11 Oktober 2009

Proses pengundian di Bagan Pinang bermula

Proses pengundian pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang bermula sebaik sahaja pusat-pusat pengundian dibuka pada jam 8 pagi ini.

Terdapat 13,994 pemilih, termasuk 4,604 pemilih pos, yang layak mengundi dalam pilihanraya kecil kali ini.

Pengundi pos telah selesai membuang undi dua hari lalu, manakala pengundi biasa akan membuat pilihan mereka hari ini di lapan pusat pengundian yang melibatkan 18 saluran.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mensasarkan kira-kira 80 peratus daripada pengundi akan keluar mengundi dalam pilihan raya kecil ini.

Pilihan raya DUN Bagan Pinang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN, Tan Sri Isa Samad dengan calon PAS, Zulkefly Mohd Omar.

Kerusi itu kosong ekoran kematian penyandangnya dari BN, Azman Mohammad Noor, pada 4 September lalu. Azman mengekalkan kerusi tersebut, dengan menewaskan calon PAS, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi.

Polis telah menasihatkan pengundi khususnya supaya mematuhi arahan anggota pasukan itu bagi memastikan kelancaran lalu lintas, yang dijangka sesak berikutan kehadiran pelawat yang berkunjung ke pantai peranginan di situ pada hujung minggu.

Pengundian akan ditutup pada pukul 5 petang dan diikuti dengan pengiraan undi di kesemua lapan pusat mengundi terbabit.

Penjumlahan undi akan dilakukan di Dewan MPPD dan keputusannya dijangka dapat diketahui seawal pukul 8 malam ini. Malaysiakini/-

Tiada ulasan: