06 Mei 2009

Tidak kuasa halang anak didaftar Islam

Ahmad Baei Jaafar

Saya rasa terpanggil untuk bersuara setelah melihat tiada respons yang memuaskan daripada pihak berwajaran terhadap kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengenai agama anak setelah ibu atau bapanya memeluk Islam. Walaupun ramai yang memberi respons supaya kerajaan mengkaji semula keputusan itu, tetapi tiada cadangan untuk menyelamat Islam.

Memang ada juga yang beberapa orang mufti menyuarakannya, tapi suara tidak memberi sinar kepada orang politik. Walaupun mufti negeri Perak, Datuk Harussani Zakaria hampir dengan orang politik, tetapi pandangannya masih kurang difahami oleh pemimpin negara.

Sejak isu itu ditimbulkan banyak pihak yang membangkitkan isu itu seolah-olah mereka sendiri tidak memahami peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Mungkin juga sebahagian mereka seperti baru sedar betapa wujud kekurangan dalam peruntukan perlembagaan itu.

Saya percaya ulama tidak pernah mengambil tahu peruntukan Perlembagaan itu. Kalau ada yang membacanya tetapi tidak memahami tafsirannya dengan betul. Manakala ahli undang-undang Islam di negara ini pula tidak pernah membuat sesuatu untuk memperbaiki peruntukan undang-undang yang ada demi untuk menyelamatkan umat Islam.

Sebenarnya kenyataan Mohamed Nazri itu tidak boleh disalahkan kerana beliau sekadar membaca keputusan kabinet yang memutuskan bahawa anak kepada pasangan yang menukar agama yang masih di bawah umur hendaklah dibesarkan mengikut agama asal ibu bapa mereka.

Keputusan itu dibuat sekadar melepaskan tekanan dan kekangan tuntutan pihak tertentu telah melihat peruntukan perlembagaan mengenainya ada sedikit kekurangan. Cuba kita fahami peruntukan berikut:

Perkara 12(3) dan (4) Perlembagaan yang memperuntukkan;

(3) Tiada sesiapa pun boleh diwajibkan menerima ajaran-ajaran mengenai apa-apa agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau sembahyang sesuatu agama yang lain daripada agamanya sendiri.

(4) Bagi maksud fasal (3) agama bagi seseorang yang berumur kurang daripada lapan belas tahun adalah ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaganya.

Kalau Fasal 3 membenarkan urusan dakwah atau mengajar orang lain tetapi mereka tidak boleh memaksa orang lain untuk menerima ajaran itu kecuali orang yang seagama dengannya. Namun pada Fasal 4, mereka yang di bawah umur (18 tahun ke bawah) agamanya hendaklah ditentukan oleh ibu bapa atau penjaga.

Perbezaan dua fasal ini amat jelas, yang pertama tidak boleh paksa kecuali yang seagama dengan orang yang memaksa dan yang kedua boleh paksa kalau seseorang di bawah umur. Walau bagaimanapun fasal 4 ini datang dalam bentuk umum, sama ada orang itu asal Islam atau baru memeluk Islam. Jadi, kalau ibu bapanya memeluk Islam, anak-anaknya yang dibawah umur boleh dipaksa ikut Islam.

Di sini timbul persoalan, bagaimana kalau salah seorang dari mereka (ibu atau bapa) memeluk Islam. Kalau suami memeluk Islam, bolehkah dia paksa anaknya memeluk Islam sedangkan ibu anak itu masih tidak Islam? Penjaganya juga belum Islam. Siapa yang akan menang dalam keadaan itu?

Di sinilah kelemahan peruntukan yang sepatutnya dilihat secara teliti oleh ulama dan orang undang-undang. Adakah Ahli undang-undang tidak nampak atau sengaja tidak nampak kekurangan itu? Saya pasti, sebahagian ulama tidak pernah membaca perkara dan fasal itu.

Sepatutnya ulama sudah lama bersuara minta supaya meminda peruntukan itu dengan menambah satu lagi fasal iaitu fasal 5 yang memberi kuasa kepada salah satu ibu atau bapa yang memeluk Islam untuk memaksa anaknya kepada Islam. Fasal ini penting dan relevan kerana Islam adalah agama persekutuan, maka Islam perlu diberi keutamaan.

Isu inilah yang sepatutnya ditimbulkan NGO Islam dan ulama. Mufti seluruh Malaysia dan dan Jabatan Agama seharusnya boleh bersuara atas nada yang sama. Tetapi sehingga ke hari ini tidak ada suara yang menyuarakan perkara ini.

Kita perlu sedar, selaras dengan keputusan kabinet itu, Jabatan Peguam Negara akan diarahkan membuat pindaan terhadap undang-undang yang berkaitan bagi memastikan segala keputusan Kabinet itu dapat dikuatkuasakan dengan berkesan. Bayangkan kalau ulama atau peguam Islam tidak bertindak mendahului Jabatan Peguam Negara, kita akan terus berputih mata.

Dalam keadaan itu umat Islam hanya ada satu peluang lagi kalau Jabatan Peguam Negara sudah membuat pindaan itu, iaitu perbahasan di dewan parlimen. Tapi mahukah semua Ahli Parlimen Islam membantah? Realitinya semua orang BN termasuk Islam akan menyokong keputusan kabinet. Kalau ini juga terjadi sekali lagi umat Islam akan berputih mata.

Selain itu, ulama dan ahli undang-undang juga perlu bangun menggesa agar dipinda akta pendaftaran perkahwinan orang bukan Islam, bahawa apabila berlaku salah seorang daripada pasangan itu memeluk Islam, perkahwinan itu akan terbatal secara automatik sesuai dengan undang-undang Islam.

Pindaan itu penting kepada Islam dan Malaysia, malah wajar kerana tidak bercanggah dengan perlembagaan Perkara 3. Semua itu boleh dibuat dengan jayanya jika semua umat Islam terutama wakil rakyat bersatu mempertahankannya.

Dicatat Oleh Ahmad Baei Jaafar ke Fikrah Islamiah di 5/05/2009 10:46:00 PM

Tiada ulasan: