13 Ogos 2011

Berbaik sangka terhadap Allah

13 Ramadhan 1432H. [MOD] -
Md Zainal MZD

Sebagai orang Islam yang mengaku beriman kepada Allah, kita mesti sentiasa berbaik-sangka terhadap Allah dalam semua perkara.

Secara umumnya berbaik sangka terhadap Allah boleh dibahagikan kepada 6 perkara

1. Menjaga Aqidah: Semua kita mesti berusaha untuk mengekalkan Aqidah supaya tetap dalam Islam dan berusaha sebaik mungkin dalam beribadat semoga dengan itu akan mati dalam keadaan beriman kepada Allah Subhanahuwataala.

Sentiasa menjauhkan diri dari perkara-perkara yang boleh menyebabkan jatuh syirik atau menyekutukan Allah, sentiasa percaya bahawa setiap sesuatu itu adalah dengan Qada’ dan Qadar Allah dan tidak dengan yang lain. Yang memiliki kuasa menyembuhkan penyakit adalah Allah. Kalau berhasil mendapatkan sesuatu harta, semuanya adalah dengan keizinan dan kurniaan Allah sedangkan kita hanya berusaha setakat yang kita mampu sahaja. Bagitulah juga jika mendapat pangkat janganlah mengatakan hanya atas usaha kita melainkan mesti bersandarkan kepada ketentuan Allah. Sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik perancang dan pelaksana.
.
2. Menjaga Akhlak Dalam sebarang masa kita mesti menjaga akhlak kita supaya tidak bercanggah dengan apa yang dianjurkan oleh Islam.

Dalam kehidupan sehari-hari sama ada secara bersendirian, berkeluarga, bersama jiran, atau sesama orang Islam yang lain, lebih-lebih lagi jika bersama dengan orang yang bukan Islam, apa yang kita lakukan dan tontonkan akan menunjukkan keindahan Islam. Kalau baik yang kita tunjukkan maka pandangan orang lain terhadap Islam akan baik tetapi jika buruk yang kita tampilkan, bukan saja diri kita dipandang rendah sebaliknya Agama Islam juga akan dipandang buruk dan diperlecehkan.

Pergaulan, tingkahlaku, percakapan serta cara berpakaian dan lain-lainnya mestilah sentiasa mengikut syariat Islam...

3. Tidak berputus asa dan sentiasa bersabar: Maksud tidak berputus asa di sini ialah sentiasa berusaha untuk maju kehadapan walaupun kadang-kadang kita menghadapi seribu satu macam halangan atau kesukaran.

Dalam kita berusaha kita kerapkali menghadapi kegagalan. Sekiranya gagal dalam sesuatu usaha janganlah cepat berputus asa. Allah telah berjanji bahawa sebarang usaha yang kita lakukan akan diberikan ganjaran dan ditunaikan Allah. Kejayaan dan hasilnya ada masa cepat ditunaikan, ada masa lambat ditunaikan dan ada masanya Allah akan gantikan dengan yang lebih baik dari apa yang kita harapkan. Kalau tidak berjaya didunia Allah akan berikan hasilnya di akhirat nanti. Belum dikira beriman sehingga kita tahan ujian Allah..

Jika kita menghadapi sebarang musibah atau tragedi buruk kita mestilah berbanyak-banyak sabar dan yakin bahawa semua itu adalah baik bagi kita sedangkan kita tidak mengetahuinya.
Allah Maha Mengetahui atas segala-galanya.

4. Yakin terhadap semua janji Allah: Berbaik sangka dengan Allah juga termasuk sentiasa yakin bahawa segala janji Allah itu adalah benar. Sebagai contohnya kita mesti yakin bahawa jika kita beribadat dan beriman kepadaNya, kita akan mendapat ganjaran dan balasan yang baik, dan jika tidak beriman maka bersedialah pula untuk menerima balasan azab siksa dari Allah yang mungkin diturunkan semasa kita hidup lagi di dunia ini, lebih-lebih lagi bila kita mati nanti.

Banyak contoh yang boleh kita ambil untuk pedoman;

a. Kerana ingkar kepada Allah, Fiiraun ditenggelamkan di dalam laut.
b. Kerana ingkar, pengikut Nabi Musa AS disesatkan oleh Allah di padang pasir untuk satu tempoh masa yang tertentu sehingga mereka kembali semula beriman.
c. Qarun ditelan bumi bersama hartanya bila dia kufur, sombong dan ingkar kepada rezeki dan anugerah Allah.
d. Sahabat Sahibul Kahfi dipelihara oleh Allah ( ditidurkan ) dalam gua sehingga lebih dari 300 tahun untuk dipertontonkan kuasa Allah kepada mereka sendiri dan rakyat negeri tersebut bagi menguatkan keimanan mereka tentang kuasaNya.
e. Pengikut Nabi Allah Lut diselamatkan sedangkan mereka yang kufur ditelan bumi bila bumi tempat mereka berada diterbalikkan Allah.

f. Nabi Allah Noh AS dan pengikutnya diselamatkan dari banjir besar dan diyakini tinggalan bahteraNya telah dijumpai di Turki.
g. Tentera Kufar Abrahah dihancurkan sewaktu mereka berusaha untuk merobohkan Ka’bah sedangkan penduduk Mekah tidak berupaya melawan mereka.
h. Untuk mengelakkan dari dibunuh, Nabi Musa AS dihanyutkan dalam sungai Nil tetapi baginda tetap dalam peliharaan Allah.
i. Nabi Allah Ibrahim AS diselamatkan Allah walaupun dicampakkan dalam api yang besar
j. Walaupun awalnya Nabi Yusof AS dianiaya, tetapi baginda akhirnya diselamatkan dan telah dilantik menjadi pembesar Mesir yang memerintah dengan adil..

Dalam hati setiap orang Islam jangan sekali-kali ada perasaan tidak yakin dengan janji Allah, kita boleh jadi kufur.

5. Sentiasa penuh berharap : Dalam mengerjakan sebarang kerja samaada ibadat khusus seperti solat, puasa, haji dan umrah atau mengeluarkan zakat ataupun dalam menuntut ilmu atau apa-apa ibadat sunat, kita mestilah sentiasa ada perasaan penuh pengharapan semuanya itu akan diterima oleh Allah.

Tidak boleh ada langsung walau sedikit pun perasaan ragu-ragu dalam hati kita sama ada ibadat kita diterima Allah atau tidak. Sebab itulah jika melakukan sesuatu kerja mestilah dilaksanakan dengan sungguh-sungguh sedaya upaya kita dan kemudiannya kita bertawakkal kepadaNya.

Sebagai contohnya bila kita berpuasa hendaklah dilakukan dengan penuh keimanan dan sentiasa berharap akan ganjaran Allah, kalau tidak maka akan sia-sialah puasa kita...

“ Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahalanya, akan diampunkan Allah dosanya yang telah lalu” Maksud Hadis.


6. Sentiasa mengingati mati Orang yang berbaik sangka dengan Allah juga mesti sentiasa mengingati mati. Apabila kita sentiasa mengingati mati kita akan sentiasa berbuat baik dan akan menjauhkan diri dari melakukan perkara yang dilarang walau sekecil mana sekalipun, antaranya:

a. Tidak memakan riba
b. Bekerja dengan penuh amanah dan tanggungjawab
c. Tidak menganiaya sesama manusia, haiwan atau pun tumbuhan dan lain-lain
d. Jika ada lebihan harta sentiasa menginfakkannya ke jalan Allah
e. Berbuat baik dan baik sangka sesama manusia terutama ibubapa dan jiran.
f. Sentiasa nasihat menasihati dan menjaga hubungan silaturrahim.
g. Menjaga dan melayani anak-anak yatim sewajarnya, jika ada.
h. Kalau berniaga, tidak akan melakukan penipuan atau sepertinya.
i. Tidak berlebih-lebihan atau membazir dalam berbelanja, dsb.

Sentiasa bertaubat dan mohon ampun dari Allah atas dosa dan kesalahan yang lalu. Sesungguhnya kita semua tidak sempurna dan sudah tentu telah banyak membuat kesalahan secara sedar atau tidak. Kita mesti sentiasa memohon dikekalkan di jalan yang lurus. Sentiasa berusaha untuk menambahkan kerja kebaikan tanpa mengira masa. Sentiasa sedar bahawa Allah berkuasa mengambil nyawa bila-bila masa tanpa sebarang notis, dekatnya antara hidup dan mati hanyalah sejarak dua jari kita sahaja..

Di samping itu, kita mestilah sentiasa bersyukur atas segala limpah kurnianNya. Sesungguhnya jika hendak menghitung rahmat dan kurniaan Allah nescaya tidaklah kita terdaya untuk melakukannya.

Justeru itu marilah kita sentiasa berdoa semoga hidup kita sentiasa dalam peliharaan Allah dan Insyaallah akan mati dalam iman dan akan diletakkan bersama orang-orang yang dikasihiNya, Amin

Tazkiyah an nafs sebagai rutin pejuang Islam.


13 Ramadhan 1432H. [MOD] -
Mohd Hafez Sabri

TELUK INTAN, 9 Ogos - Para ahli gerakan Islam khususnya ahli PAS mesti menjadikan penyucian jiwa atau tazkiyah an nafs sebagai rutin hidup tanpa rasa jemu dan penat. Demikian dinyatakan oleh Naib Ketua Dewan Ulama PAS Perak, Ustaz Ibrahim Zakaria semasa menyampaikan tazkirah Ramadhan di Markaz PAS Kawasan Teluk Intan. Beliau telah menyampaikan tazkirah di dalam program Ihya Ramadhan PAS Kawasan Teluk Intan.

Menurut beliau, penyucian jiwa itu sangat penting kerana tugas dan tanggungjawab dakwah dan jihad adalah sangat berat yang memerlukan jiwa yang kental untuk menghadapinya. Selain itu, tazkiyah an nafs diperlukan kerana medan dakwah itu penuh dengan mehnah dan tribulasi serta banyaknya penghalang dan perosak yang mencabar para pejuang agama kebenaran.

Dalam konteks itu, Ustaz Ibrahim telah membacakan sebuah hadis yang bermaksud "Mukmin itu berada di antara lima musuh iaitu mukmin yang mendengkinya, munafiq yang membencinya, kafir yang memeranginya, syaitan yang menyesatkannya dan nafsu yang menggelincirkannya."

Tazkiyah an nafs juga akan dapat melancarkan cita-cita pejuang Islam merebut maqam syuhada dan mardhatillah. Oleh itu, cara menyucikan diri ialah melalui bertaubat, isti'anah dan isti'azah (mohon bantuan dan pertolongan Allah), ibadah khususi, zikrullah dan aurad yaumi (wirid harian).

Turut hadir hadir di majlis tersebut ialah YDP PAS Kawasan Teluk Intan Ustaz Ismail Che Nik, ADUN Changkat Jong YB Hj. Mohd. Anuar Sudin, pimpinan PAS kawasan, pimpinan cawangan serta para ahli dan penyokong PAS.

Majlis Permuafakatan Bekas Murid dan Guru Sekolah Kebangsaan Sultan Idris ii ditubuhkan.

13 Ramadhan 1432H. [MOD] -
Mohd Hafez Sabri

Kuala Kangsar, Bekas bekas pelajar sekolah kebangsaan Sultan idris ke ii telah menubuhkan Majlis Permuafakatan Bekas Murid dan Guru Sekolah Kebangsaan Sultan Idris ii, Kuala kangsar atau ringkas MPBMG - SKSI II.

Menurut Setiausaha MPBMG - SKSI II, En Shahrudin Mohd Ali Tujuan penubuhan Majlis Permuafakatan Bekas Murid dan Guru Sekolah Kebangsaan Sultan Idris ii, Kuala kangsar adalah untuk mengumpulkan semua warga bekas pelajar agar berada didalam satu bumbung dan juga supaya bertanggungjawab dan sebagai tanda kasih kepada sekolah.

Menurut beliau lagi, semua maklumat berkaitan majlis permuafakatan ini boleh diperolehi didalam facebook atas nama Majlis Permuafakatan Bekas Guru & Murid SKSI II.

Setakat ini telah berjaya mengumpulkan semua lapisan pelajar bermula tahun 60an sehingga sekarang, jelas beliau.

Memetik ucapan beliau,

“ Justeru satu program majlis sambutan Aidilfutri akan dianjurkan pihak Majlis Permuafakatan Majlis Hari Raya bertujuaan mengumpulkan semua warga sekolah ini yang balik beraya di Bandar DiRaja Kuala Kangsar ini yang sekian lama tidak berjumpa dan terasa rindu akan sekolah tersebut”.

“ Pihak Majlis Permuafakatan menjemput semua bekas bekas guru dan pelajar ke majlis tersebut yang akan diadakan pada Hari Raya Ke 3 bermula jam 3,00 petang bertempat di Sekolah Kebangsaan Sultan Idris II itu”.

Manakala maklumat mengenai program hari raya tersebut bolehlah menghubungi Encik Khalilul Rahman Abdul Samad, Pengarah Program ditalian 013 513 7171 atau Encik Shahruddin Mohd Ali, Setiausaha Program 012 577 0030

Bayaran bagi majlis sambutan aidilfitri tersebut adalah sebanyak rm 20 bagi yang berkeluarga dan rm 10 untuk individu.

Bagi, seluruh bekas guru dan pelajar yang berminat untuk menyumbang derma bagi memperkukuhkan dana Majlis Permuafakatan Bekas Murid dan Guru Sekolah Kebangsaan Sultan Idris ii boleh menghubungi Bendahari iaitu Puan Suhaida Mohd Hashim ditalian 017 480 2219.

Mubarak sudah mati?

13 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Seorang peguam Mesir, Hamed Seddik kemuka teori konspirasi bahawa pemimpin kuku besi itu telah meninggal dunia pada 2004.

Pasti orang ramai di seluruh dunia bagai tidak percaya apabila menonton berita dan gambar menunjukkan Hosni Mubarak, antara pemimpin paling digeruni di dunia Arab terlantar lemah di atas katil hospital, di dalam kurungan besi semasa perbicaraannya di Kaherah, Mesir, minggu lalu.

Bekas Presiden Mesir itu kelihatan begitu lemah dan mengasihankan dengan uniform penjara warna putih sambil ditemani dua anak lelakinya yang setia bersama bapa mereka bagi berhadapan dakwaan penyalahgunaan kuasa yang difailkan terhadap ketiga-tiga beranak itu.

Namun, detik paling mengejutkan dalam perbicaraan itu bukanlah keadaan Mubarak, tetapi apabila seorang peguam dengan lantang memberitahu hakim dan dunia, bahawa bekas pemimpin Mesir itu telah meninggal dunia pada 2004.

sinar harian/-

Lelaki ditahan bersama mercun bernilai RM9,000

13 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUANTAN - Polis berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai memiliki pelbagai jenis mercun yang dianggarkan bernilai RM9,000 di sebuah stesen minyak, Semambu di sini, awal pagi tadi.

Timbalan Komander Pasukan Gerakan Marin Polis Wilayah Tiga Kuantan Superintenden Sapian Salihin berkata, bertindak berdasarkan maklumat awam sepasukan gerakan Marin membuat intipan di kawasan berkenaan.

"Dalam intipan jam 3.50 pagi terbabit, suspek, 38, yang memandu kereta berseorangan ditahan berhampiran stesen minyak berkenaan. "Hasil pemeriksaan, polis menemui 17 jenis mercun yang disimpan di dalam kenderaan berkenaan dan dianggarkan bernilai RM9,000," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, mercun berkenaan dipercayai untuk diedarkan di kawasan bazar Ramadan di sekitar Kuantan dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Letupan 1957. - Bernama

PM dan isteri tak mahu jadi saksi

13 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 13 Ogos: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor memberitahu peguam yang mewakili ketua pembangkang yang juga defendan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa mereka tidak mahu menjadi saksi pembela.

Ini didedahkan oleh peguam utama Anwar - Karpal Singh - dan juga peguam Sankara Nair, lapor Malaysiakini.

Karpal dan Sankara, serta peguam kanan Datuk Param Cumaraswamy dan Ram Karpal, berada di dalam bilik yang sama apabila saksi-saksi dibawa masuk, seorang demi seorang.

Karpal berkata, apabila peguambela tiba di kompleks mahkamah, Najib dan Rosmah sudahpun berada di situ.

"Najib masuk dahulu dan apabila kita tanya, beliau kata tak mahu jadi saksi pembela dan tidak mahu ditemubual," kata Karpal.

Kemudian tiba giliran Rosmah dan beliau memberitahu perkara yang sama, dan diikuti pula oleh bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof.

Ketiga-tiga mereka (Najib, Rosmah dan Rodwan) berada di dalam bilik dan mereka tidak ditemani peguam.

Najib dan Rosmah tiba kira-kira jam 2.55 petang dan beredar kira-kira jam 3.28 petang.

Pembantu mereka menunggu di luar semasa mereka menghadiri temubual ringkas itu.

Karpal berkata mereka terkejut kerana tiada tanda-tanda yang Najib dan Rosmah akan datang hari ini.

"Biasanya, mereka akan memberi notis terlebih dahulu," kata peguam kanan itu.

Karpal menyifatkan Rosmah dalam keadaan 'teramat tegang' ketika diajukan soalan dan pada satu ketika, beliau (Rosmah) berkata, "jangan buli saya, Encik Karpal".

Kata Karpal, beliau tidak tahu mengapa Najib dan Rosmah takut untuk datang ke mahkamah, ketika mengulas keengganan mereka untuk menjawab soalan.

harakahdaily/-

12 Ogos 2011

Suhu 24 selsius: Najib terlebih dahulu kena berjimat

12 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 12 Ogos: Perdana Menteri dan timbalannya adalah orang pertama yang perlu melakukan penjimatan tenaga ekoran kos untuk bil elektrik kediaman rasmi kedua-duanya berjumlah lebih RM10 juta setahun yang terpaksa dibiayai dengan duit rakyat.

Secara lebih tepat, bil elektrik untuk kedua-dua rumah rasmi pemimpin negara itu berjumlah RM10,267,868.15 seperti yang dijelaskan oleh kerajaan di parlimen sebelum ini.

Menurut AJK PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmod (gambar), arahan mewajibkan pejabat kerajaan membuka suhu pendingin hawa atas paras 24 darjah selsius untuk penjimatan adalah sesuatu yang baik, namun lebih baik jika ianya dimulakan oleh pemimpin utama negara terlebih dahulu.

Sebelum ini Harakahdaily menyiarkan, Najib mempunyai 11 pegawai media (tukang spin) yang menjaga kepentingannya sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh perdana menteri sebelum ini hatta mana-mana pemimpin dunia.

Negara dibawah pimpinan Najib juga mempunyai 30 menteri, jumlah yang terlalu besar untuk sebuah negara yang jumlah penduduknya adalah 28 juta.

UK dengan 62 juta penduduk ada 23 menteri, Perancis 66 juta ada 23 menteri, Amerika 312 juta ada 12 ahli kabinet dan Switzerland lapan juta ada tujuh menteri. Malaysia ada 28 juta penduduk dan 30 menteri.

"Janganlah arahan itu hanya dirasai oleh kakitangan awam sahaja, pemimpin utama negara perlu terlebih dahulu berjimat.

"Rakyat sudah lama berjimat tetapi pemimpin negara bagaimana," soal Dr Mariah yang juga Ahli Parlimen Kota Raja.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas arahan terbaru kerajaan supaya semua pejabat kerajaan menetapkan suhu pendingin hawa 24 darjah selsius atau lebih.

Kerajaan semalam memaklumkan akan mengeluarkan satu pekeliling berhubung perkara itu dan akan membentangkan satu akta baru di Parlimen untuk membolehkan penguatkuasaan yang sama dilakukan ke atas pihak swasta.

Ianya bertujuan bagi menjimatkan bil tenaga elektrik sehingga empat hingga tujuh peratus.

Walaupun ianya disifatkan suatu yang baik, namun apa yang masih dipertikaikan sehingga kini adalah kos pembiayaan kediaman rasmi perdana menteri dan timbalan yang dilihat langsung tiada pertimbangan untuk penjimatan.

Ia kerana kerajaan terpaksa membelanjakan hampir RM49 juta setahun untuk membiayai kos kediaman mereka.

Ia membabitkan kos sewa untuk dua kediaman rasmi itu RM32,972,115.55, kos baik pulih RM3,581,744.78, bil elektrik RM10,267,868.15 dan bil air RM1,967,386.55 untuk satu tahun.

Jika dibahagikan, jumlah bil elektrik sebulan mereka adalah hampir RM160,000 sebulan.

"Bukan elektrik sahaja kena berjimat, air juga kena berjimat. Jika sudah tak ada sumber nanti, duit banyak pun dah tak guna.

"Satu lagi kepada pemimpin-pemimpin negara, berjimat la juga bila membuat majlis jamuan makan tu, bermewah sangat jangan sampai membazir," katanya.

harakahdaily/-

Najib, Rosmah hadir untuk ditemubual peguam Anwar

12 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor berada di Kompleks Mahkamah Jalan Duta untuk ditemubual oleh peguam yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka tiba pada jam 2.55 petang ini dan kini berada di tingkat tujuh.
Manakala bekas ketua polis Melaka, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof (juga) juga hadir untuk ditemubual.

Anwar juga berada di situ untuk menghadiri temubual tersebut.

Peguam Karpal Singh, Sankara Nair dan Param Cumaraswamy mengendalikan temubual itu.

Najib dan Rosmah hadir hari ini untuk ditemuramah ekoran pertemuan mereka dengan pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan, di kediaman rasmi mereka ketika Najib menjadi timbalan perdana menteri

Mereka bertemu Saiful dua hari sebelum dakwaan berlakunya insiden liwat.

Sejak hari pertama lagi, Anwar bertegaskan mendakwa wujud konspirasi politik ekoran laporan bahawa mereka bertiga mengadakan pertemuan sebelum insiden liwat didakwa berlaku.

Difahamkan perdana menteri dan Rosmah meninggalkan kompleks mahkamah kira-kira jam 3.28 petang.

malaysiakini/-

Warga Emas Mati, Isteri Cedera Ditetak

12 Ramadhan 1432H. [MOD] -

ALOR SETAR 12 OGOS : Seorang lelaki berumur 60 tahun mati ditetak dengan parang oleh anggota keluarga terdekatnya manakala isteri cedera dalam satu kejadian sejurus sebelum berbuka puasa di rumah mereka di Kampung Pasir Putih di Kuala Nerang dekat sini Khamis malam.

Dalam kejadian sekitar 7 malam tadi, Seman Siron, 60, meninggal dunia di Hospital Kuala Nerang akibat kecederaan di kepala, putus pergelangan kaki kanan selain cedera di kedua-dua belah tangannya manakala isterinya, Hasmah Abdul Majid, 58, cedera di belakang kepala.

Ketua Polis Daerah Padang Terap DSP Ku Yaacob Ku Hamad dipetik Bernama Online berkata, kejadian itu dipercayai berlaku apabila suspek berusia 33 tahun memarahi anak-anak saudaranya yang membuat bising ketika mereka sedang menunggu untuk berbuka puasa.

“Apabila Seman menegurnya supaya tidak memarahi cucu-cucunya, suspek naik angin lalu mengambil parang dan menetak Seman di bahagian tengah kepala dan kakinya.

“Kedua-dua belah tangan mangsa turut cedera kerana dipercayai cuba menahan tetakan,” kata beliau.

“Suspek turut menetak Hasmah di belakang kepala. Ketika kejadian ada lapan orang di dapur rumah itu termasuk tiga kanak-kanak berusia enam, lapan dan 11 tahun manakala dua lagi adalah anak pasangan itu,” katanya.

Seman dan Hamsmah dibawa oleh anak mereka ke Hospital Kuala Nerang tetapi Seman meninggal dunia pada 7.30 malam dan mayatnya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk bedah siasat.

Hasmah masih dirawat di Hospital Kuala Nerang dan terpaksa menerima lima jahitan. Keadaannya dilaporkan stabil.

tv selangor/-

Lelaki ditangkap selepas rakyat M'sia diserang di London

12 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Polis Britain berkata mereka telah menahan seorang lelaki berhubung kes rompakan terhadap pelajar Malaysia semasa rusuhan di London minggu ini oleh sekumpulan yang berpura-pura mahu membantunya.

Suspek yang berusia 20-an itu, ditahan polis walaupun pelajar Malaysia tersebut, Asyraf Haziq Rosli, menegaskan dia tidak berdendam terhadap apa yang berlaku Isnin lalu, dan mahu terus tinggal di Britain sehingga tamat pengajiannya dalam bidang perakaunan.

Rakaman video mengenai Asyraf dibantu sewaktu rusuhan di Barking, Timur London, yang memaparkan sekumpulan lelaki memeriksa dan mencuri barangannya, dianggap antara imej yang mengejutkan dalam rusuhan tersebut.

Video ini disaksikan hampir tiga juta kali di di YouTube (kanan) dan insiden itu dikutuk oleh Perdana Menteri Britain, David Cameron sebagai "menjijikkan".

Dalam satu kenyataan, Scotland Yard mengesahkan seorang lelaki telah ditangkap berhubung serangan tersebut, yang berlaku ketika Asyraf, 20, dalam perjalanan untuk menemui rakannya di Ham Timur yang bimbang mengenai rusuhan.

"Suspek yang dipercayai dalam usia 20-an, telah ditahan. Siasatan masih diteruskan."

Asyraf telah menjalani pembedahan ke atas rahangnya yang patah akibat serangan tersebut. Dia telah dibenarkan keluar dari hospital pagi semalam.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Asyraf berkata dia tidak berhasrat untuk meninggalkan Britain sekaraang kerana mahu menamatkan pengajiannya dalam tempoh dua tahun lagi.

"Saya merancang untuk menamatkan pengajian saya di sini," kata Asyraf, walaupun mengakui keluarganya memintanya pulang ke Malaysia.

"Saya mahu ibu datang melawat saya di sini. Saya bercakap dengan ibu, dia sangat bimbang. Dia mahu saya pulang. Saya tak nak," katanya.

malaysiakini/-

Kedah turut bayar bonus minima RM500

12 Ramadhan 1432H. [MOD] -

ALOR SETAR, 12 Ogos: Menteri Besar, Dato' Seri Azizan Abdul Razak dalam kenyataannya kepada media hari ini telah mengumumkan pembayaran bonus setengah bulan gaji dengan kadar minima RM500 kepada kakitangan kerajaan negeri bulan ini.

Azizan berkata, kerajaan negeri akan mengikut langkah yang diambil kerajaan pusat dalam pemberian bonus itu selain turut memberikan bonus setengah bulan gaji kepada semua anggota dewan undangan negeri (Adun) di Kedah.

"Kita akan bayar pada 18 Ogos nanti bersama gaji bulan ini, keseluruhannya kita akan bayar lebih RM5 juta," katanya yang dipetik dari Bernama.

Sementara itu, Azizan yang ketika ini masih menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) semakin beransur pulih dan akan dibenarkan pulang tidak beberapa lama lagi.

"Saya dah baik tapi masih berehat, sekarang dah banyak perubahan. InsyaAllah, minggu depan saya boleh balik Alor Setar," katanya.

Beliau dimasukkan ke IJN, 29 Julai lalu selepas mengadu sakit pada bahagian jantung dan hasil pemeriksaan doktor mendapati ada saluran tersumbat dan perlu mendapatkan rawatan susulan.

harakahdaily/-

MB Kedah Keluar IJN Minggu Depan

12 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 12 OGOS : Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur dijangka dibenarkan keluar dari pusat itu minggu depan.

Azizan berkata, beliau sudah sihat tetapi masih berada di IJN bagi pemantauan, selain penelitian beberapa perkara kecil berhubung rawatan beliau.

"Saya dah baik tetapi dalam keadaan direhatkan. Sekarang ini dah banyak perubahan. InsyaAllah, minggu depan saya balik ke Alor Setar," katanya dipetik Bernama hari ini.

Azizan dimasukkan ke IJN Jumaat lalu selepas mengadu sakit pada bahagian jantung dan pemeriksaan oleh doktor mendapati satu saluran ke jantungnya tersumbat.

tv selangor/-

HP turunkan harga TouchPad untuk saingi iPad

12 Ramadhan 1432H. [MOD] -

SAN FRANCISCO: Gergasi teknologi Amerika Syarikat, Hewlett-Packard (HP) hari ini menurunkan harga komputer tablet keluarannya yang baru dilancarkan, TouchPad dalam usaha untuk mendapat tempat dalam pasaran yang dikuasai iPad ciptaan Apple.

TouchPads yang dikeluarkan dengan memori 16 gigabyte dijual pada harga AS$400 (RM1,205) dan model 32 gigabyte dengan AS$500 (RM1,506.25) iaitu AS$100 (RM301.25) lebih rendah daripada harga asal.

TouchPads muncul pertama kali di Amerika Syarikat pada awal Jun apabila HP bersaing dengan iPad dan peranti Android dalam pasaran komputer tablet yang pesat berkembang dan dijual oleh peruncit utama negara itu seperti Best Buy dan Walmart serta Amazon.com.

Tidak seperti iPad, TouchPad dijana format video Adobe Flash dan menggunakan sistem operasi webOS yang dibangunkan oleh Palm, pengasas peranti telefon bimbit yang diambilalih HP tahun lalu pada harga AS$1.2 bilion (RM3.61 bilion). - AFP

Gempa bumi 5.2 gegar Filipina

12 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Satu gempa sederhana dengan kekuatan 5.2 magnitud menggegarkan Mindoro, Filipina pada jam 10.29 pagi tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan di sini, berkata gempa itu berpusat 123 kilometer dari barat daya Manila dan 854 kilometer dari timur laut Kudat, Sabah.

Gempa itu tidak membawa ancaman tsunami.

Pemerhati: Terap etika guna media sosial

12 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Rusuhan ganas di England yang bermula di Tottenham dikatakan merebak dengan cepat ke bandar raya lain di negara itu kesan daripada hebahan di laman-laman media sosial, sehingga mendorong kerajaan Britain mahu ianya dikenakan kawalan atau dihadkan.

Beberapa pemerhati sosial di negara sini berpendapat kepantasan penyaluran maklumat bersifat negatif melalui Twitter, Facebook dan Blackberry Messenger merupakan sesuatu yang harus diberi perhatian berat oleh semua kerajaan di dunia.

Ketua Pengarah Eksekutif Institut Perkembangan Minda (INMIND) Norizan Shariff berkata, kemelut yang berlaku di London harus dijadikan iktibar bagi memastikan negara ini sentiasa dalam keadaan bersedia sekiranya ia berlaku di masa akan datang.

"Bermula pada tahun 2000 apabila kita mula merasai ledakan internet, ia memberi cabaran baru, bukan saja kepada kerajaan Malaysia, tapi seluruh dunia, bagaimana untuk menangani," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai rusuhan yang dikatakan berpunca daripada rasa tidak hati penduduk terhadap tindakan polis di Totenham menembak mati seorang bapa kepada empat anak, Mark Duggan, 29, yang disyaki pengedar dadah, pada 4 Ogos.

Norizan berkata, media sosial seperti Twitter dan Facebook tidak ada pengawal atau yang disebut 'gatekeeper' dalam istilah media, dan standardnya tidak sama dengan berita atau maklumat media cetak atau elektrionik arus perdana.

"Di satu sudut kita akan nyatakan perlunya kebebasan maklumat, tapi di satu sudut lain, macam mana nak tentukan rakyat itu sendiri perlu tapis maklumat betul dan salah.

"Masyarakat tak celik media tak tahu nak tapis mana satu antara propaganda, berita atau fitnah semata-mata sehingga akhirnya menyebabkan dia jadi keliru," katanya.

Norizan berkata di sebalik usaha komited kerajaan Malaysia menyediakan infrastruktur teknologi kelas pertama, seharusnya kerajaan memastikan minda rakyat turut berada di tahap kelas pertama juga.

"Pembangunan infrastruktur kelas pertama harus seiringan dengan literasi media, bagi memastikan kita mempunyai kematangan yang cukup untuk mengawal segala ledakan teknologi ini. Kalau tak...sama saja," katanya.

Penganalisis sosial Prof Dr Azmi Hassan berkata pendidikan untuk menjadi 'net citizen' yang baik seharusnya bermula di peringkat awal lagi.

Pengarah Pusat Dasar Teknologi dan Kajian Antarabangsa Kampus Antarabangsa Universiti Teknologi Malaysia itu berpendapat, ledakan teknologi ini tidak seharusnya dikawal terlalu ketat, sebaliknya pendedahan mengenai etika harus diberikan secara berterusan untuk mendidik masyarakat.

"Pihak berkuasa dan agensi penguatkuasa yang berkaitan harus memberi bimbingan dengan betul tentang apa yang boleh dan tak boleh dilakukan berlandaskan etika sebenar pengguna Internet.

"Mengambil contoh rusuhan di London, kita dapat perhatikan mereka merancang sesuatu tindakan menggunakan media sosial sehingga sukar dikesan pihak berkuasa. Ini tidak akan berlaku seandainya mereka mengamalkan etika di dalam penggunaan aplikasi teknologi tersebut," katanya.

Azmi menyarankan agar kerajaan dan pihak persendirian memulakan langkah proaktif mendidik generasi sekarang dan generasi akan datang bagi memastikan gejala penyalahgunaan media sosial tidak menjadi begitu serius sehingga tidak terkawal.

- Bernama