06 Mei 2009

PAS tidak letak calon di Penanti

TASEK GELUGOR, 5 Mei : - PAS tetap mementingkan setiakawan dalam isu pilihan raya kecil N12 Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti yang akan diadakan pada 31 Mei ini kata, Pengarah Jabatan Pilihan raya PAS, Dato' Haji Mustaffa Ali.

Walaupun kedengaran desas desus PAS Pulau Pinang, Dewan Pemuda Negeri, Dewan Muslimat PAS Kawasan dan Kawasan Permatang Pauh sendiri mahukan PAS meletakan calon namun keputusan muktamad terletak pada Majlis Presiden yang telah menetapkan pembahagian kerusi berdasarkan pilihan raya umum lepas.

"Kehadiran saya di sini adalah untuk mendengar sendiri rintihan dan keluhan ahli di peringkat akar umbi dan Insya Allah saya akan berikan makluman ini pada Presiden parti pada mesyuarat 10 Mei ini nanti," jelasnya pada media selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan PAS Kawasan seluruh Pulau Pinang di Pusat Pendidikan Padang Menora, Tasek Gelugor semalam.

Menurutnya, setiakawan begitu penting dalam perjuangan tambahan lagi bersama-sama dalam gabungan Pakatan Rakyat yang pastinya mahukan kemenangan sehingga dapat mentadbir negara keseluruhanya.

Semangat setiakawan sahaja dapat mengelak daripada perpecahan dalam Pakatan Rakyat kerana perpecahan mengundang padah serta menghampakan pengharapan rakyat yang selama ini mengharapkan Pakatan Rakyat sebagai alternatif mengantikan Barisan Nasional (BN) yang hilang wibawa sebagai pemerintah, katanya.

"Tanpa setiakawan dalam perjuangan Pakatan Rakyat akan kalah. Bila kalah BN yang gembira, rakyat yang cintakan kemakmuran dan keadilan hilang keyakinan terhadap Pakatan Rakyat. Waktu itu apa yang bakal terjadi pada parti kita," tegasnya.

Beliau mengingatkan PAS sekali-kali tidak mengizinkan ahlinya bertanding atas tiket bebas pada pilihan raya kecil kelak atau dikenakan tindakan displin.

Semua itu terpaksa dilaksanakan semata-mata membendung sikap emosi yang boleh merosakan Pakatan Rakyat dan melambatkan proses pengambilalihan kuasa daripada BN ekoran percanggahan pandangan sesama sendiri.

"Kita harap hubungan dalam Pakatan Rakat diperkemaskan kerana rakyat sedang menilai ke mana arah tuju dalam mengemudikan kerajaan. Dalam hal ini saya akan memaklumkan pada presiden parti serta Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar betapa pentingnya duduk semeja bukan menghadapi piliha raya sahaja malahan isu-isu lain agar Pakatan Rakyat dilihat mantap," katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Trengganu.

Turut sama dalam sidang media itu ialah Pesuruhrjaya PAS Negeri, Ustaz Salleh Man, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Dr Mujahid Yusuf Rawa, Setiausaha Perhubungan, Fadhil Kemi dan Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri, Ustaz Soid Mohd Amin. -

Harakahdaily.

1 ulasan:

Tok Pambu berkata...

Mengapa berlaku rebutan kerusi antara PAS dan PKR di Penanti?

Perkara sebegini tidak pernah berlaku dalam BN.

Ini sangat memalukan Pakatan Rakyat.

Ada kemungkinan kerusi ini akan terlepas ketangan BN/UMNO kalau Pakatan telah menampak kan keretakan.