15 Oktober 2012
Curi seguni rambai: Buruh berdepan penjara 7 tahun, denda
29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - KUALA TERENGGANU - Gara-gara 'merembat' seguni buah rambai di sebuah kebun milik seorang peneroka di Felda Belara, di sini, seorang buruh berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Tertuduh, Rosli Abd Malek, 41, yang juga anak jati Felda tersebut boleh dikenakan hukuman itu selepas dia mengaku mencuri seguni buah rambai milik Bek Jusoh, 76, pada Rabu lalu.
Dengan itu, Rosli atau lebih dikenali dengan nama Jamsari oleh penduduk di Felda berkenaan mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang boleh dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan itu.
Dia mengaku mencuri seguni buah rambai bernilai RM25 dengan seorang lagi rakannya yang masih bebas, dikenali ‘Muda’ di dalam kebun milik warga emas berkenaan pada 10 Oktober lalu kira-kira jam 7 petang.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Anak Dunstan Muda di hadapan Pendaftar Kanan Mahkamah Majistret/Sesyen, di sini, Rosli Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Bagaimanapun, selepas pengakuannya direkodkan, Rosli menetapkan 23 Oktober depan sebagai tarikh jatuh hukum yang akan diputuskan di Mahkamah Majistret, di sini dan membenarkan dia diikat jamin RM2,500 oleh seorang penjamin.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, pemilik kebun, Bek sedang berada di rumahnya sebelum ternampak dua lelaki dikenali iaitu Rosli bersama rakannya sedang menunggang motosikal masuk ke dalam kawasan kebun buah rambai miliknya.
Hampir sejam kemudian, kedua-duanya keluar sambil membawa seguni berisi penuh buah rambai dan melihatkan situasi itu, Bek yakin buah rambai di dalam guni dibawa adalah hasil curi dari kebunnya.
Tanpa membuang masa, Bek terus memaklumkan kepada penduduk sebelum berjaya menangkap Rosli manakala rakannya berjaya melarikan diri.
Agency
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan