17 Oktober 2008

Pesta Bola Merdeka, Malaysia didakwa jemput pasukan lemah sahaja?

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Hrkh) - Mohd Firdaus Jaafar (PAS-Jerai) mendakwa Malaysia hanya menjemput pasukan-pasukan yang lemah sahaja bagi menyertai Pesta Bola Merdeka yang sedang berlangsung kini. Dakwaan itu dibuat Mohd Firdaus ketika mengutarakan soalan tambahan kepada Menteri Belia dan Sukan, Dato' Ismail Sabri Yaakob dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pagi tadi.

"Kenapa Malaysia tidak menjemput pasukan seperti Singapura dan Thailand, adakah setakat nak menang," dakwanya semasa memanjangkang soalan yang asalnya diutarakan oleh Dato' Dr Mohd Shahrum Othman (BN Lipis). Beliau juga kecewa dengan prestasi pasukan bolesepak negara yang kini berada pada tahap yang kurang memuaskan, malah mengharapkan sesuatu tindakan dilakukan segera bagi mengembalikan kegemilangannya. Terdahulu Dr Mohd Shahrum bertanyakan kepada KBS, bagaimana untuk mengembalikan kecemerlangan sukan negara kebelakangan ini. Bagaimanapun Menteri Belia dan Sukan yang bingkas bangun menjawab soalan Mohd Firdaus hanya menyatakan ia di bawah bidang kuasa penganjur.
sumber HarakahDaily.