17 Mac 2009

Esok mesyuarat Lembaga Disiplin Umno, apa khabar orang Melaka?

PEMILIHAN pucuk pimpinan Umno semakin panas. Semakin hampir hari pengundian, semakin terasa bahangnya. Panas bukan hanya kerana saingan antara calon semakin sengit tetapi dek kerana ada usaha oleh pihak-pihak tertentu yang mahu menyingkir calon-calon tertentu lebih awal, sebelum proses pemilihan diadakan.

Bermula dengan pendakwaan terhadap Dato' Norza Zakaria, calon ahli Majlis Tertinggi yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Temerloh atas dua tuduhan rasuah bagi memenangi jawatan dalam pemilihan parti.

Ketika kes Norza masih panas, kepanasan dalam Umno kemudiannya berpindah kepada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dijalankan ke atas Dato' Azalina Othman Said atas tuduhan rasuah politik dan salah guna kuasa dalam kementerian itu.

Kedua-dua mereka ini, Norza dan Azalina mengikut pandangan beberapa penganalisa politik adalah 'kambing hitam' untuk membolehkan Umno dilihat sedang melakukan reformasi dalam parti dan juga sebagai salah satu cara bakal Presidennya, Dato' Seri Najib Tun Razak agar dilihat sebagai pemimpin yang bersih dan calon-calon yang dipilih kelak merupakan mereka yang bebas daripada rasuah.

Kemudiannya sudah kedengaran terdapat lebih 20 calon yang bertanding pada pemilihan Umno kali ini dijangka menemui Jawatankuasa Disiplin parti dalam masa terdekat, dipercayai berhubung kes salah laku kempen dan politik wang. Umno kali ini mahu dilihat serius mahu membersihkan parti daripada mereka yang rasuah.

Khabarnya yang bakal menjadi mangsa hingga tidak layak bertanding dan digantung keahlian terdiri daripada Dato' Seri Mohd Ali Rustam, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo dan menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Sejauh mana kebenarannya tidak dapat dipastikan tetapi ini topik hangat yang diperkatakan di internet dan juga di cafe-cafe mewah.

Pembersihan orang Abdullah

Umno mahu kesemua kes politik wang diselesaikan sebelum pemilihan yang akan berlangsung 25 dan 26 Mac ini. Tindakan ini dilihat seperti menurut kehendak sesetengah pihak yang telah mengarahkan pihak lain membuat sidang media akan mengambil injuksi mahkamah jika Umno tidak menyelesaikan kesemua kes politik wang yang telah dilaporkan sebelum ini.

Dato' Kadar Shah Tan Sri Sulaiman Ninam Shah dan Dato' Mazlan Harun yang baru-baru ini membuat sidang media mengumumkan akan mengambil injuksi mahkamah jika kesemua kes politik wang dalam Umno tidak diselesaikan sebelum pemilihan parti tersebut diadakan.

Ada pihak yang melihat mereka berdua ini diarahkan oleh satu pihak lain untuk membuat kenyataan tersebut agar mudah bagi pihak lain tersebut 'membersihkan orang Abdullah' daripada Umno.

Apa yang cuba dilakukan oleh Lembaga Displin Umno dan SPRM dilihat sebagai usaha untuk 'membersihkan orang Abdullah' dalam barisan kepimpinan parti tersebut. Pembersihan 'orang Abdullah' perlu dilakukan untuk memudahkan Najib menjalankan tugas beliau mengikut arahan mentornya, Tun Dr Mahathir Muhammad.

'Pembersihan' itu juga merupakan satu tindakan untuk memastikan kabinet Najib tidak dibarisi oleh perasuah. Ia bersesuaian dengan kehendak Mahathir yang sebelum ini membuat kenyataan Najib "akan menjerat lehernya sendiri" jika beliau melantik pemimpin yang rasuah menganggotai kabinet barunya nanti.

"Masyarakat memang tahu siapa yang terbabit dengan rasuah kerana mereka memberikan wang secara agak terbuka, dan pihak yang menerima pula bercakap bahawa mereka menerima wang itu yang bertujuan memenangi sokongan mereka.

"Jadi apabila Najib menjadi PM dan beliau melantik orang ini, maka seperti yang telah saya katakan, beliau menjerat lehernya sendiri kerana beliau akan kalah dalam pilihanraya umum ke-13 yang akan datang," kata bapa Mukhriz salah seorang calon Ketua Pemuda Umno.

Kerana itu, beliau menasihati Najib supaya memastikan barisan kabinet terdiri daripada mereka yang bersih daripada sebarang bentuk rasuah.

Mahathir baiki imej Najib

Apa yang dilakukan oleh Mahathir itu juga harus dibaca bahawa beliau sedang berkempen supaya rakyat menyokong Najib dan Mukhriz. Mahathir melakukan reverse psikologi dengan cara dilihat seperti mengkritik Najib tetapi sebenarnya sedang berusaha untuk membina imej calon pilihan beliau itu.

Mahathir perlu melakukan perkara tersebut untuk membantu Najib agar turut dilihat bersih seperti mana Abdullah yang dilihat bersih sebelum dan ketika baru mengambil alih jawatan Perdana Menteri. Malah Mahathir sendiri sebelum menjadi Perdana Menteri dan ketika tahun pertama memegang jawatan tersebut dilihat bersih.

Malangnya bagi Najib kerana sejak dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri lagi beliau sudah dikaitkan dengan pelbagai skandal. Lebih malang lagi kerana Najib tidak pernah dibersihkan oleh mana-mana mahkamah biarpun beliau tidak pernah didakwa oleh mana-mana mahkamah.

Apa pun keputusannya bergantung kepada keputusan mesyuarat Lembaga Disiplin Umno yang dijangka akan diadakan esok. Mesyuarat tersebut menjadi tumpuan ekoran tersebarnya khabar angin sejak seminggu lalu yang menyatakan Lembaga Disiplin akan mencadangkan penggantungan keahlian seorang calon jawatan timbalan presiden Umno.

Khabar angin yang sama juga heboh diperkatakan di kalangan petugas media di Dewan Rakyat sejak beberapa hari lalu.

Di kalangan Umno sendiri, ianya sedang panas diperkatakan. Malah mereka secara terbuka menyebut nama calon yang akan dikenakan tindakan tersebut.

Pengerusi Lembaga Disiplin Umno itu, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail akan mengadakan sidang akhbar khas petang esok selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Dalam sidang akhbar tersebut, beliau dijangka mengumumkan hasil siasatannya yang melibatkan pemimpin terbabit.

Menjelang petang esok tentunya calon-calon yang namanya menjadi bualan sejak seminggu lalu tidak senang duduk mengenangkan nasib diri yang kini ditentukan oleh Lembaga Displin parti. Apakah 'pelaburan' yang telah dibuat selama ini akan berbaloi atau bakal lenyap bila diambil tindakan.

Mereka yang kepanasan dan tidak senang duduk sudah tentu mengharapkan ada rakan-rakan atau penyokong-penyokong akan menghubungi dan bertanya khabar.Harakahdaily.

1 ulasan:

mantra-indeeptots berkata...

Salam YB...

Welcome to Melaka... org melaka is more than happy for this news.