15 Oktober 2012
HPA ketengah rawatan herba
29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - Suatu ketika dahulu, HPA Industries Sdn Bhd (HPA) sememangnya menjadi pilihan umum khususnya dalam kalangan Bumiputera menerusi pelbagai produk berasaskan herba.
Selepas empat tahun melalui zaman kegemilangannya, HPA diuji apabila terpaksa melalui era kejatuhan dalam perniagaan.
Bagaimanapun, ia tidak pernah menjadi penghalang kepada syarikat untuk bangkit semula dalam masa tiga tahun.
Berkat kesabaran dan kesungguhan itu, HPA kini mampu berdiri teguh selari dengan syarikat lain yang telah menempa nama dalam industri perniagaan perubatan tradisional.
Sejarah dan kejatuhan HPA
Pengarah Urusan Kumpulannya, Ismail Ahmad berkata, HPA mula ditubuhkan sejak 1986 dan hanya diusahakan secara kecil-kecilan dengan bantuan keluarga.
Ismail berkata, berikutan ketika itu dia masih bergelar penjawat awam maka perniagaan tersebut hanya dijadikan sebagai kerja sampingan.
“Pada 1995, saya tekad melepaskan jawatan disandang bagi memberi sepenuh tumpuan terhadap perniagaan diusahakan.
“Kejatuhan HPA empat tahun selepas menempa nama dalam industri perubatan herba dan terpaksa mengambil masa tiga tahun untuk membangunkan semula,” katanya kepada Sinar Harian.
Gabungan perubatan Tibun Nabawi
Menurut Ismail, HPA memperkenalkan perubatan Jawi iaitu Al Wahida yang berdasarkan kepada perubatan Tibun Nabawi dengan gabungan dua sumber seperti alamiah dan ilahiyah.
Katanya, hanya dua kaedah tersebut digunakan kepada mereka yang mendapatkan rawatan.
“Selain itu, HPA juga telah membina kilang berteraskan Good Manufacturing Practice (GMP) bagi memproses produk yang dipasarkan menerusi konsep pemasaran bertingkat.
“Sehingga kini, HPA telah mengeluarkan lebih 40 produk berasaskan herba yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan dan melebarkan sayap dengan memperkenalkan makanan halal,” katanya.
“Tidak hanya tertumpu pada produk herba, bermotokan Produk Halal Tanggungjawab Bersama, HPA turut melibatkan diri dalam semua bidang termasuk perhotelan, makanan halal dan keperluan harian,” katanya.
Ismail berkata, HPA kini mempunyai 120 cawangan di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak malah berjaya menembusi Indonesia, Thailand, Kemboja, Vietnam, Brunei serta Singapura.
Kekal perolehan, tingkat pengeluaran
Menurut Ismail, kolaborasi bersama pasaran luar telah dimulakan lebih 10 tahun dan Indonesia menjadi negara pertama ditembusi sejak 2000 bagi produk dan pendidikan herba.
Katanya, HPA sentiasa melakukan inovasi terhadap produk yang dikeluarkan sama ada dalam bentuk latihan dan jualan.
“Bagi mengukuhkan lagi kedudukan dan jenama HPA dalam industri, penstrukturan semula syarikat dilaksanakan.
“Komitmen setiap warga kerja menyumbang kepada kejayaan HPA dengan mencatatkan perolehan sebanyak RM100 juta bagi 2011.
Syarikat bukan hanya akan mengekalkan perolehan bagi 2012, sebaliknya meningkatkan pengeluaran dengan penambahan penggunaan mesin serta warga kerja," katanya.
Perancangan bagi 2013
Ismail berkata, HPA kini lebih memberi tumpuan kepada program Pelancongan Sihat yang akan dimulakan Januari 2013 di Langkawi.
Beliau menambah, program itu akan menjadi antara platform untuk mengembangkan syarikat sekali gus menjadi mekanisme penyembuhan yang akan dilakukan melalui kursus, pendidikan dan perkembangan minda.
"Perubatan herba kini lebih menekankan program pemulihan secara motivasi dan menjadikan Langkawi sebagai antara lokasi selain berpeluang beristirahat," katanya.
Agency
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan