14 Ogos 2009

Solat Hajat Perdana - Mohon perlindungan Allah hindari H1N1

Oleh : Zamri Keciks

PARIT BUNTAR, 13 Ogos : "Mohonlah perlindungan dari Allah!" ujar Dr Mujahid Yusof Rawa apabila ditanya virus Influenza A H1N1 yang semakin meluas merebak di negara ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar menyeru kepada setiap umat Islam agar banyakkan solat hajat dan berdoa bagi melindungi penyakit berbahaya ini.

"Sudah lebih 42 kes kematian dilaporkan tidak sampai sebulan di seluruh negara. Ini ancaman besar kepada seluruh umat manusia agar sentiasa berhati-hati dengan virus ini dan berusaha mengelakkan penyakit ini dari terus berjangkit." ujarnya.

"Bagi umat Islam, kita mesti percaya bahawa setiap apa yang berlaku itu adalah dari Allah. Allah mencampakkan sesuatu penyakit itu agar kita sedar tentang kealpaan kita pada Nya. Allah menurunkan sesuatu bala tidak kira masa, bangsa, negara mahupun agama. Sekiranya terjadi sesuatu bala sebegini, Allah suruh kita fikirkan bagaimana nak selesaikan masalah ini dan pada siapa mesti kita mohon."

"Oleh itu kita harus sedar dengan jauhnya kita dari Allah. Salah satu cara menghindarinya adalah memohon pada Allah agar kita dilindungi dari malapetaka ini."

"Justeru saya mewakili Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar akan menganjurkan Solat Hajat Perdana di dua tempat di kawasan Parlimen Parit Buntar. Pada 14 Ogos ini ia akan diadakan di Dataran Pekan Batu Lima manakala pada 15 Ogos di Dataran Pekan Sehari Taman Kerian." katanya

Program ini akan bermula dengan Solat Maghrib berjemaah kemudian disusuli Solat Hajat serta Mohon Pengampunan Allah dan majlis ditutup dengan Solat Isyak. Orang ramai hanya perlu membawa sejadah sendiri sahaja.

"Saya menyeru kepada seluruh umat Islam di kawasan ini tanpa mengira usia, jantina dan fahaman politik dapat hadir bersama-sama memohon kepada Allah agar kita dihindari dari virus H1N1 dan diberi perlindungan dari apa jua bencana. Insya Allah" katanya lagi.

Tiada ulasan: