16 Oktober 2012

P Pinang surplus kerana rakyat, pentadbiran gigih

30 Zulkaedah 1433H. [MOD] -


GEORGE TOWN: Pengesahan Laporan Ketua Audit Negara 2011 bahawa lebihan surplus yang paling tinggi dicatat dalam sejarah Pulau Pinang yang naik 312% kepada RM138 juta pada 2011 berbanding RM33 juta pada 2010 adalah usaha gigih rakyat Pulau Pinang dan semangat berpasukan semua anggota pentadbiran kerajaan negeri.

Demikian dinyatakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Katanya, pentadbiran Cekap Akauntabel dan Telus atau CAT kerajaan negeri PR telahpun membolehkan surplus naik RM105 juta dalam setahun kepada rekod RM138 juta berdasarkan kenaikan hasil yang dikutip yang naik RM192 juta atau 47% daripada RM411 juta pada 2010 kepada RM603 juta pada 2011 sungguhpun perbelanjaan mengurus naik RM88 juta atau 23% daripada RM377 juta pada 2011 kepada RM465 juta pada 2011.

Kerajaan negeri juga, kata beliau berterima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz yang mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Pulau Pinang atas pengurusan kewangan baik negeri, khususnya dalam menaikkan kutipan hasil sebanyak 47% atau RM192 juta.

Menurutnya, sungguhpun prestasi kewangan adalah yang paling baik dalam sejarah negeri Pulau Pinang, maka kerajaan negeri menerima teguran Laporan Ketua Audit Negara dengan hati terbuka.

“Saya telahpun mengarahkan jawapan daripada semua jabatan berkenaan sekiranya ada kelemahan yang harus diperbaiki ataupun ada teguran audit yang tidak berasaskan fakta ataupun disebabkan oleh kesilapan pihak lain dan bukannya melibatkan kerajaan negeri.

“Di antara teguran audit yang saya hendak jelaskan di sini adalah bahawa daripada RM 557.25 juta yang diperuntukkan kepada 9 jabatan negeri untuk menjalankan 2,489 projek, hanya RM 171.05 juta telah dibelanjakan, ataupun RM386.2 juta tidak dibelanjakan,” ujarnya yang juga Setiausaha Agung DAP.

Sebenarnya, jelas beliau hanya RM23.9 juta yang tidak dibelanjakan dan bukannya RM386.2 juta.

Katanya, RM23.9 juta tidak dibelanjakan kerana projek bermula lewat dan jabatan telahpun diarahkan untuk memastikan kelewatan dapat dielakkan.

Beliau menjelaskan lagi, baki RM362.3 juta tidak dibelanjakan disebabkan oleh dua (2) perkara utama iaitu:

- RM100 juta yang diperuntukkan untuk pengambilan tanah hub pendidikan Asian Women Leadership University atau AWLU di Kampung Genting, Balik Pulau tidak dibelanjakan apabila AWLU bersetuju memilih tapak kerajaan negeri di Pondok Upeh. Oleh itu pengambilan tanah di Kampung Genting dibatalkan dan kos RM100 juta dijimatkan; dan

- RM262.3 juta diperuntukkan untuk membayar hutang pinjaman projek bekalan air yang tidak perlu lagi dibelanjakan selepas perjanjian penghijrahan aset air kepada kerajaan persekutuan menerusi Perbadanan Asset Air Bhd(PAAB). Ini adalah kerana kerajaan persekutuan diperlukan membina Empangan Air Mengkuang dan mengambilalih hutang pinjaman ini sebagai pra-syarat kerajaan negeri bersetuju menyerahkan aset air kepada PAAB.

Ahli Parlimen Bagan itu menambah, Laporan Ketua Audit Negara telahpun menyatakan bahawa daripada 2,489 projek yang telah diluluskan pada 2011, sebanyak 2,455 projek (iaitu  98.6%)  telah siap sepenuhnya.

Katanya, hanya dua perbelanjaan besar sebanyak RM362.3 juta tidak dijalankan seperti yang dijelaskan di atas.

Beliau berkata, daripada jumlah peruntukan  RM557.25 juta hanya RM23.9 juta tidak dapat dibelanjakan kerana lewat berjalan projek.

“Pada keseluruhannya ulasan Ketua Audit Negara adalah bahawa pencapaian yang  baik dari segi bilangan projek yang berjaya disiapkan,” ujarnya.

harakahdaily/-

[GILA] Bilik Kebal Rahsia Besar Simpan Perabot Lama - Laporan Audit

30 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia dan Jabatan Pertahanan Awam menerima teguran daripada Ketua Audit Negara kerana menyimpan perabot lama di dalam bilik kebal yang sepatutnya digunakan untuk menyimpan dokumen rahsia besar.

"Perenggan 58 Arahan Keselamatan antaranya menyatakan dokumen terperingkat Rahsia Besar merupakan dokumen yang perlu disimpan di dalam bilik kebal atau peti besi yang sepatutnya dipasang dengan kunci tatakira."

Bagaimanapun, lawatan Audit ke Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia mendapati bilik kebal yang disediakan tidak digunakan mengikut fungsi bilik berkenaan.

"Sebaliknya, bilik tersebut telah digunakan untuk menyimpan perabot lama, peralatan pembersihan dan bekalan pejabat seperti ditunjukkan dalam gambar berikut," laporan itu dipetik.

Dokumen itu menyebut, amalan itu dikesan berlaku di kompleks Kementerian Dalam Negeri yang baru siap dibina pada Mac lalu di Johor bagi mengumpulkan kesemua agensi kementerian tersebut di bawah satu bumbung.

Laporan itu menyebut, jumlah bilik kebal tidak mencukupi untuk kegunaan jabatan lain di kompleks kementerian tersebut, menyebabkan dokumen terkawal disimpan di stor utama.

Ia antara lainnya mendapati, stor utama pejabat Jabatan Pendaftaran Negara tidak sesuai kerana berada di laluan paip kumbahan, dan tidak dilengkapi kemudahan mencegah kebakaran.

Stor yang digunakan Jabatan Imigresen Malaysia pula, menurut laporan itu, hanya berdinding kaca tanpa dilengkapi jeriji besi.

Maklum balas kementerian itu kepada jabatan audit pada Jun lalu menyebut, bilik kebal berkenaan telahpun dibersihkan.

grennboc/-

Lebih 20 dibunuh selepas tunai solat

30 Zulkaedah 1433H. [MOD] - 
Pasukan perubatan membawa salah seorang mangsa yang parah ditembak penyerang.

Pasukan perubatan membawa salah seorang mangsa yang parah ditembak penyerang.
 
KADUNA - Sekumpulan lelaki bersenjata menyerang sebuah perkampungan di utara Nigeria, menyebabkan 22 orang yang kebanyakannya baru selesai menunaikan solat terkorban, kelmarin.

Pegawai polis, Olufemi Adenaike berkata, serangan di sebuah kampung terpencil, Dogo Dawa dipercayai bermotifkan membalas dendam selepas empat ahli kumpulan bersenjata itu, ditahan anggota rukun tetangga kampung yang kemudian membawa mereka ke balai polis.

"Selepas kejadian itu, sekumpulan lelaki bersenjata dari kampung Kuyello menyerbu kampung ini, kemudian menembak penduduk kampung yang baru keluar dari masjid dan ada yang ditembak di rumah mereka," kata Dawa.

Daerah Kaduna sering diganggu oleh kumpulan pemberontakan Boko Haram sekali gus menyekat kebebasan penduduk yang terancam di tanah air sendiri.

Jenayah rompakan bersenjata dan perebutan kawasan sehingga mencetuskan situasi tembak-menembak, adalah perkara yang biasa berlaku di perkampungan penduduk miskin utara negara itu.
Pemimpin tradisional, Abdullahi Muhammad berkata, perkampungan yang bersebelahan dengan kawasan kerajaan tempatan, diserang oleh sekumpulan pemberontak yang terkenal.

"Kumpulan lelaki bersenjata yang beroperasi dari kem dalam hutan telah mengganas di kampung itu.
Mereka sering menyerang kampung-kampung dan pemandu kereta di sepanjang laluan sibuk Kaduna menghala ke lebuh raya Lagos," katanya. -Reuters

Pocong tanah kubur

30 Zulkaedah 1433H. [MOD] -


BUKTI...Pandak melihat objek menyerupai pocong dicampak 
di depan rumahnya, semalam.

BUKTI...Pandak melihat objek menyerupai pocong dicampak di depan rumahnya, semalam. 
JOHOR BAHRU: Seorang pengamal perubatan tradisional tercampak sejauh tiga meter ketika cuba mengambil objek seakan-akan pocong yang dicampak di depan rumah Ahli Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT), Pandak Ahmad, 49, di Taman Mutiara Rini, di sini, semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, selepas membaca ayat suci al-Quran selama beberapa minit baru pengamal perubatan Islam terbabit berjaya mengangkat objek yang dipercayai menjadi medium ilmu hitam itu.

“Saya tidak menyangka sihir digunakan terlalu kuat sehingga tubuh saya boleh tercampak,” kata pengamal perubatan berusia 50-an itu yang hanya mahu dikenali sebagai Ustaz.

Menurutnya, selepas mengangkat objek sepanjang 45 sentimeter itu dan melakukan pemeriksaan, ia didapati penuh dengan serbuk pewarna merah, dicucuk jarum dan tulisan Siam.

Katanya, objek pocong itu dipercayai diisi menggunakan tanah kubur dan diwarnakan merah melambangkan darah manakala tulisan Siam yang tertera adalah sebahagian mantera.

sinar/-

Jumpa emas dalam sampah

30 Zulkaedah 1433H. [MOD] - 

Siew Chin enggan wajahnya dirakam, membawa guni yang dipenuhi botol.

Siew Chin enggan wajahnya dirakam, membawa guni yang dipenuhi botol.
 
PERSIARAN GURNEY – Pengalaman terjumpa rantai emas dalam timbunan sampah tidak mungkin akan dilupakan seorang pemungut barangan terpakai, Boon Siew Chin, 65, dari Tanjung Tokong di sini.

Dia yang melakukan pekerjaan itu selama 12 tahun, berkata, ia adalah barangan berharga pertama dijumpainya di Pantai Persiaran Gurney.

“Setiap pagi saya akan ke sini untuk kutip botol, kotak dan juga barang-barang yang boleh digunakan semula, tetapi pada hari yang bertuah itu saya terjumpa kotak kecil dalam selut dan sampah.

“Selepas membukanya saya amat terkejut kerana ada rantai emas dan saya segera membawanya ke kedai emas untuk bertanyakan jika ia tulen atau tidak, rupa-rupanya memang emas tulen,” katanya.

Punca pendapatannya itu pernah dianggap gila oleh sesetengah sanak saudaranya kerana biasanya orang mengutip siput ataupun kerang di tepi-tepi laut ketika air surut, berbeza bagi Siew Chin yang lebih suka mengutip sampah.

Siew Chin memaklumkan rutinnya bermula setiap pagi iaitu seawal jam 7 hinggalah 10 pagi ketika air sedang surut.

“Ini kerja yang saya buat kalau orang tidak panggil saya untuk cat rumah atau baiki paip air. Kalau datang sini memang saya boleh punggah dua guni botol.

“Botol yang saya kutip ini banyak di permukaan selut. Daripada air laut telan botol ini, lebih baik saya ambil dulu dan jual. Boleh buat duit,” katanya.

Pantai di sepanjang Persiaran Gurney sememangnya menjadi tempat paling popular dikunjungi orang ramai, khasnya pada waktu malam.

Namun mendukacitakan apabila pada waktu siang keadaan lautnya begitu kotor dan menjijikkan dengan selut dan taburan sampah yang dibuang orang ramai.

sinar/-

Perut hancur digilis lori tanah

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - 


KESAN seretan jelas kelihatan di tempat kemalangan yang mengakibatkan Muhamad Fikri maut di Jalan Cheras-Kajang kelmarin.

KUALA LUMPUR – Malang berganda.Hanya itu perkataan yang sesuai untuk menggambarkan mengenai satu kemalangan yang mengorbankan dua nyawa di Jalan Cheras-Kajang menghala ke pusat bandar berhampiran Taman Midah, Cheras di sini kelmarin.

Kejadian pukul 11.05 malam itu mengakibatkan Muhamad Fikri Khairol Anuar, 22, dan seorang lagi pejalan kaki yang belum dikenal pasti identitinya maut. Muhamad Fikri menunggang motosikal jenis Yamaha FZ.
Kemalangan berlaku apabila Muhamad Fikri yang merupakan juruteknik gagal mengelak lalu terlanggar lelaki warga asing tersebut yang tiba-tiba melintas di lorong kanan.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning berkata, ekoran itu, Muhamad Fikri telah hilang kawalan lalu terjatuh hingga ke lorong tengah sebelum dilenyek oleh sebuah lori membawa muatan tanah dari arah sama.

Katanya, pemandu lori itu dipercayai tidak sempat membrek untuk mengelak daripada terlanggar mangsa yang terjatuh.

“Mangsa terseret beberapa meter hingga mengakibatkan bahagian dari perut ke kaki Muhamad Fikri hancur digilis.

“Pejalan kaki itu juga maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. Kita percaya kejadian berpunca apabila pejalan kaki tersebut tidak menggunakan jejantas untuk melintas di jalan yang agak sibuk itu,” katanya.

Kosmo

15 Oktober 2012

Desak Najib jelaskan tujuan dan isi pertemuan dengan Soros

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR 15 Oktober: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak harus menjelaskan tujuan dan topik perbincangannya bersama George Soros jika benar pertemuan itu tidak melibatkan sebarang rahsia yang perlu disembunyikan, kata Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail. “Rakyat ingin tahu apa isinya dari pertemuan tersebut, apakah benar ia hanya perjumpaan biasa? Apa agenda yang dibincangkan atau menyambung perjanjian tersembunyi antara Soros dan Mahathir dulu?” soalnya. Menurut Azan, jelas pertemuan tersebut membuktikan Umno BN yang selama ini menuding jari terhadap Pakatan Rakyat (Pakatan) sebenarnya mempunyai hubungan rapat dengan Soros dan dalam masa sama meminta bantuan darinya. “Sifat talam dua muka Najib yang menyambung lidah (Tun Dr) Mahathir (Mohamad) dengan mendakwa Pakatan diberi dana asing untuk menjatuhkan kerajaan terbukti sengaja direka dan dihebohkan untuk memberi imej negatif kepada Pakatan, walhal pada sama kedua-duanya juga mengatur pertemuan sulit dengan Soros. “Pertemuan itu pula tidak diperjelaskan, jadi ia memberi kesangsian kepada rakyat,” kata Azan ketika dihubungi Keadilan Daily. Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah minggu lalu mendedahkan pertemuan antara Najib dengan Soros di sebuah hotel mewah, Hotel Plaza di Manhattan, New York pada 27 September 2010. Najib bagaimanapun menyatakan pertemuan tersebut merupakan kunjungan hormat biasa dan ia tiada salah, namun tidak mendedahkan tujuan dan isi perbualan mereka. Azan juga tidak menolak kemungkinan konspirasi wang seludup sebanyak RM40 juta yang disalurkan kepada Umno Sabah juga melibatkan Soros. “Saya syak wang yang kononnya sumbangan politik biasa kepada Umno Sabah tersebut juga melibatkan Soros, sebab itu pihak berkuasa tidak mendedahkan sumber wang tersebut. Kita harus ingat, pihak berkuasa berada di bawah kekangan beliau,” kata Azan lagi. Katanya, tindakan bersekongkol secara sembunyi seperti ini seolah-olah Perdana Menteri mengheret negara dalam bahaya. “Tindakan ini boleh menggugat kestabilan negara kerana kita tidak mengetahui agenda tersembunyi di sebaliknya. “Najib seolah-olah sedang menjual negara kepada dunia secara senyap-senyap,” tegas beliau. Najib yang juga Presiden Umno enggan mendedahkan pihak yang menyumbang wang tersebut kepada Umno, tetapi mengatakan ia adalah untuk sumbangan politik. Keadilan Daily

BN terkena batang hidung sendiri kaitkan Pembangkang dengan Soros

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR 15 Oktober: Usaha Umno BN memfitnah Pakatan Rakyat (Pakatan) mempunyai hubungan dengan spekulator mata wang, George Soros akhirnya terpalit kepada mereka sendiri, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. “Mantan Perdana Menteri, Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) kata kalau Anwar jadi PM, negara ini akan dijual kepada Soros. “Akhirnya beliau (Mahathir) sebenarnya yang jumpa (Soros) dan keluar gambar mereka…tengok-tengok, bukan main lagi (mereka) senyum,” kata Ketua Umum KEADILAN itu disambut sorakan lebih 12,000 hadirin ketika berucap pada Ceramah Mega Jelajah Merdeka Rakyat ke Pulau Pinang di tapak Ekspo Pertanian Seberang Jaya, malam tadi. Pada masa sama, skrin di tepi pentas turut memaparkan gambar pertemuan Mahathir dan Soros di sebuah hotel dalam negara pada 2006. Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga menempelak Umno BN melalui media kawalannya yang setiap hari mengaitkan Pakatan dengan jutawan itu. Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan sahaja bertemu Soros di dalam negara, malah mengaturkan pertemuan khas di New York dua tahun lalu. “Saya tiada masalah kalau nak jumpa, tapi jangan fitnah kita…ini Utusan Malaysia dan Buletin Utama (TV3) setiap hari buat fitnah,” kata Anwar. Turut berucap Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mansor Othman dan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu. Dalam pada itu, Anwar turut menceritakan sambutan luar biasa rakyat Sabah ketika jelajah Merdeka Rakyat ke negeri itu Jumaat dan Sabtu lalu. “Sambutan cukup luar biasa, termasuk di kubu kuat Umno di Lahad Datu…Sabah kini bukan lagi ‘fixed deposit’ mereka,” kata Anwar. Sebab itu, katanya lagi, Najib mengumumkan peruntukan tambahan RM2.89 bilion kepada Sabah kerana takut kehilangan negeri itu. “Tapi saya nak cakap kat Najib, it’s too late (ianya sudah terlambat)…beliau perlu sedia untuk jadi Ketua Pembangkang yang baik, InsyaAllah,” sinis Anwar. Keadilan Daily

Mangsa tembakan polis saman KPN, kerajaan Malaysia

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR 15 Oktober: Mangsa tembakan polis tiga tahun lalu, Norizan Salleh, 32, memfailkan saman terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, kerajaan Malaysia dan dua lagi yang lain hari ini. Mangsa ditembak secara rambang oleh seorang pegawai polis peronda sewaktu menaiki kereta bersama rakannya di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2), pada 30 Oktober 2009. Polis menembak kereta tersebut bertalu-talu dan beberapa das tembakan itu kena pada pergelangan tangan, bahu kanan serta tulang rusuk Norizan. Sewaktu Norizan cuba keluar dari kereta dan meminta pertolongan polis, dia telah ditendang di bahagian dada menyebabkan beliau rebah semula ke dalam kereta. Polis tersebut sekali lagi memijak pula belakang Norizan sebaik beliau keluar semula dari kereta dalam keadaan merangkak dan kesakitan. “Sehingga kini, kesan tembakan dan serangan itu masih terasa, saya sering menghadapi kesukaran bernafas, tidak boleh terlalu aktif dan tidak boleh angkat barang berat,” jelas Norizan kepada pemberita di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini. Norizan yang diwakili peguam, N Surendran, Latheefa Koya dan Afiq Mohd Noor menuntut gantirugi am, ganti rugi khas sebanyak RM18,326, ganti rugi teladan serta faedah atas jumlah penghakiman keseluruhan pada kadar lapan peratus setahun. Polis yang menyerang beliau, Mohd Firdaus dinamakan sebagai defendan pertama, diikuti Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan; Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia. Sebelum ini Norizan yang mendapat pembelaan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat menyerahkan memorandum kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Polis Negara waktu itu, Tan Sri Musa Hassan. Difahamkan, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bagaimanapun telah memanjangkan perkara tersebut kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat, tetapi masih tiada sebarang tindakan, malah tiada respon balas daripada kerajaan setelah beberapa memorandum sama diserahkan. Keadilan Daily

Bentang laporan audit lewat setengah bulan ada agenda tersembunyi

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR 15 Oktober: Selepas lebih setengah bulan Bajet 2013 BN dibentangkan, hari ini barulah Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2011 akan dibentangkan di Dewan Rakyat. Sebelum ini, beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang mempersoal kelewatan laporan audit diedar dan menyifatkan ada perkara yang disembunyi daripada pengetahuan rakyat. Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali menyifatkan pembentangan LKAN selepas Bajet 2013 seolah-olah mempunyai agenda tersirat. “Kita tidak tahu sama ada belanja kerajaan berhemah atau tidak. LKAN adalah asas untuk perbahasan dan memeriksa belanja kerajaan pada tahun lalu. “Perkara ini tidak pernah berlaku, seperti ada agenda tersembunyi. Kerajaan mesti ingat yang akhirnya menanggung (belanja) ialah (wang) rakyat,” tegas Azmin yang menyifatkannya ia di luar tradisi Dewan Rakyat selama ini. Sebaliknya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz beralasan tindakan membentangkan laporan audit selepas bajet untuk mengelak laporan itu mencuri tumpuan berbanding pembentangan belanjawan. Sedangkan, menurut Azmin, lazimnya LKAN perlu dibentangkan pada hari pembentangan bajet supaya prestasi kewangan negara dapat dinilai setahun sebelum itu. “Ini untuk membolehkan Ahli Parlimen guna LKAN sebagai asas perbahasan. Seolah-olah ada agenda tersembunyi untuk menutup kelemahan dan salahguna kuasa,” kata Azmin. Bajet 2013 BN dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 28 September lalu dan hari ini tarikh tersebut mencecah 18 hari, bermakna lebih setengah bulan laporan audit dibentangkan. Keadilan Daily

Saman AES: Rompakan ‘berlesen’ di jalan raya

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR 15 Oktober: Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) merupakan lanjutan saman ekor. Bagaimanapun, seperti saman ekor yang dibantah kerana ketidakcekapan dan kelemahan sistem, AES juga menghadapi isu sama. Penasihat Undang-undang Jawatankuasa Bertindak Kempen Anti Saman Ekor (Kase), Zulhazmi Shariff mendakwa kamera AES dalam operasi percubaannya didapati gagal mengesan dengan tepat angka 0, 6 dan 9. “Pihak Kase mendapat maklumat yang mendakwa imej dirakam kamera AES ini sukar membezakan angka 0, 6 dan 9 pada waktu malam pada jarak agak jauh. “Kamera AES diuji pada 23 dan 24 September lalu. Sebanyak 952 imej kenderaan dirakam tetapi lebih 100 imej tidak sah. Kita mahu penjelasan adakah imej itu tidak sah kerana sistem gagal membezakan angka tertentu pendaftaran kereta?” katanya. Beliau turut meminta kerajaan menjelaskan apakah status sistem AES. Adakah sudah berkuatkuasa atau masih dalam ujian. “Saman dilaporkan sampai ke alamat penerima dalam lima hari. Tetapi setelah sebulan tiada seorang pun dapat. Adakah kamera masih dalam ujian atau ada masalah lain? “Kita juga mahu penjelasan mengenai 3,842 kemera perangkap had laju PDRM sedia ada. Kenapa tidak dinaiktaraf kamera tersebut dan kerajaan mengutip saman?” katanya. Saman minimum RM300 Zulhazmi mendakwa kerajaan menaikkan had minimum saman trafik semata-mata untuk memudahkan pengiraan kutipan bayaran saman syarikat yang mengendalikan AES. ”Jika dahulu pesalah trafik akan dibicara di mahkamah dan denda atas budi bicara majistret, sama ada RM100 atau RM200. Dengan denda minimum, syarikat pengendali AES akan mendapat RM16 setiap saman,” katanya. Keadilan Daily

Tentera Assad lancar bom kluster

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - DAMSYIK: Kerajaan Syria telah menjatuhkan bom kluster buatan Rusia di kawasan awam pada minggu lalu dalam usaha mengambil kembali kawasan yang dirampas kumpulan penentang, menurut kumpulan pemantau Human Rights Watch. Bom digugurkan dari kapal terbang dan helikopter, dengan banyak serangan mengambil tempat berhampiran lebuh raya utama utara-selatan yang melalui bandar barat laut Maarat al-Numan, dalam satu laporan Human Rights Watch yang dikeluarkan Ahad lalu. Kumpulan penentang merampas Maarat al-Numan dari tentera Presiden Bashar al-Assad, minggu lalu, memotong laluan dari Damsyik ke Aleppo, bandar terbesar di Syria. Tentera kerajaan cuba untuk merebut kembali kawasan tersebut sejak perampasan berkenaan. Human Rights Watch, sebelum ini telah melaporkan bahawa Kerajaan Syria menggunakan bom kluster, yang telah diharamkan oleh kebanyakan negara, pada Julai dan Ogos lalu tetapi serangan terbaru ini menunjukkan keazaman kerajaan untuk mendapatkan semula kawalan strategik di barat laut Syria. Bom kluster boleh menggugurkan ratusan bom di kawasan yang luas, direka untuk membunuh orang sebanyak mungkin. Kumpulan hak asasi manusia mengatakan penggunaan bom kluster di kawasan penduduk awam boleh menjadi satu jenayah perang. Lebih daripada 100 negara telah mengharamkan penggunaan, pengumpulan, pemindahan atau penjualan bom kluster di bawah konvensyen yang kemudian menjadi undang-undang antarabangsa pada tahun 2010, tetapi Syria tidak menandatanganinya, sama seperti Rusia, China dan Amerika Syarikat. Harakah Daily

Tanah: Rakyat miskin, wakil rakyat yang dapat

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - Percayakah anda, dalam suasana rata-rata rakyat Terengganu tidak mempunyai tanah untuk tempat kediaman mereka serta sedang bergelumang dengan bebanan kemiskinan dan kos sara hidup yang tinggi, kerajaan negeri ‘Darul Iman’ di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Sri Ahmad Said telah secara berani dan terbuka ‘menganugerahkan’ tanah yang istimewa kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Parlimen dari UMNO/Barisan Nasional (BN). Antara exco dan wakil rakyat UMNO yang telah diluluskan permohonan tanah itu adalah Adun Kuala Berang, Mohd Zawawi Ismail; Adun Kuala Besut, Dr. A Rahman Mokhtar; Adun Chukai, Datuk Mohamed Awang Tera; Adun Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh; Ahli Parlimen Besut, Datuk Dr Abdullah Mat Zain; Adun Hulu Besut, Nawi Mohamad; Adun Batu Rakit, Khazan Che Mat; Adun Bukit Besi, Datuk Din Adam; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Mohd Nor Othman; Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid dan Adun Kemasik, Ir. Rosli Othman. Kesemua mereka telah dianugerahkan tanah sekurang-kurangnya satu hektar setiap seorang dan ia merupakan tanah-tanah strategik yang mempunyai nilai yang amat tinggi. Yang lebih menarik lagi adalah penjelasan dari Menteri Besar Terengganu, Datuk Sri Ahmad Said dalam hal ’anugerah’ tanah kepada wakil-wakil rakyat UMNO ini? Setelah diasak bertubi-tubi di dalam sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini, beliau memberi jawapan selamba bahawa anugerah tanah kepada wakil-wakil rakyat Umno itu ’adalah amalan biasa dan tidak sedikitpun menyalahi etika dan prosedur kerajaan’. Beliau berkata; ‘Sebagai rakyat Terengganu, wakil rakyat Barisan Nasional (BN) juga berhak mendapat tanah yang dipohon daripada kerajaan negeri jika mematuhi syarat yang ditetapkan’. Malah Ahmad Said turut memberi justifikasi bahawa setiap rakyat Terengganu yang tidak mempunyai sebarang tanah dan mahu memohon tanah adalah dialu-alukan kerana mereka berhak untuk memohon tanah dan mendapatkan tanah-tanah kerajaan. Bagi beliau; “Kita beri rakyat Terengganu untuk pohon tapak rumah ataupun tanah pertanian. Kalau tanah pertanian kita beri sampai dua hektar, kalau tapak rumah satu lot, tiada salahnya,” Persoalannya, apakah ini jawapan yang munasabah dari seorang pemimpin yang telah diberikan tanggungjawab dan amanah besar oleh rakyat Terengganu ini? Apakah benar anugerah tanah kepada wakil-wakil rakyat UMNO ini merupakan amalan biasa dan tidak menyalahi sebarang etika? Apakah rata-rata rakyat Terengganu yang hanya hidup ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ sudah pun memiliki tanah yang dianugerahkan oleh kerajaan negeri? Atau, apakah wakil-wakil rakyat UMNO Terengganu adalah terdiri dari golongan ’miskin’ dan tidak memiliki sebarang tapak tanah untuk kediaman mereka? Atau mungkin, apakah Ahmad Said sudah merasakan bahawa Umno Terengganu kini sudah ‘terlalu kebal’ dan tidak mungkin akan kalah dalam pilihanraya akan datang, beliau boleh berbuatlah apa sahaja; Stadium Sultan Mizan yang bernilai hampir RM300 juta mahu runtuh ke, mahu membina Zoo di Bukit Takal bernilai hampir RM100 juta ke, mahu membazirkan duit rakyat ratusan juta pun, rakyat Terengganu tidak akan ambil peduli dan akan tetap bersama menyokong beliau dan Umno di Terengganu. Ramai kalangan yang tertanya-tanya, apakah benar rakyat Terengganu sendiri juga tidak sensitif dan tidak mahu ambil kisah sedikit pun terhadap isu-isu besar seperti anugerah tanah kepada wakil-wakil rakyat UMNO ini? Berikanlah apa sahaja kepada wakil-wakil rakyat UMNO, tanah berhektar-hektar ke, kawasan pembalakan ke, projek lebuhraya ke, semua ini rakyat Terengganu sudah tidak kisah dan tidak mahu ambil peduli. Asalkan rakyat yang miskin terus dapat makan dengan mendapat ‘Wang ihsan’ samada dalam bentuk ‘bantuan pakaian sekolah’, bantuan hari raya, bantuan kurma dan air zam-zam, maupun bantuan atap biru. Namun inilah realiti yang sedang berlaku di negeri yang bergelar ‘Kuwait Malaysia’ yang kaya dengan hasil mahsul sumber gas asli dan minyak ini. Slogan ‘rakyat didahulukan’ tampaknya tidak menunjukkan hakikat itu. Nampaknya slogan ini sudah bertukar kepada ‘wakil rakyat didahulukan’ dalam mereka mentadbir negeri Terengganu yang tercinta ini. ’Rakyat tidak didahulukan tetapi wakil rakyat yang diutamakan’. Malang, sungguh malang nasib rakyat negeri ‘Penyu Bertelur ini’. * Penulis adalah Penolong Setiausaha Agong PAS. Beliau boleh dihubungi melalui Email: syedazmans@yahoo.co.uk twitter: @syedazman. Harakah Daily

Kelantan bentang bajet lebihan RM45.8 juta

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - KOTA BHARU: Kelantan membentang anggaran Bajet 2013 dengan lebihan sebanyak RM45.83 juta ketika Belanjawan 2013 kerajaan pusat defisit 16 tahun berturut-turut. Sedangkan pada belanjawan 2012 dianggarkan mencatat defisit sebanyak RM83.23 juta. Ini bermakna berlaku kenaikan hasil sebanyak 35.21 peratus. Buat pertama kali juga pendapatan daripada hasil royalti petroleum sebanyak RM200 juta dimasukkan dalam bajet bertema Bajet Negeri berkebajikan. Pembentangan bajet dilakukan anggota Exco Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa mewakili Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengambil masa hampir sejam pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini. Bajet dianggarkan dengan perolehan hasil sebanyak RM581.77 juta dan perbelanjaan mengurus sebanyak RM535.95 juta. Anggaran hasil sebanyak RM581.77 juta meliputi hasil cukai sebanyak RM296.80 juta, hasil bukan cukai RM171.57 juta, manakala terimaan bukan hasil (RM113.41 juta). “Peningkatan hasil pada 2013 berpunca daripada tuntutan hasil royalti petroleum yang sepatutnya dibayar kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri sebanyak RM200 juta atau sebanyak 34.38 peratus daripada hasil negeri. “Kerajaan negeri memutuskan untuk memasukkan RM200 juta sebagai pendapatan dari royalti petroleum, di mana sebelum ini diletak sebagai token sebanyak RM10. “Ini bertujuan untuk melonjakkan lagi harapan kerajaan dan rakyat Kelantan untuk mendapatkan hak serta meletakkan tiang pacak bahawa Kelantan berhak terhadap pengeluaran gas di telaga Kamelia yang akan memulakan pengeluaran Isya-Allah pada Mac 2013,” kata Menteri Besar. Medan tersebut berada dalam Blok PM 301 yang paling hampir dengan pantai Kelantan, di mana pengeluaran tahunannya sebanyak 110,000 kaki padu setahun. Husam ketika ditemui kemudian berkata, tidak salah untuk memasukkan hasil daripada sumber royalti petroleum sebanyak RM200 juta memandangkan ia adalah hak Kelantan. Katanya, perkara itu pernah berlaku di Terengganu ketika di bawah kerajaan PAS apabila perolehan daripada royalti turut dimasukkan dalam anggaran bajet negeri. “InsyaAllah kita akan mendapat hak tersebut kerana sumber gas dan minyak terbabit berada di perairan Kelantan,” ujarnya. Harakah Daily

MB tertipu jika percaya 86 ahli PR sertai Umno

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - BERA: PAS menganggap Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob tertipu jika percaya seramai 86 orang ahli parti-parti Pakatan Rakyat dari Cawangan Bukit Mendi menyertai Umno dalam ‘Majlis Pemimpin Turun Padang’ kelmarin. Ketua Pemuda PAS Cawangan Bukit Mendi, Hasan Abdul Latif yang mendakwa mengikuti program yang dihadiri Datuk Seri Adnan Yaakub itu secara dekat, hampir semua yang hadir bukannya datang dari Felda berkenaan. (Gambar: Hassan menunjukan laporan akhbar kononnya 86 ahli komponen PR menyertai Umno.) “Saya pasti kebanyakan yang hadir didatangkan dari Kampung Baris, Felda Sungai Kemahal, Jawi-jawi yang semuanya dari Dun Menteri Besar sendiri (Dun Pelangai). “Memang ada seorang penduduk Bukit Mendi iaitu Ismail Yusoff yang mengetuai kumpulan masuk Umno dan majlis tersebut diadakan di perkarangan kedainya sendiri, tetapi dia hanya bekas penyokong DAP” jelasnya. Media massa, elektronik dan portal berita internet semalam menyiarkan berita kononnya lebih 80 anggota PKR, PAS dan DAP cawangan Felda Bukit Mendi dan Bukit Puchong menyertai Umno dan menyerahkan borang kepada Adnan pada majlis 'Pemimpin Turun Padang dan Kenduri Rakyat' di Felda Bukit Mendi, kelmarin. Turut hadir menyaksikan ialah Timbalan Ketua Umno Bahagian Bera Mohd Fadzil Othman yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemayan dan Adun Guai, Norol Azali Sulaiman. Felda bukit Mendi berada dalam Dun Triang yang dimenangi wakil DAP Leong Ngah Ngah. Sementara itu Hasan berkata, beliau mengsyaki kemungkinan orang Umno sendiri yang masuk Umno pada majlis berkenaan bagi mengambil hati Menteri Besar yang pertama kali datang ke Bukit Mendi walau pun berada bersebelahan dengan Dun Pelangai. “Saya terpaksa tampil untuk menjelaskan kekeliruan ini setelah menerima banyak panggilan telefon bertanyakan keadaan sebenar,” katanya kepada Harakahdaily. Dalam pada itu Yang Dipertua PAS Kawasan Bera, Sulaiman Mohamad pula berkata, propaganda isu PAS masuk Umno merupakan fenomena biasa menjelang pilihan raya. Beliau turut mengesahkan, tidak ada ahli PAS di Felda Bukit Mendi dan Bukit Puchong yang keluar menyertai Umno. “Berdasarkan gambar yang kita perolehi, tiada seorang pun yang kita kenali sebagai ahli PAS. Malah dengan hanya seorang saja (Ismail) yang tampil mengesahkan dia mennyertai Umno, itu bukan membuktikan ada penyokong PAS turut sama menyertai Umno. “Mungkin yang mahu masuk Umno itu hanya penyokong atas pagar ataupun penyokong Umno sendiri yang berlakon sebagai ahli Umno baru. Propaganda itu biasa menjelang PRU,” katanya. Leong Ngah Ngah pula ketika dihubungi, mengesahkan Ismail pernah menjadi penyokong DAP pada satu ketika dulu tetapi sudah tidak aktif. “Bagi saya keputusan Ismail untuk menyertai Umno itu haknya dan beliau bebas menentukan haknya untuk berpolitik dalam sebuah negara demokrasi, DAP tiada hak untuk menghalang,” ujarnya. Harakah Daily