20 September 2008

Najib perjelas penangguhan lawatan ke Arab Saudi

Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan bahawa beliau menangguhkan lawatannya ke Arab Saudi yang sepatutnya bermula semalam sehingga Ahad ini disebabkan beliau perlu menyusun semula jadualnya bagi membolehkannya memulakan tugas sebagai menteri kewangan Isnin ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata penangguhan itu tidak ada kena mengena dengan senario politik dalam negara."Lawatan saya tidak dibatalkan, cuma saya menyusun jadual saya supaya saya dapat masuk ke Kementerian Kewangan Isnin ini dan memulakan tugas saya terutama sekali dalam keadaan di mana ekonomi dunia dan pasaran saham dunia yang tidak menentu.

"Kemungkinan ada perkembangan tertentu di peringkat dunia atau global yang memberi kesan kepada ekonomi negara dan bursa saham negara kita," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian zakat bagi Parlimen Pekan semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penangguhan lawatannya ke Arab Saudi yang sepatutnya bermula hari ini yang antara lain atur caranya itu ialah merasmikan hotel apartment dan restoran milik Felda di Mekah, demikian dilaporkan oleh Bernama.

Najib berkata beliau perlu mendapatkan maklumat terkini daripada Kementerian Kewangan, Suruhanjaya Sekuriti, Bursa Saham Malaysia dan Bank Negara Isnin ini bagi menentukan sebarang keputusan mengenai keadaan ekonomi negara.

"Saya perlu mendengar perkembangan terkini daripada Kementerian Kewanagan termasuk Suruhanjaya Sekuriti, Bursa Saham Malaysia dan Bank Negara dan untuk menentukan apa-apa keputusan yang perlu dibuat untuk meredakan keadaan semasa," kata Najib.Rabu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan jawatan menteri kewangan kepada Najib, manakala Abdullah mengambil alih portfolio menteri pertahanan daripada timbalannya itu.

Bagaimanapun Najib berkata program beliau ke New York dan Washington bagi menghadiri Perhimpunan Bangsa Bersatu (PBB) akan diteruskan."(Program ke Arab Saudi) ditangguhkan, tapi saya terus ke New York dan Washington, dalam perjalanan balik saya akan buat umrah dan buka (rasmi) restoran Felda di Mekah," kata Najib.

Ditanya perancangannya sebagai menteri kewangan bagi menghadapi krisis ekonomi dunia ketika ini, Najib berkata: "Elok saya buat (kenyataan) pada Isnin nanti selepas dengar taklimat lebih khusus lagi," katanya.

Bagaimanapun Najib berkata apa yang dibentangkan Abdullah semasa Bajet 2009 yang berkaitan dengan kepentingan rakyat akan tetap diteruskan dan apa-apa perakuan yang dibuat dalam Belanjawan Negara yang berkaitan kepentingan rakyat akan dilaksanakan

Tiada ulasan: