19 November 2009

Satim Diman dirujuk ke JK Hak dan Kebebasan Dun

SHAH ALAM, 17 Nov: Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini meluluskan usul supaya Timbalan Ketua Pembangkang Selangor Datuk Mohd Satim Diman disiasat oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan berhubung kenyataannya mengenai Menteri Besar semasa membahaskan Bajet Selangor 2010.

Usul itu yang dibawa oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diluluskan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Teng Chang Khim.

Teng ketika meluluskan usul itu berkata mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri biarpun semua ahli dewan diberi imuniti, tidak bererti ahli-ahli boleh mencemar reputasi mana-mana Anggota Dewan Undangan Negeri dengan fakta yang tidak berasas dan menyalahguna kuasa imuniti.

Katanya jika kenyataan yang dibuat oleh Satim pada 11 Nov lepas itu tidak sahih dan tidak berasas, jawatankuasa itu hendaklah mencadangkan tindakan yang sewajarnya kepada Dewan.

Ketika membentangkan usul itu, Abdul Khalid berkata jawatan kuasa itu perlu menyiasat kesahihan kenyataan Satim iaitu Bajet 2010 dibentangkan dalam keadaan rakyat keseluruhannya sangsi dengan kebolehan Menteri Besar.

“Ini bertolak dengan kegagalan (Abdul Khalid) membayar kemudahan pinjaman Bank Islam berjumlah RM66.6 juta (US$18.5 juta) yang dibuat pada tahun 1998 bagi tujuan pembelian saham Kumpulan Guthrie Bhd.

“Ini adalah pembelian opsyen 200 juta saham atau 20 peratus daripada kumpulan Guthrie. Ini membuktikan Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar tidak hemat dan gagal menguruskan kewangan sendiri,” kata Abdul Khalid sebagaimana dilapor laman web Selangorkini.

Abdul Khalid berkata kenyataan anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Sri Serdang itu tidak sahih dan tidak ada bukti yang kukuh dan lebih kepada cercaan kepada seorang ahli dewan dan menurutnya soal pinjaman membeli saham itu kini masih lagi dalam prosiding mahkamah.

HarakahDaily.Net/-

Tiada ulasan: