17 Mac 2009

Jordan atau Oxford pilihan Nik Nur Madihah

KOTA BAHARU: Jordan atau United Kingdom (UK). Itulah dilema yang dihadapi pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal.

Nik Nur Madihah yang memperoleh 20A dalam peperiksaan SPM itu berkata beliau perlu berfikir panjang sama ada ke Timur Tengah menyambung pelajaran dalam bidang keagamaan, atau mendalami ilmu fizik yang diminatinya di United Kingdom (UK).

Beliau berkata, pelbagai tawaran biasiswa, termasuk daripada MARA, Bank Negara Malaysia dan Petronas yang diterimanya akan diperhalusi bersama keluarga dan gurunya sebelum diputuskan dalam masa terdekat.

"Saya memang berminat untuk belajar ilmu agama di Timur Tengah, tetapi pada masa yang sama, saya juga minat mempelajari fizik.

"Mereka yang lebih arif termasuk seorang profesor fizik dari sebuah universiti tempatan pula, mencadangkan saya melanjutkan pelajaran ke Universiti Oxford dalam bidang fizik.

"Apa pun, saya akan membuat pilihan terbaik untuk masa depan dan juga kepentingan keluarga," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau sebelum itu menerima surat tawaran biasiswa tajaan penuh daripada Pengarah MARA Kelantan, Abd Rahim Taha yang mewakili Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar di kediamannya di Pengkalan Chepa, di sini.

Menurut Abd Rahim, MARA sebelum ini menawarkan biasiswa kepada Nik Nur Madihah ke UK untuk menyambung pelajaran di peringkat A Level sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang fizik.

Namun, katanya, MARA kini memberi peluang kepada pelajar itu memilih sama ada ke Jordan untuk pengajian agama Islam atau UK, dan memberi jaminan biasiswa akan diteruskan sekiranya Nik Nur Madihah ingin menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi termasuk Doktor Falsafah.

Bapa Nik Nur Madihah, Mohd Kamal Hussein, 41, seorang nelayan, dan ibunya Mariani Omar, 42, memberi kebebasan penuh kepadanya untuk membuat keputusan berhubung tawaran berkenaan.

Nik Nur Madihah, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Arab Maahad Muhammadi (Perempuan) di sini mencatat sejarah apabila memperoleh 20A (19 1A dan satu A2) dalam peperiksaan SPM tahun lalu. Mstar.

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam YB

Terima kasih kerana selalu update blog. Didoakan semoga Nik Nur Madihah akan buat pilihan yang tepat.

Teruskan perjuangan. Kami sekeluarga tetap bersama Pakatan Rakyat.

ZAMRI kecik's berkata...

inilah hasil dari negeri yang berkat...

Unknown berkata...

tenang hati mak ayah..

abu shahiran berkata...

sy prcye madihah akn jd tauladan kita sume

abu shahiran berkata...

sy prcya madihah akn jd tauladan kita smua