16 Ogos 2009

Istihadah tidak halang beribadat

Oleh : mohd naim mohd zain

SOALAN:
SAYA kini dalam menuju menopaus. Kedatangannya pada Julai ini hanya sebanyak dua atau tiga titisan sahaja pada setiap kali kedatangannya dan hanya sekali sahaja dalam satu hari itu.

Tarikh hari-harinya adalah 5, 9, 12, 13, 27 dan 30. Bagaimanakah pelaksanaan mandi hadas dan solat fardu yang sepatutnya saya laksanakan.

Jawapan:

ULAMA berselisih pendapat di dalam menetapkan umur terputusnya haid bagi seseorang wanita, namun bergantung kepada fizikal seseorang wanita itu.

Ulama Hanafiah berpendapat umur menopaus kebiasaannya pada usia 55 tahun. Jika selepas itu terdapat darah berwarna hitam atau merah atau kekuningan ia dianggap sebagai darah haid.

Ulama Maliki pula berpendapat, umur terputusnya haid adalah pada 70 tahun.

Manakala pendapat Imam Syafie tiada umur yang ditetapkan secara khusus selagi mana seseorang wanita itu hidup maka darah yang keluar dari rahimnya itu adalah haid. Namun umur kebiasaan putusnya haid bagi wanita sekitar 62 tahun.

Tempoh haid bagi seorang wanita mengikut jumhur fuqaha ialah 15 hari.

Mengikut pendapat Ulama Hanafi, tempoh paling singkat haid bagi wanita adalah tiga hari tiga malam, sekiranya kurang daripada tempoh itu, ia bukanlah darah haid bahkan adalah darah istihadah.

Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW dari Abi Umamah al-Bahili, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; tempoh yang paling singkat haid bagi hamba perempuan yang masih dara dan yang janda: selama tiga hari, dan paling lama 10 hari. (riwayat At-Tabrani, Ad-Dar Qutni jilid 1, Halaman 191).

Pendapat ulama Maliki, tiada tempoh yang paling pendek bagi haid dalam ibadah. Paling sedikit ialah setitis. Maka ia dikira sedang haid, apabila berhenti, wajib padanya bersuci dan meneruskan ibadah, sekiranya berpuasa, maka batal puasa pada hari tersebut walaupun setitis darah.

Pendapat Imam as-Syafie dan Hanbali, tempoh paling pendek bagi haid ialah sehari semalam (24 jam)..

Mengikut imam Syafie, sekiranya darah kelihatan kurang daripada sehari semalam, maka ia adalah darah istihadah dan bukan darah haid.

Berdasarkan kepada persoalan puan, menurut pendapat Imam Syafie darah yang keluar adalah darah istihadah bukan darah haid.

Titisan darah yang keluar bukan darah haid malahan darah istihadah. Sekiranya darah itu dihukum sebagai darah istihadah mengikut pandangan Syafieyah tidak menghalang puan dari melakukan ibadah fardu dan sunat.

Maksudnya, darah yang keluar itu adalah darah sakit, maka ibadat fardu tidak terhalang. Darah istihadah tidak perlu mandi hadas. Puan perlu dibersihkan darah tersebut dengan menghilangkan darah tersebut.

Ini kerana darah yang keluar tidak tetap, berselang di antara beberapa hari, maka ia adalah darah istihadah.

Jika begitu keadaannya, ibadat yang tertinggal kerana menyangka darah setitis dua sebagai haid hendaklah diqada.

Sekiranya puan tidak pasti dan khuatir darah istihadah keluar ketika solat maka hendaklah memakai tuala wanita, biarpun setitis dua sahaja yang keluar.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: "Darah haid itu satu benda yang mendatangkan mudarat". Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci.(al-Baqarah: 222)

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam,sy nak bertanyakan soalan berkenaan istihadah.kebiasaannya tempoh haid sy ialah 6-7 hari,sy mula didatangi haid pd 4hb Ramadan sehingga 11hb Ramadan,maka dlm tempoh itu sy tidak berpuasa dan tidak solat,kemudian stlh mandi wajib sy mula berpuasa dan solat pada 12hb Ramadan sehingga 17hb Ramadan,dlm tempoh tersebut tiada darah yg keluar sehinggalah pd mlm 17hb sampai ke hari ini...setahu sy tempoh maksimum haid ialah 15 hari,oleh itu sy menganggap darah itu ialah istihadah mulai 19hb,jd sy berpuasa dan solat seperti biasa selepas mandi hadas sekali lg pada 19hb...persoalannya adakah tindakan saya itu betul?dan saya perlu menggantikan puasa sebanyak 15 hari?

Tanpa Nama berkata...

assalam.. ingin bertanyakan soalan. Baru2 ini, Saya dtg haid pada 7/9/2011-12/9/2011 (6 hari).. kebiasaannya kitaran haid saya adalah 26 hingga 28 hari dan jarang sekali awal atau lewat dr tempoh itu. Walaubagaimanapun, pada 26/9/2011 (hari ke-20 dlm kitaran haid sy), keluar darah merah yg cair dan sifatnya tidak seperti darah haid yg biasa (yg pekat dan agak kehitaman).. Darah tersebut keluar sehari sahaja. Untuk makluman, sy baru bernikah pada 10/9/2011 dan telah beberapa kali melakukan hubungan kelamin dengan suami. Adakah darah tersebut dikira darah istihadah dan sy perlu solat seperti biasa?.. dan adakah ia ada kaitan dengan hubungan kelamin saya dgn suami?.. terima kasih.