15 Oktober 2012
Suami dijel 15 bulan, dua sebatan
29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - KOTA BHARU- Padah mencederakan isteri menggunakan kelewang, seorang pemandu jengkaut menerima pembalasan apabila Mahkamah Majistret di sini, semalam menjatuhi hukuman penjara 15 bulan dan dua sebatan terhadapnya.
Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd Sabry Zawawi, 25, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dilakukannya pada Ogos lalu.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 12 Ogos lalu.
Mengikut pertuduhan, pada 12 Ogos lalu, Mohd Sabry didakwa dengan sengaja melibas kelewang terhadap Nurul Elmiza Kadir, 22, di Lot 1062, Kampung Aril Pauh Lima, di sini pada jam 3.30 petang.
Oleh itu, tertuduh dari Kampung Hj Saman Gunong, Bachok itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua seksaan jika didapati bersalah.
Sebelum itu, tertuduh merayu kepada mahkamah memohon hukuman diringankan dengan alasan dia sudah benar-benar insaf dengan kesalahannya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamed memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepadanya dan masyarakat supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama.
Agency
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan