18 September 2009

Dua lagi maut angkara H1N1

Dua kematian baru didaftarkan hari ini akibat influenza A(H1N1), menjadikan jumlah kematian sehingga kini sebanyak 76 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata mangsa merupakan seorang wanita berumur 45 tahun dari Sabah yang juga menghidap darah tinggi dan seorang remaja perempuan berumur 19 tahun dari Bentong, Pahang.

Beliau berkata wanita itu dimasukkan ke Hospital Tambunan pada 17 Ogos kerana demam, batuk dan selesema selama tiga hari dan pada hari yang sama, kesnya dirujuk ke Hospital Keningau untuk rawatan rapi di unit penjagaan rapi (ICU) dan rawatan antivirus telah dimulakan

"Bagaimanapun, beliau meninggal dunia pada 26 Ogos iaitu 10 hari selepas dimasukkan ke ICU kerana komplikasi pneumonia dan kematian direkodkan sebagai 'severe bronchopneumonia with Acute Respiratory Distress Syndrome' dan kes disahkan H1N1 melalui ujian makmal pada 19 Ogos," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur.

Beliau berkata mangsa kedua pula dimasukkan ke Hospital Bentong pada 30 Ogos kerana batuk selama lima hari serta demam sehari, dan rawatan antivirus juga telah dimulakan pada hari yang sama.

Beliau berkata mangsa sebelum itu mendapatkan rawatan pesakit luar di hospital bagi simptom batuk tanpa demam pada 26 Ogos dan pada 31 Ogos beliau mengalami sesak nafas dan terus dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan di ICU.

"Bagaimanapun, remaja perempuan itu meninggal dunia pada 1 Sept disebabkan oleh 'severe pneumonia with H1N1 infection' setelah kes disahkan melalui ujian makmal pada 3 Sept," katanya.

Sementara itu, sejumlah 156 pesakit baru dengan gejala penyakit serupa influenza (ILI) dimasukkan ke hospital hari ini untuk rawatan manakala sebanyak 189 kes telah dibenarkan pulang.

"Ini menjadikan baki seramai 881 pesakit ILI sedang dirawat di 98 buah hospital termasuk 11 hospital swasta di seluruh negara. Daripada jumlah pesakit yang dirawat, hanya 141 pesakit disahkan positif H1N1," katanya.

Beliau berkata daripada 141 kes yang telah disahkan H1N1, sebanyak 37 kes berada di ICU di mana empat kes merupakan kemasukan baru manakala empat lagi kes telah pun keluar dari ICU.

"Daripada 37 kes yang sedang dirawat di ICU, sebanyak 28 kes mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (sembilan), penyakit respiratori kronik (tiga), obesiti (enam), kanak-kanak bawah lima tahun (lapan) dan hamil (dua)," katanya.

Dr Mohd Ismail juga berkata dalam kesibukan umat Islam membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya Aildilfitri, Kementerian Kesihatan ingin menasihati orang ramai agar terus mengamalkan langkah kebersihan diri dan segera mendapatkan rawatan jika mengalami gejala influenza A (H1N1).

Beliau berkata pihak pengurusan pasar raya atau pusat membeli-belah juga disarankan agar mengamalkan langkah-langkah pencegahan termasuk menyediakan kemudahan membasuh tangan dan menjaga persekitaran serta menyediakan tempat bagi membuang sampah serta topeng penutup mulut dan hidung yang mencukupi.

"Orang ramai digalakkan membawa kit H1N1 (topeng mulut dan hidung, tisu dan cecair pembasmi kuman) ke mana-mana termasuk ketika membeli-belah, menaiki kenderaan awam atau berhari raya di rumah sanak-saudara dan rakan dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai wabak Influenza A (H1N1) serta langkah-langkah pencegahan yang disyorkan kementerian dari semasa ke semasa," katanya.

Maklumat dan perkembangan terkini jangkitan influenza H1N1 boleh diperoleh melalui talian 03-8881 0200 atau 03-8881 0300 dari 8 pagi hingga 5.30 petang, melalui email di cprc_h1n1@moh.gov.my serta laman web kementerian iaitu di http://www.moh.gov.my.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: