15 Oktober 2012
Bentang laporan audit lewat setengah bulan ada agenda tersembunyi
29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR 15 Oktober: Selepas lebih setengah bulan Bajet 2013 BN dibentangkan, hari ini barulah Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2011 akan dibentangkan di Dewan Rakyat.
Sebelum ini, beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang mempersoal kelewatan laporan audit diedar dan menyifatkan ada perkara yang disembunyi daripada pengetahuan rakyat.
Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali menyifatkan pembentangan LKAN selepas Bajet 2013 seolah-olah mempunyai agenda tersirat.
“Kita tidak tahu sama ada belanja kerajaan berhemah atau tidak. LKAN adalah asas untuk perbahasan dan memeriksa belanja kerajaan pada tahun lalu.
“Perkara ini tidak pernah berlaku, seperti ada agenda tersembunyi. Kerajaan mesti ingat yang akhirnya menanggung (belanja) ialah (wang) rakyat,” tegas Azmin yang menyifatkannya ia di luar tradisi Dewan Rakyat selama ini.
Sebaliknya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz beralasan tindakan membentangkan laporan audit selepas bajet untuk mengelak laporan itu mencuri tumpuan berbanding pembentangan belanjawan.
Sedangkan, menurut Azmin, lazimnya LKAN perlu dibentangkan pada hari pembentangan bajet supaya prestasi kewangan negara dapat dinilai setahun sebelum itu.
“Ini untuk membolehkan Ahli Parlimen guna LKAN sebagai asas perbahasan. Seolah-olah ada agenda tersembunyi untuk menutup kelemahan dan salahguna kuasa,” kata Azmin.
Bajet 2013 BN dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 28 September lalu dan hari ini tarikh tersebut mencecah 18 hari, bermakna lebih setengah bulan laporan audit dibentangkan.
Keadilan Daily
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan