11 Februari 2009

Drs.Khalil : Ketua Kampung masih sah.

TITI SERONG , 9 Feb :- Jawatan Menteri Besar hanya boleh dilucutkan dengan tiga cara iaitu kalau di meletakkan jawatan , atau ada undi tidak percaya dalam dewan, atau berlaku pembubaran DUN supaya diadakan piliharaya yang baru. Kerana itulah Menteri Besar dari pakatan Rakyat masih sah. Demikian antara penjelasan ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim dalam majlis taklimat kepada Ketua kampung dan AJK JKKK untuk Parlimen Parit Buntar di Pusat Tarbiyah PAS di sini malam tadi.

Turut menyampaikan ucapan ialah Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr. Mujahid Yusof, dan ADUN Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamahari. Turut Hadir ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Parit Buntar, Hj. Harun Hashim.

Taklimat tersebut dihadiri oleh semua Ketua Kampung dan AJK JKKK bagi DUN Titi Serong dan DUN Kuala Kurau. Jumlah kehadiran dianggarkan melebihi 300 orang.

Drs. Khalil menegaskan keputusan yang diambil di mana Ketua Kampung hendaklah berfungsi seperti biasa termasuklah menandatangani surat dan sebagainya.

Selain itu beliau menekankan kepentingan Ketua Kampung memahami isu yang ada untuk dijelaskan kepada rakyat. Sebab itu sebaran maklumat dalam bentuk risalah, CD dan sebagainya perlu ditingkatkan.