15 Oktober 2012
Lewandowski digeruni lawan
29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - SELEPAS berakhirnya zaman kegemilangan nama besar Grzegorz Lato dan Zbigniew Boniek yang menguasai kancah Eropah pada era 1970 hingga 1990, Poland seakan kehilangan idea melahirkan kesinambungan wira-wira mereka.
Kemudian, memasuki tahun 2000 muncul pula Euzebiusz Smolarek yang sempat berada sebaris 10 pemain terbanyak mencipta jaringan untuk skuad kebangsaan dan bermain dengan kelab Belanda, ADO Den Haag.
Ketika jurulatih Poland, Franciszek Smuda pening kepala mencari pemain sesuai bermain di posisi hadapan menjelang Kejohanan Euro 2012 lalu, Robert Lewandowski hadir tepat pada masanya.
Penyerang Borussia Dortmund itu dipanggil kem The White Eagles bagi memperkuat pasukan walaupun cabaran Poland berakhir setakat di peringkat kumpulan.
Lewandowski penerus legasi Poland
Lewandowski sebenarnya bukan nama asing dalam kem Poland. Bekas pemain Lech Poznan ini sudah melakukan debut dalam pasukan senior sejak 2008 lagi.
Berusia 20 tahun, dia diberi kepercayaan untuk diturunkan menentang San Marino pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2010 dan Lewandowski membalas kepercayaan diberikan dengan mencetak satu gol untuk melengkapi kemenangan 2-0.
Sejak detik itu, Lewandowski terus mendapat perhatian dan kerap dipanggil Smuda bagi mengisi barisan penyerang.
Dengan kelebihan faktor fizikal dan memiliki ketinggian 184 cm, dia terus mengganas dan mencipta pelbagai kejayaan terutamanya sejak menyarung jersi Dortmund di Bundesliga, pada 2010.
Julang martabat The White Eagles, Dortmund
Gandingannya bersama pemain sayap, Jakub Błaszczykowski cukup digeruni tidak kira dalam pasukan Poland mahupun Borussia Dortmund.
Ledakan 18 gol dalam 48 penampilan bersama Dortmund cukup membuktikan dia wajar diletakkan sebaris pemain handalan dunia yang lain.
Paling dikagumi peminat Dortmund apabila dia memilih kekal setia di Jerman berbanding menyertai pasukan popular Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United.
Malah, dia berazam menghadiahkan trofi kesembilan Bundesliga untuk Dortmund dan bertekad mempertahankan trofi DFB-Pokal.
Pernah diburu Manchester United
Manchester United pernah berhasrat membawa Lewandowski ke Old Traffod, musim panas lalu. Malah, jurulatih skuad kebangsaan Poland, Franciszek Smuda mendedahkan Lewandowski dalam perjalanan menuju ke Old Trafford.
Begitu pun, dia memilih untuk setia kekal di Bundesliga sehingga Jun 2014 tidak seperti rakan karibnya, Shinji Kagawa yang memilih bergabung bersama juara EPL 19 kali itu.
Paling dikagumi Sir Alex Ferguson, Lewandowski meledak 30 gol sepanjang musim lalu termasuk melakar hatrik pada perlawanan akhir Piala Jerman menentang Bayern Munich.
Agency
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan