saya pun tak tahu apa masalah yang ditimbulkan itu. Saya beli kereta pun pinjam, saya tak tahulah kalau semua orang ANAK ini semua bayar tunai, saya tak tahulah," katanya lagi, menyindir NGO yang menimbulkan isu berkenaan.

Selain ANAK, perkara itu juga ditimbulkan oleh ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut menuntut Felda menjelaskan sama ada salah sebuah anak syarikatnya – Felda Global Ventures – mengalami kerugian dalam pelaburan di seberang laut.

Dalam satu kenyataannya, Anwar mendakwa kerugian daripada pelaburan dalam tempoh 2007 hingga 2010 itu berjumlah hampir RM500 juta.

Kerugian itu didakwa melibatkan pelaburan ke dalam syarikat Felda Iffco Sdn Bhd, Twin Rivers Technologies US, TRT-ETGO Canada, Felda Global Ventures Middle East dan juga Felda Global Ventures Arabia.

Pernah rugi

Sementara itu, ditanya sekiranya beliau menyentuh mengenai kerugian yang dialami Felda Global Ventures dalam ucapannya terdahulu, Mohd Isa secara ringkas berkata beliau hanya menyentuh mengenai kerugian itu secara umum.

"(Felda) pernah juga rugi pada awal-awal, tapi yang penting adalah bagaimana kita menguruskan kerugian itu supaya jadi baik," katanya lagi.

Dalam ucapannya terdahulu, Mohd Isa turut meminta wakil peneroka ke AGM berkenaan supaya "bersyukur" dan "tidak terpedaya" dengan golongan tertentu yang didakwa terus "mencucuk" masyarakat peneroka berhubung kerugian yang dialami Felda.

"Kita akan rugi sebab perjuangan mereka ini sampai pilihan raya ke-13... Jangan terpedaya kata kami di Felda nak menindas, nak menipu. Tak ada begitu sebab kita tahu tujuan hendak hapuskan kemiskinan luar bandar.

"Ada orang mencucuk masyarakat Felda, tapi apa nak buat memang ada orang macam itu," katanya lagi yang dipercayai merujuk kepada tindakan berterusan oleh kumpulan peneroka yang memfailkan saman ke atas Felda.

malaysiakini/-

Taib nafi ada akaun rahsia di Bank Swiss

21 Rejab 1432H. [MOD] -

KM sudah maklumkan kepada Presiden Switzerland

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, menafikan mempunyai sebarang akaun rahsia di Bank Swiss mahupun aset atau pelaburan dalam apa juga bentuk di Switzerland.

Beliau menjelaskan, perkara berkenaan sudah dibawa kepada pengetahuan Presiden Switzerland, bulan lalu melalui surat yang memaklumkan bahawa dakwaan yang dilemparkan terhadapnya tidak berasas sama sekali.
“Di dalam surat berkenaan, saya minta Presiden Switzerland mengesahkan sama ada terdapat arahan daripada Tabung Bruno Manser (BMF) kepada Lembaga Penyelia Pasaran Kewangan Switzerland (FINMA) supaya menyiasat saya dengan pelbagai dakwaan.

“Saya sedia memberi kerjasama penuh kepada kerajaan Switzerland untuk menegakkan kebenaran. Saya juga minta supaya salinan dakwaan itu diserahkan kepada saya supaya tindakan undang-undang sesuai boleh diambil atas hak saya, bagi membuktikan bahawa semua ini adalah tuduhan palsu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bangun untuk membaca kenyataannya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, pagi semalam.

Abdul Taib berkata, sebagai seorang ketua kerajaan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bertanggungjawab terhadap DUN yang mulia itu, beliau memilih untuk mengeluarkan kenyataan di dewan berkenaan.

“Adalah lebih tepat dan lebih baik untuk saya membuat kenyataan mengenai dakwaan tidak berasas terhadap saya ini di dewan yang mulia ini berdasarkan Peraturan Mesyuarat (S.O) 22.
“Dakwaan dibuat BMF jelas palsu dan terbukti hanya untuk menjejaskan kerjaya politik saya berdasarkan rekod BMF yang kerap menyerang Sarawak sejak dulu lagi," katanya.

Beliau dalam kenyataannya kelmarin, berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat kesilapan apabila melakukan siasatan ke atasnya.

Sementara itu, SPRM dalam kenyataan berasingan semalam menjelaskan, kenyataan perenggan pertama suruhanjaya itu kelmarin iaitu “Ketua Menteri Sarawak, Abdul Taib Mahmud, tindakan SPRM menyiasat dirinya adalah satu kesilapan” membawa maksud sangat mengelirukan.

Katanya, kenyataan Ketua Menteri itu merujuk kepada SPRM seolah-olah `menyalak pada pokok yang salah’ (barking at wrong tree), mungkin silap dan kenyataan media lain pula merujuk perkara itu kepada pihak pembangkang.

“Ini menunjukkan seolah-olah SPRM yang membuat kesilapan, walhal kenyataan ini merujuk kepada pihak pembangkang seperti yang dilaporkan oleh media lain,” tambah SPRM.

beritaharian/-

Undian tajuk Sejuta Sokong Bersih 2.0

21 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 23 Jun: Mulai hari ini, undian dilakukan adakah wajar Sejuta Sokong Bersih 2.0 digunakan sebagai tajuk muka depan Harakah.

Sejauh mana popularnya tajuk ini digunakan sebagai tajuk utama akhbar Harakah akan dilihat dalam tempoh dua hari, yakni hari ini dan esok.

Undian ini terbuka kepada semua pembaca dan mereka boleh mengundi sekali sahaja sama ada untuk setuju atau tidak setuju atau tidak pasti dengan pilihan tajuk berkenaan.

Untuk membuat undian tinjauan@harakah, boleh terus kepada link http://myharakah.net.

Keputusan undian “UTUSAN HINA ISLAM” meningkat secara mendadak sebanyak 20 % berbanding dengan tajuk sebelum ini "CETUS PROVOKASI" jatuh kepada 71.7% atau 228 daripada 318 undian yang bersetuju dengan tajuk tersebut dijadikan tajuk utama.

Keputusan undian tajuk ini adalah 314 daripada 342 undian, iaitu 91.81 peratus bersetuju dengan tajuk tersebut dijadikan tajuk utama Harakah.

Walaubagaimana pun terdapat 25 undian (7.31%) yang tidak bersetuju dan 3 undian (0.88%) yang berkecuali.

Untuk melihat keputusan terperinci terhadap undian semasa dan yang telah dilakukan sebelum ini, boleh terus kepada link http://myharakah.net/polls.php

harakahdaily/-

Terdapat 27,902 isi rumah miskin tegar di Sarawak

21 Rejab 1432H. [MOD] -

Sejumlah 27,902 Ketua Isi Rumah (KIR) atau 49.8 peratus daripada 55,975 yang didaftarkan di dalam sistem e-Kasih tergolong di bawah kategori kumpulan miskin tegar di negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu.

Beliau berkata seramai 55,975 KIR berpendapatan rendah telah didaftarkan di dalam sistem e-Kasih yang termasuk kumpulan mudah miskin membabitkan 23,235 KIR dan keluarga miskin (4,838 KIR), sehingga 11 Jun ini.

KIR mempunyai pendapatan sebanyak RM520 sebulan tergolong di bawah kategori miskin tegar manakala RM830 sebulan dikategorikan miskin, katanya ketika menjawab soalan Violet Yong (DAP-Pending) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Kuching hari ini.

"Daripada 27,902 KIR yang tergolong di bawah miskin tegar, sebanyak 13,349 KIR merupakan Iban, 5,601 (Melayu), 2,925 (Orang Ulu), 2,757 (Bidayuh), 1,974 (Melanau) yang merupakan Bumiputera di negeri ini manakala 647 (Cina) dan 622 KIR lain-lain," katanya

Untuk memastikan keberkesanan sistem e-Kasih, Jabu berkata Jawatankuasa Focus Group Pembasmian Kemiskinan Peringkat Daerah akan bertindak untuk melakukan penyisihan awal kepada senarai permohonan bagi memastikan hanya pemohon yang layak sahaja dibuat pengesahan.

"Ini dapat memastikan proses penyelarasan bancian di peringkat lapangan dapat dipercepatkan," katanya.

Jabu berkata data e-Kasih akan dikemas kini dengan kemasukan data daripada semua agensi pemberi bantuan dan golongan yang masih belum didaftarkan (di luar e-Kasih) untuk memastikan data dan maklumat golongan berpendapatan rendah dicakupi dan komprehensif.

"Sistem ini masih dalam fasa pembangunan dan pelaksanaan dan dijangka siap pada tahun 2012," katanya.

Menjawab soalan Dr Abdul Rahman Junaidi (BN-Pantai Damai), Jabu berkata seramai 18,876 penerima bantuan Program Bantuan Rumah (PBR), termasuk projek bina baru sebanyak 10,847 dan baik pulih rumah sebanyak 8,029, di Sarawak.

Beliau berkata sebanyak 1,877 KIR telah menerima bantuan daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

"Mulai penghujung tahun lepas, bantuan peningkatan pendapatan tertumpu kepada program 1Azam di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Setakat bulan Mei tahun ini, kerajaan negeri telah melaksanakan 3,426 projek 1AZAM melalui pelbagai agensi pelaksana," katanya.

- Bernama

SPRM diminta siasat kos guaman menteri

21 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Audit Negara diminta menyiasat isu wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) digunakan untuk membiayai kos guaman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam kes qazaf membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain Jamil Khir, kos guaman bagi Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali juga digunakan daripada peruntukan yang sama.

Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution berkata, wang MAIWP tidak sepatutnya digunakan untuk membiayai urusan itu kerana ia hanya boleh disalurkan untuk kegunaan lapan asnaf yang layak.

“Mengikut kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim di Dewan Rakyat, sebanyak RM32,000 peruntukan MAIWP yang berupa wang zakat digunakan untuk tujuan itu. Saya mahu tanya, apakah seorang menteri dan pengarah Jawi termasuk dalam asnaf yang layak terima zakat? Sudah tentu tidak,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Selain itu, kata Saifuddin, Che Mat yang juga Setiausaha MAIWP turut memohon dan meluluskan peruntukan itu atas namanya sendiri.

“Dari segi tata kelolanya, jelas salah. Dari segi undang-undang, yang memohon dan meluluskan orang yang sama, jadi kita minta SPRM dan Ketua Audit Negara siasat perkara ini,” katanya.

sinarharian/-

Tanam RM1 juta

21 Rejab 1432H. [MOD] -

IPOH – Polis menemui petunjuk baharu untuk menyelesaikan kes tipu melibatkan pasangan suami isteri yang dicari sejak April lalu apabila menemui wang RM1.095 juta yang ditanam di belakang rumah anak lelaki mereka di Kuala Muda, Kedah 14 Jun lalu.

Wang yang dimasukkan ke dalam sebuah beg itu ditemui selepas polis menyoal siasat anak pasangan itu yang ditahan pada hari sama.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, pihaknya percaya, pasangan terbabit, Chong Heoy Choo, 50, dan Song Siew Weng, 49, bertindak menanam sebahagian daripada wang RM7 juta yang diperoleh hasil penipuan kerana bimbang kegiatan mereka telah terbongkar.

Bagaimanapun katanya, pasangan itu masih belum diberkas.

“Mereka dicari selepas kita menerima laporan daripada tujuh mangsa yang mendakwa ditipu mengenai penawaran projek dan tender yang tidak wujud di sekitar Perak sejak awal tahun ini.

“Anak mereka yang berusia 21 tahun itu juga disyaki terlibat dalam membantu ibu bapanya untuk menipu,” katanya.

kosmo/-

Pemuda PAS Sarawak: SPRM perlu terus siasat kes rasuah Ketua Menteri Sarawak

21 Rejab 1432H. [MOD] -

SPRM perlu terus siasat kes rasuah Ketua Menteri Sarawak
Pemuda PAS Sarawak mengucapkan syabas dan tahniah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas tindakan untuk memulakan siasatan rasuah terhadap Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud. Ini merupakan tindakan yang tepat dilakukan oleh SPRM.

Pemuda PAS Sarawak berharap agar pihak SPRM dapat menjalankan siasatan penuh seperti mana yang dilakukan terhadap bekas Menteri Besar Selangor , Dr Mohamad Khir Toyo. Pemuda PAS Sarawak turut meminta agar SPRM tidak akan mudah tunduk kepada tekanan-tekanan politik parti pemerintah dalam menjalankan proses siasatan yang lengkap dan telus.

Dalam perkembangan yang sama, Pemuda PAS Sarawak bersimpati dengan Ketua Pemuda PBB YB Datuk Hj Fadhillah Yusof yang terus mendapat tekanan daripada kepimpinan Pemuda PBB negeri yang lain dalam usaha memberi sokongan kepada Ketua Menteri dalam proses siasatan rasuah oleh SPRM ini.

Pemuda PAS Sarawak juga ingin mengucapkan syabas kepada YB Datuk Hj Fadhillah atas tindakan beliau yang tidak tergesa-gesa dalam menyatakan sokongan membuta-tuli terhadap Ketua Menteri dalam perkara ini. Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kemungkinan besar ada kebenaran terhadap laporan rasuah yang diketengahkan sebelum ini.

Pemuda PAS Sarawak berharap dengan perkembangan ini akan memberi gambaran jelas kepada seluruh rakyat Sarawak bahawa telah banyak hasil kekayaan negeri yang disalahgunakan oleh Ketua Menteri Sarawak. Kekayaan negeri Sarawak seharusnya kembali kepada rakyat negeri Sarawak dengan pembinaan kemudahan-kemudahan asas yang terbaik untuk rakyat.

Mohammad Arifiriazul,
Ketua Pemuda PAS Sarawak

Kedai 1Malaysia? harga barang apa cerita?

21 Rejab 1432H. [MOD] -

PARIT BUNTAR, 23 JUN : Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Yb Drs Khalil Idham Lim memuji langkah Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah melancarkan kedai 1Malaysia yang berhasrat merealisasikan slogan rakyat didahulukan tetapi beliau mempersolakan adakah kedai 1Malaysia yang sebenarnya rakyat perlu?

“Beliau patut lebih kritis dalam mencari idea dan resolusi penyelesaian masalah yang membelengu rakyat berikutan pemansuhan subsidi yang dilakukan dalam perkara asas dan kesannya, harga barag di seluruh Negara meningkat dengan mendadak,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya yang juga adun titi serong, PM patut fokus terhadap isu kenaikan harga dalam perkara-perkara keperluan asas rakyat, seperti tariff elektrik, petrol, dan gula .

“Tangani segera isu pemansuhan penerimaan subsidi super diesel yang melibatkan sembilan (9) ketegori kenderaan yang digunakan untuk tujuan pengangkutan barangan serta perkhidmatan yang telah berkuat kuasa 1 Jun 2011.

“Kenaikan demi kenaikan harga perkara keperluan asas ini amat berkait rapat dengan isu pemansuhan subsidi yang disifatkan sebagai mengejutkan ramai pihak,” kata Khalil yang juga Pengerusi Idham Care.

“Terutamanya kepada pembekal perkhidmatan pengangkutan logistik dan lain-lain sembilan (9) ketegori kenderanan yang menyediakan perkhidmatan logistik dan pengangkutan,” katanya.

Menurutnya, Antara 9 ketegori kenderaan pengangkutan yang dimaksudkan adalah seperti penggerak utama, kargo am, luton kotak, van, teksi limosin, lori rigid (minimum botol), lori tangki rigid (tepung) lori rigid (refrigerated) dan lori tangki air.

Isu ini sepatutnya jadi perkara utama kerajaan pusat, bukannya buat kedai 1malaysia yang cuma menjual barang yang berskala kecil.

“Beliau cuma laksanakan perkara yang layak kita kata melepaskan batuk di tangga sahaja dengan buat (kedai 1Malaysia),” ujarnya.

Malaysia Negara pengeluar minyak, tetapi tiada lebihan kuasa dalam ekonomi untuk manfaat rakyat seperti Negara-negara pengeluar minyak yang lain, lebihan kuasa ekomoni yang sepatutnya ada, sekarang kita tiada lebihan tersebut, mana perginya wang itu? Soalnya.

Peneroka perlu bangkit, sedar penipuan BN

21 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 23 Jun: Pengarah Biro Felda dan Orang Asal PKR, Suhaimi Said (gambar) berkata, peneroka Felda perlu bangkit dan sedar tentang penipuan yang dilakukan kerajaan BN.

Ini kerana agensi kerajaan seperti Felda yang sepatutnya membela dan menjaga kepentingan peneroka, sebaliknya mengkhianati amanah yang diberikan kepada mereka selama ini, lapor KeadilanDaily.

Menurut Suhaimi, ketika rizab tunai Felda susut hampir RM3 bilion dalam tempoh lima tahun, agensi itu pula membuat pinjaman sebanyak RM6 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Peneroka berhak untuk tahu apakah tujuan pinjaman tersebut itu dilakukan. Adakah pinjaman ini akan digunakan untuk menutup kerugian pelaburan mereka (Felda) di luar negara?” ujarnya.

“Felda dikatakan mempunyai kewangan yang besar, aset juga banyak. Jadi apa keperluan untuk meminjam KWSP,” katanya ketika dihubungi keadilandaily.

Dalam masa yang sama, katanya, Felda pula melakukan penipuan dan penyelewengan seperti isu dana tanam semula dan penipuan Kadar Perahan Gred Kelapa Sawit terhadap peneroka.

Disebabkan itu katanya, peneroka tidak mempunyai jalan lain untuk menuntut keadilan kecuali memfailkan saman terhadap pengurusan Felda.

“Kita perlu sedar kerana kita sering dimanipulasi. Banyak keraguan yang timbul terutamanya di pihak pengurusan Felda itu sendiri,” kata beliau lagi.

Tahun lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana menteri, Datuk Ahmad Maslan yang bertanggungjawab terhadap Felda mengaku, rizab tunai agensi itu susut daripada lebih RM4 bilion pada 2004 kepada RM1.35 bilion pada tahun 2009.

Meskipun menafikan agensi itu mengalami kedudukan kewangan yang parah, Felda sehingga kini tidak memberi penjelasan tentang isu pinjaman KWSP sebanyak RM6 bilion dan kerugian pelaburan yang ditanggung di luar negara.

Felda juga kini berdepan ratusan saman daripada peneroka di seluruh negara berhubung penyelewengan yang dilakukan agensi itu.

Sebelum ini Felda disaman peneroka di Kelantan, Johor dan Negeri Sembilan.

Terbaru, seramai 711 peneroka Felda dari kawasan Jengka Pahang memfailkan saman sebanyak lebih RM344 juta terhadap Felda kerana melakukan penipuan.

harakahdaily/-

Majlis Peguam sokong semua himpunan 9 Julai

21 Rejab 1432H. [MOD] -

Majlis Peguam berkata kebebasan berhimpun adalah hak yang perlu bagi sesebuah demokrasi. Justeru, badan itu menyokong ketiga-tiga kumpulan yang bercadang mengadakan perhimpunan pada 9 Julai ini.

Pengerusinya Lim Chee Wee berkata kebebasan berhimpun dijamin mengikut Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan dan pihak berkuasa mesti mengambil-kira perkara itu.

Katanya, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak sepatutnya menyekat perhimpunan dan mengingatkannya bahawa arwah datuknya, Datuk Onn Jaafar juga pernah turun ke jalanan atas nama demokrasi.

"Perlu diingatkan bahawa Umno yang diketuai oleh Onn Jaafar, yang ketika itu presiden Umno, yang adalah datuk kepada Menteri Dalam Negeri sekarang, pernah memimpin rakyat turun ke jalanan bagi memprotes pembentukkan Malayan Union.

“Begitu juga dengan pemimpin Umno lain yang juga pernah turun ke jalanan, sebagai contoh menuntut kemerdekaan dan juga menyokong perjuangan Palestin,” katanya.

Lim berkata perhimpunan awam adalah sebahagian daripada sejarah negara sama ada bagi membantah ketidak-adilan seperti yang diami dengan sistem pilihan raya sekarang ini.

“Mereka yang kata protes jalanan bukan sebahagian daripada budaya kita jelas adalah jahil dengan sejarah negara kita yang kaya,” katanya pada sidang akhbar bagi mendesak kerajaan supaya menghormati perhimpunan yang bersih dan aman.

malaysiakini/-

SMS ugut bunuh Ambiga, pemimpin Pakatan diedarkan

21 Rejab 1432H. [MOD] -

Beberapa wartawan dan ahli Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) telah menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berhubung ugutan bagi membunuh pemimpin NGO itu dan Pakatan Rakyat lewat malam semalam dan awal pagi ini.

SMS yang dihantar dari nombor telefon 601119732179 memuatkan ugutan bunuh ke atas pengerusi BERSIH 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan dan juga beberapa pemimpin PAS serta PKR yang akan terbabit pada perhimpunan 9 Julai bagi menuntut pembaharuan dalam sistem pilihan raya negara.

Ambiga, ketika dihubungi Malaysiakini, mengesahkan beliau menerima SMS itu.

"Ya, saya juga terima dan akan buat laporan polis,” katanya.

SMS itu berbunyi: "Korg ni buta hati ke?? buat apa sokong ambiga keling paria haramjadah tu? dia ni kapir laknat. korang tau tak dia ni jadi alat anjing2 politik untuk musnahkan keutuhan melayu. dia kata je nak BERSIH kan SPR. bersih kepala bapak dia.

“puak2 PAS n PKR pun buta tuli n pekak badak.. kalau SPR tak bersih, boleh ke diorang menang kat Sgor, Kedah, Penang, Kelantan n perak dulu? DAP cina sial tu pulak lagi haram jahanam. dia tengok je melayu bertekak. hujung2 dia perintah negara ni dan kristiankan kita semua. aku nak kasi amaran kat korang semua.

“kalau perhimpunan ni jadi, aku dan org2 aku akan bunuh ambiga dan korang2 keliling dia satu persatu, termasuklah orang2 politik bangang yg bersekongkol ngan kafir laknat tu.. ini amaran aku. Korang tengokla nanti."

Ahad lalu, kumpulan pendesak Melayu - PERKASA yang diketuai oleh presidennya, Datuk Ibrahim Ali juga membakar dan memijak gambar Ambiga pada satu perhimpunan dan memanggilnya sebagai "wanita Hindu yang merbahaya".

malaysiakini/-

Waris P Ramlee cadang tuntut royalti

21 Rejab 1432H. [MOD] -

MOHD YUSOFF menujukkan kad pengenalan P Ramlee kepada warisnya Najua Nasir, 25 (kanan), Gurnarisasca, 34 (dua dari kanan) dan Gurlina, 40 (tiga dari kanan), pada majlis pelancaran Jejak Warisan P Ramlee di Georgetown, semalam.
Hasil bayaran tayangan filem seniman di stesen televisyen didakwa cecah RM200 juta

GEORGETOWN: Waris Tan Sri P Ramlee bercadang menuntut royalti daripada bekas majikan seniman agung itu hasil bayaran tayangan filem lakonan Allahyarham di stesen televisyen, termasuk televisyen berbayar yang dikatakan mencecah RM200 juta.

Setakat ini, waris P Ramlee hanya menerima royalti daripada lagu Allahyarham, termasuk RM200,000 yang dibayar syarikat rakaman dan Persatuan Perlindungan Hak Cipta Muzik Malaysia (MACP), pada tahun lalu.
Bagi tujuan itu, waris Allahyarham melantik peguam, Datuk Hamzah Mohd Kassim bagi mengendalikan urusan berkaitan usaha mendapatkan imbuhan daripada bekas majikan P Ramlee itu.

Hamzah semalam mengakui tiada undang-undang jelas berkaitan royalti antara P Ramlee dengan Shaw Brothers, ketika Allahyarham menjadi pelakon di syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, Shaw Brothers mempunyai tanggungjawab sosial untuk memberikan bayaran kepada waris P Ramlee.

“Saya sudah mendapatkan pandangan pakar perundangan dan kami mempunyai ruang mendapatkan sejumlah royalti,” katanya selepas majlis pelancaran Jejak Warisan P Ramlee di Rumah Kelahiran P Ramlee, di sini semalam.

Pelancaran disempurnakan Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Datuk Seri Mohd Yusoff Latiff.
Hamzah berkata, pihaknya sudah membuat kajian mengenai perkara itu dan berjumpa beberapa rakan Allahyarham serta mendapatkan pandangan pakar undang-undang.

Namun, beliau tidak dapat menyatakan jumlah tepat pendapatan diperoleh Shaw Brothers hasil tayangan filem lakonan P Ramlee melalui televisyen, tetapi menjangkakan mencecah RM200 juta.

“Saya difahamkan, dalam tempoh tiga tahun lalu saja syarikat itu dibayar RM20 juta oleh ASTRO,” katanya yang menyasarkan royalti sebanyak 20 peratus diberikan kepada waris Allahyarham.

Mengenai maklum balas Shaw Brothers, Hamzah berkata, pihaknya akan berunding dengan syarikat itu selepas mendapat semua maklumat berkaitan.

Sementara itu, Mohd Yusoff berkata, PEMENANG menyokong usaha memastikan waris P Ramlee mendapat hak mereka dan berharap persatuan dalam industri perfileman turut membantu bagi memastikan keluarga Allahyarham mendapat pembelaan sewajarnya.

beritaharian/-