12 Ogos 2011

Kedah turut bayar bonus minima RM500

12 Ramadhan 1432H. [MOD] -

ALOR SETAR, 12 Ogos: Menteri Besar, Dato' Seri Azizan Abdul Razak dalam kenyataannya kepada media hari ini telah mengumumkan pembayaran bonus setengah bulan gaji dengan kadar minima RM500 kepada kakitangan kerajaan negeri bulan ini.

Azizan berkata, kerajaan negeri akan mengikut langkah yang diambil kerajaan pusat dalam pemberian bonus itu selain turut memberikan bonus setengah bulan gaji kepada semua anggota dewan undangan negeri (Adun) di Kedah.

"Kita akan bayar pada 18 Ogos nanti bersama gaji bulan ini, keseluruhannya kita akan bayar lebih RM5 juta," katanya yang dipetik dari Bernama.

Sementara itu, Azizan yang ketika ini masih menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) semakin beransur pulih dan akan dibenarkan pulang tidak beberapa lama lagi.

"Saya dah baik tapi masih berehat, sekarang dah banyak perubahan. InsyaAllah, minggu depan saya boleh balik Alor Setar," katanya.

Beliau dimasukkan ke IJN, 29 Julai lalu selepas mengadu sakit pada bahagian jantung dan hasil pemeriksaan doktor mendapati ada saluran tersumbat dan perlu mendapatkan rawatan susulan.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: