12 Ogos 2011

Pakatan jawab Wan Ahmad: ‘Kami tiada agenda kotor, SPR tak neutral’

12 Ramadhan 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 12 Ogos — Pakatan Rakyat secara tegas menafikan dakwaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa perikatan itu mengulangi “agenda politik kotor” untuk memenangi pilihan raya umum ke-13 melalui penyebaran fitnah dan pembohongan.
Sebaliknya, menurut pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat, apa yang didedahkan mereka selama ini adalah berdasarkan fakta dan bukti yang dinafikan badan pengurusan pilihan raya itu.
Malah mereka juga mengecam kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar dan menggesa beliau meletakkan jawatan jika “benar-benar mahu terlibat dalam politik.”
“Kenyataan beliau (Wan Ahmad) adalah kenyataan partisan bukan neutral, beliau mahu berpolitik dan kalau benar beliau mahu berpolitik letak jawatan sebagai Timbalan Pengerusi SPR.
“Apa yang dikatakan pembohongan yang dilakukan Pakatan Rakyat? Apa pembohongan? Apa yang kita dedahkan dan bangkitkan adalah berdasarkan fakta dan bukti sebagai contoh itu daftar pemilih yang menyaksikan banyak penyelewengan itu yang kita sudah dedahkan, yang belum didedahkan lagi banyak,” kata Naib Presiden PAS Datuk Paduka Husam Musa kepada The Malaysian Insider.
Tegas beliau, apa yang didedahkan Pakatan Rakyat berhubung kepincangan sistem pilihan raya negara adalah benar sambil menyifatkan SPR tidak memandang serius setiap perkara yang dibangkitkan.
“Dalam soal daftar pemilih mengapa selepas didedahkan baru SPR kemas kinikan data? Begitu juga soal warga asing yang diberikan taraf kewarganegaraan dan kemudian dijadikan pengundi... apa yang dibangkitkan Pakatan Rakyat adalah benar tapi SPR tak ambil peduli.
“Siapa punya kerja kalau bukan sindiket, mengapa SPR tidak nampak apa yang berlaku di depan mata? Begitu juga dengan undi pos yang mana sudah ada pendedahan, SPR baru mahu melaksanakannya,” katanya sambil menambah, “semua yang kita dedahkan berdasarkan fakta tapi SPR tidak boleh terima sebab mereka tali barut Umno.”
Husam berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai kenyataan Wan Ahmad yang mendakwa pembangkang mengulangi “agenda politik kotor” untuk memenangi pilihan raya umum ke-13 melalui penyebaran fitnah dan pembohongan.
Wan Ahmad berkata sebelum pilihan raya umum ke-12, ada pihak yang menuduh SPR bersikap tidak adil dengan menyebar fitnah dan tohmahan memburukkan imej dan kewibawaan badan itu.
Malah kata beliau, selepas mereka menang 82 kerusi Dewan Rakyat mengalahkan BN di lima Dewan Undangan Negeri, mereka terkejut dengan kemenangan melalui proses pilihan raya yang mereka tuduh kotor dan tidak adil selama ini.
Tambah Husam, walaupun Pakatan Rakyat memenangi banyak kerusi pada pilihan raya umum 2008, namun ia tidak bermakna pilihan raya umum ke-13 “bersih” daripada penyelewengan.
“Menang pilihan raya umum lepas tidak bermakna pilihan raya umum ke-13 akan bersih sebab kalau kita lihat SPR memanipulasikan negeri-negeri yang mereka sasarkan, pada 2004 mereka sasarkan Terengganu dan pada kali ini mungkin negeri-negeri yang dimenangi Pakatan Rakyat terutamanya Selangor,” katanya.
Sementara itu Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata, kenyataan Wan Ahmad itu akan menjadi “satu malapetaka” kepada SPR.
“...dan kenyataan ini akan terus menghakis keyakinan rakyat terhadap sebuah badan pengurusan pilihan raya yang sepatutnya bertanggungjawab mengadakan pilihan raya adil dan bersih.
“Kenyataan ini membuktikan Wan Ahmad gagal mempertahankan prinsip profesionalisme sebagai seorang pemimpin tertinggi SPR,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak menambah dakwaan mengatakan Pakatan Rakyat menggunakan kaedah kotor untuk menang adalah tidak benar dan tidak berasas.
Tegas Azmin, pendedahan yang dibuat Pakatan Rakyat berdasarkan fakta, namun ia dinafikan oleh SPR.
“Saya tidak terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan Wan Ahmad kerana persepsi umum sekian lama memperlihatkan pandangan SPR memainkan peranan Umno dan gambaran ini sukar untuk dihakis,” katanya.
Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar menyifatkan Wan Ahmad tidak memahami ‘penjalanan sebenar’ SPR.
“Ternyata beliau tidak menghayati apa yang termaktub dalam Seksyen 5(1) Akta Pilihan Raya yang mana SPR perlu bersikap adil dan berkecuali.
“Beliau begitu memihak kepada parti-parti komponen kerajaan dengan menutup mata kepada tahap kredibiliti pilihan raya umum di Malaysia yang begitu lemah,” katanya.
Justeru kata beliau, Wan Ahmad perlu meletakkan jawatan ekoran sikap kepartian yang ditunjukkan.
“Dalam laporan integriti sedunia, Malaysia hanya mendapat tempat ke-50 di mana integriti pilihan raya kita yang hambar diberikan perhatian khusus.
“Jikalau inilah sikap yang dipamerkan, saya minta timbalan pengerusi SPR meletakkan jawatan,” katanya.

Tiada ulasan: