05 Februari 2009

Sultan dimohon tidak izinkan penubuhan "kerajaan kaki rasuah"

KUALA LUMPUR, 4 Feb : - Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar memohon agar Sultan Perak tidak mengizinkan Barisan Nasional (BN) menubuhkan kerajaan di Perak dengan mengheret dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menghadapi tuduhan rasuah untuk mendapatkan majoriti mudah.

"Jika Sultan mengizinkan penubuhan kerajaan Perak dengan cara seperti itu, ia bukan sahaja dibimbangi akan mencemarkan nama baik istana malah ia akan memberi kesan kepada pertuduhan rasuah ke atas Jamaluddin (Mohd Radzi) dan Mohd Osman (Mohd Jailu).

"Sebagaimana yang diketahui Sultan Perak sendiri, Jamaluddin dan Mohd Osman akan menghadapi tuduhan rasuah dan tindakan mereka menyokong BN walaupun sebagai ADUN Bebas dilihat sebagai usaha untuk membolehkan tuduhan ke atas mereka digugurkan," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Jika tuduhan ke atas mereka digugurkan, katanya, adalah dibimbangi rakyat akan melihat tuduhan ke atas mereka digugurkan berikutan persetujuan istana membenarkan BN membentuk kerajaan melalui majoriti mudah hasil penyertaan kedua-dua ADUN yang dituduh rasuah itu.

"Jika perkara itu berlaku, adalah dibimbangi rakyat akan melihat istanalah yang membebaskan kedua-duanya dari tuduhan rasuah.

"Semua pihak maklum, jika mereka masih berada dalam kerajaan Pakatan Rakyat (PR), tidak mungkin tuduhan ke atas mereka digugurkan," katanya.

Mahfuz memohon Sultan Perak agar tidak melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan baginda dituduh mengizinkan "penubuhan apa yang didakwa sebagai kerajaan kaki rasuah".

"Malah istana juga mungkin dituduh membiarkan dua orang yang dituduh rasuah berada dalam gerombolan yang memerintah Perak melalui apa yang dilihat sebagai tindakan merasuah juga - malah turut dilihat menggunakan ugutan untuk membentuk kerajaan. Harakahdaily.