15 Oktober 2012
Padah jual VCD, DVD cetak rompak
29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - KUALA TERENGGANU - Hukuman denda tidak kurang RM5,000 atau maksimum RM30,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, menanti seorang peniaga pasar malam, Syed Razman Syed Abd Rashid, 36.
Hukuman itu boleh dijatuhkan kepadanya yang berasal dari Kampung Gong Kiat, di sini, selepas mengaku salah menjual cakera padat digital (VCD) dan cakera video digital (DVD) pelbagai tajuk cetak rompak di hadapan Pendaftar Kanan Mahkamah Majistret/Sesyen, Rosli Ahmad, di sini, semalam.
Syed Razman mengaku salah menjual sebanyak 76 keping VCD pelbagai tajuk dan 65 DVD pelbagai tajuk atau bahan publisiti yang belum diluluskan Lembaga Penapisan Filem.
Dia mengaku melakukan kesalahan itu bersama seorang lagi rakannya yang sudah pun dihukum pada 9 Oktober lalu oleh Mahkamah Majistret, Jaafar Mamat, 47, di tapak pasar malam Wakaf Tengah, Batu Rakit, di sini, pada 9 November 2008 jam 8.45 malam.
Dengan itu, Syed Razman mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (a) Akta Penapisan Filem 2002 (Akta 620) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6 (2) (a) Akta yang sama.
Bagi kesalahan itu, dia boleh didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM30,000 atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Anak Dunstan Muda manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sejurus pengakuan Syed Razman direkodkan, Rosli menetapkan 24 Oktober depan untuk jatuh hukum yang akan disebut di Mahkamah Majistret, di sini, dan membenarkan dia diikat jamin RM3,500 oleh seorang penjamin.
Sinar Harian keluaran 10 Oktober melaporkan rakannya, Jaafar dikenakan denda RM6,000 atau tujuh bulan penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan oleh Mahkamah Majistret, di sini.
Majistret Noradila Ab Latif menjatuhkan hukuman itu selepas Jaafar mengaku salah menjual VCD dan DVD cetak rompak bersama Syed Razman yang semasa itu masih bebas dan sedang diburu.
Agency
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan