15 Oktober 2012

Desak Najib jelaskan tujuan dan isi pertemuan dengan Soros

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR 15 Oktober: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak harus menjelaskan tujuan dan topik perbincangannya bersama George Soros jika benar pertemuan itu tidak melibatkan sebarang rahsia yang perlu disembunyikan, kata Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail. “Rakyat ingin tahu apa isinya dari pertemuan tersebut, apakah benar ia hanya perjumpaan biasa? Apa agenda yang dibincangkan atau menyambung perjanjian tersembunyi antara Soros dan Mahathir dulu?” soalnya. Menurut Azan, jelas pertemuan tersebut membuktikan Umno BN yang selama ini menuding jari terhadap Pakatan Rakyat (Pakatan) sebenarnya mempunyai hubungan rapat dengan Soros dan dalam masa sama meminta bantuan darinya. “Sifat talam dua muka Najib yang menyambung lidah (Tun Dr) Mahathir (Mohamad) dengan mendakwa Pakatan diberi dana asing untuk menjatuhkan kerajaan terbukti sengaja direka dan dihebohkan untuk memberi imej negatif kepada Pakatan, walhal pada sama kedua-duanya juga mengatur pertemuan sulit dengan Soros. “Pertemuan itu pula tidak diperjelaskan, jadi ia memberi kesangsian kepada rakyat,” kata Azan ketika dihubungi Keadilan Daily. Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah minggu lalu mendedahkan pertemuan antara Najib dengan Soros di sebuah hotel mewah, Hotel Plaza di Manhattan, New York pada 27 September 2010. Najib bagaimanapun menyatakan pertemuan tersebut merupakan kunjungan hormat biasa dan ia tiada salah, namun tidak mendedahkan tujuan dan isi perbualan mereka. Azan juga tidak menolak kemungkinan konspirasi wang seludup sebanyak RM40 juta yang disalurkan kepada Umno Sabah juga melibatkan Soros. “Saya syak wang yang kononnya sumbangan politik biasa kepada Umno Sabah tersebut juga melibatkan Soros, sebab itu pihak berkuasa tidak mendedahkan sumber wang tersebut. Kita harus ingat, pihak berkuasa berada di bawah kekangan beliau,” kata Azan lagi. Katanya, tindakan bersekongkol secara sembunyi seperti ini seolah-olah Perdana Menteri mengheret negara dalam bahaya. “Tindakan ini boleh menggugat kestabilan negara kerana kita tidak mengetahui agenda tersembunyi di sebaliknya. “Najib seolah-olah sedang menjual negara kepada dunia secara senyap-senyap,” tegas beliau. Najib yang juga Presiden Umno enggan mendedahkan pihak yang menyumbang wang tersebut kepada Umno, tetapi mengatakan ia adalah untuk sumbangan politik. Keadilan Daily

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

penyamun jumpa penyangak....xkn nak bincang pasal bisnes kot?? mesti bincang mcmana nk rompk duit rakyat...huhuhuu