21 September 2009

"Hua She Tian Zu" : Menambah Kaki pada Ular Ketika Melukis



Pada Zaman Negeri-Negeri Berperang, seorang bangsawan di Negeri Chu memberikan sebotol arak kepada para pembantunya selepas upacara memuja nenek moyangnya berakhir. Ada seorang pembantu mengemukakan cadangan:

"Kita hanya diberi sebotol arak sahaja. Ini pastinya tidak cukup untuk melayan kita semua, dan hanya cukup untuk diminum oleh seorang saja. Bagaimana, kalau kita setiap orang melukis seekor ular di lantai, siapa yang paling cepat selesai melukis ular itu, akan layak minum arak ini."

Pembantu-pembantu yang lain semuanya bersetuju dengan cadangannya tersebut. Lalu, mereka mula melukis ular pada lantai.

Menurut ceritanya, ada seorang antara mereka yang paling cepat menyiapkan lukisan ularnya, dan dia ingin minum arak itu. Namun, melihat orang lain masih sibuk melukis, dia berkata dengan sombong:

"Lambatnya awak semua melukis. Aku masih ada masa yang mencukupi untuk menambah sepasang kaki pada ular dalam lukisanku."

Lalu, dia mengambil berus, dan ingin menambah kaki pada ular yang sudah siap dilukisnya pada lantai. Namun, apa yang terjadi kemudiannya sangat di luar sangkaannya. Sebelum dia siap melukis kaki pada ular itu, ada seorang yang lain sudah pun menyiapkan lukisannya. Dia pun mengambil botol berisi arak itu, dan berkata:

"Siapakah yang pernah jumpa ular yang mempunyai kaki? Yang awak lukis itu bukanlah ular. Jadi, arak ini patut aku minum."

Lalu, dia terus minum arak itu.

Melihat arak itu habis diminum, orang yang menambah kaki pada ular itu berasa amat kesal. Namun, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi.

Inilah asal usul peribahasa "Hua She Tian Zu", yang memberikan pengajaran kepada kita supaya mematuhi arahan dan mempunyai tujuan yang jelas ketika membuat sesuatu kerja, dan jika kerja itu selesai dibuat, jangan berlagak sombong, jika tidak, kita juga akan mengalami kerugian.
CRI/-

4 ulasan:

ninja97 berkata...

hebat nye.....-saudaraiman.blogspot

Cikli berkata...

kalau pertandingan melukis ular di malaysia, tentunya orang kedah menang, diikuti org kelate, orang teganu dan last orang melaka.

ular orang kedah kecik saja...ulaq. cepatla siap.
ular org kelate sedang je saiznya....ula
ular orang teganu gemuk dan besar...uloo
ular orang melaka berlengkar-lengkar...ulau...lambatla sikit nak siap.
selamat hari raya. maaf zahir batin.

Puan Ainon Mohd. berkata...

Tuan YB,

Alangkah bangusnya cerita-cerita seperti itu dibukukan....

Prof. Emeritus Abdullah Hassan, MA (Mal), Ph.D. (Edin) berkata...

Assalamu alaikum YB Ustaz Idham Lim,

Mohon saya pinjam gambar dan peribahasa ini untuk facebook saya.

Ada orang berhujah dengan menambah kaki kepada ular.