19 November 2009

Salahuddin dan Nazri Aziz sedia debat isu royalti minyak

KUALA LUMPUR, 17 Nov: Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) mencabar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohammed Nazri Aziz berdebat mengenai isu Royalti Minyak Kelantan yang ditukar menjadi wang ehsan oleh kerajaan Barisan Nasional.

Salahuddin (gambar) ketika mencelah dalam ucapan penggulungan Nazri di Dewan Rakyat petang tadi, mengulangi cabarannya terhadap Nazri kerana berpendapat Nazri banyak menyelewengkan fakta berhubung royalti minyak termasuk dalam isu perjanjian yang pernah dimeterai Petronas dengan Kerajaan Negeri Kelantan suatu ketika lalu.

"Saya berdiri di sini mewakili rakyat Kelantan mencabar Yang Berhormat mewakili Perdana Menteri berani atau tidak ita berdebat di luar dewan, di Kota Bharu, atau di Kuala Lumpur untuk kita beritahu rakyat rakyat apa sebenarnya yang berlaku di sebalik pembohongan ini," katanya.

Membalas cabaran itu, Nazri berkata beliau bersedia untuk berdebat berhubung isu ini pada bila-bila masa dan di mana sahaja termasuk di markas PAS Taman Melewar.

"Saya tidak ada halangan sebenarnya malah kalau nak buat perbahasan di Markas PAS di Greenwood pun saya akan pergiTidak ada masalah,"katanya.

Sidang dewan menjadi kecoh apabila wakil rakyat Pakatan Rakyat tidak berpuas hati dengan percanggahan fakta yang dinyatakan oleh Nazri.

Turut membahaskan isu tersebut ialah, Saifuddin Nasution (PKR-Machang),Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur), YUsmadi Yusuf (PKR-Balik Pulau) dan Dzulkifly Amad (PAS Kuala Selangor).

Dr Dzulkefly dengan tegas menyifatkan Nazri menyelewengkan beberapa interpretasi perlembagaan mengikut pendapatnya sahaja, malah menafikan apa yang telah dipersetujui bersama oleh pemimpin Petronas dan negara sebelum ini.

"Mengapa kita membelakangkan Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Salleh Abbas yang sebelum ini memahami asas kepada perjanjian ini.Semangat undang-undang mesti adil, hari ini dalam kes royalti mengapa Sabah Sarawak diberikan hak, tetapi Kelantan dan Terengganu di mana keadilannya," katanya.

Nazri sebaliknya cuba mengalihkan perhatian wakil rakyat yang lain dengan menyentuh isu-isu dalaman PAS dan tidak menjawab isu sebenar yang dipersoalkan wakil Shah Alam, Ir Khalid Samad berhubung kedudukan Kelantan sebagai negeri yang sepatutnya berhak dalam royalti minyak.

HarakahDaily.Net/-

2 ulasan:

Awanama berkata...

Tak perlu debat, terang kepada rakyat sahaja, PRU13 tumbangkan UBN.

david ahmad muniandy berkata...

sampai harini debatan nazri aziz tak pernah tumpas...