06 Januari 2010

Pertumbuhan Ekonomi Bandar Wuzhong, "Kampung Etnik Hui" yang Terkenal di China

19 Muharram 1431

Bandar Wuzhong terletak di Wilayah Autonomi Hui Ningxia, bahagian barat laut China. Ia juga dikenali sebagai "Kampung Etnik Hui" bukan sahaja mempunyai ramai penduduk etnik Hui, malah penuh suasana kebudayaan Islam. Dalam proses perkembangan sejarah Wuzhong, pertumbuhan ekonominya mempunyai ciri etnik dan kedudukan yang ketara.



Pada zaman dahulu, Wuzhong sangat penting dari segi ketenteraan kerana kedudukan geografinya yang strategik terletak di kawasan yang sesuai bagi menghadapi serangan dari barat. Selain itu, Wuzhong juga merupakan pusat perdagangan sejak zaman dahulu. Menurut catatan yang bertajuk "Shuo Fang Dao Zhi", terdapat sebanyak beberapa puluh pasar besar di Wuzhong. Pasar-pasar tersebut akan penuh sesak dengan saudagar atau peniaga yang menjalankan aktiviti perdagangan ketika pasar dibuka pada 3, 6 dan 9 hb setiap bulan.

Selain menjadi pusat perniagaan tradisional serantau, Wuzhong, juga terkenal sebagai pusat industri makanan, penyembelihan lembu dan kambing, pengeluaran ubat-ubatan, barang kemas dan barang-barang antik serta pusat pengangkutan yang berkembang maju. Wuzhong mempunyai sistem pengangkutan yang baik sehingga ia menjadi pelabuhan air dan darat yang termasyhur dalam sejarah. "Laluan Sutera" yang merentasi kawasan Wuzhong bukan sahaja meningkatkan pertukaran ekonomi wilayah tengah dengan kawasan barat, malah mendorong interaksi kebudayaan pelbagai etnik di kawasan barat dengan pusat pada zaman Dinasti Tang (tahun 618-907 Masihi).

Pada zaman Dinasti Qing (tahun 1616-1911), laluan perairan Wuzhong merupakan perhubungan dengan bandar Baotou, iaitu sebuah bandar di Mongol Dalam. Perkembangan perniagaan bulu dan kulit binatang turut menyumbang kepada kemajuan pesat sektor pengangkutan Sungai Kuning. Wuzhong yang terletak berhampiran Sungai Kuning itu juga menjadi pintu utama bagi perdagangan di kawasan barat laut. Lebih 37% produk-produk di kawasan Wuzhong ke luar masuk melalui laluan perairan.

Generasi lama etnik Hui di Wuzhong kebanyakannya menyara diri melalui pertanian dan penternakan kerana Sungai Kuning telah menyuburkan tanah di sekitarnya. Pada zaman Dinasti Yuan (tahun 1206-1368), agama Islam berkembang pesat di China dan lebih ramai penduduk etnik Hui berhijrah ke Wuzhong yang membawa kepada pertumbuhan ekonomi baru sehingga wujudnya ekonomi etnik Hui yang bercirikan etnik dan agamanya. Sejak itu, aktiviti perdagangan etnik Hui di kawasan barat laut China bertumpu dalam bidang industri ketiga seperti makanan, penyembelihan lembu dan kambing, penghasilan ubat-ubatan, mutiara dan barang-barang antik serta perdagangan pengangkutan. Pembangunan ekonomi etnik Hui juga telah mendorong perdagangan antara pelbagai etnik di kawasan barat laut. Sementara itu, interaksi kebudayaan antara pelbagai etnik juga semakin meningkat yang membawa kepada perpaduan pelbagai etnik dan terjalinnya hubungan yang saling mempercayai.







Pada penghujung zaman Dinasti Qing, pasaran Wuzhong semakin makmur sehingga digelar sebagai "Mini Shanghai" kerana bukan sahaja saudagar tempatan yang berurus niaga di tempat itu, malah ramai peniaga dari provinsi lain datang untuk membuka perusahaan masing-masing. Menurut catatan, 70 peratus peniaga yang berurus niaga di Wuzhong pada zaman itu, ialah etnik Hui, manakala 30% ialah etnik Han. 80% perusahaan dijalankan oleh penduduk tempatan manakala 20% perniagaan diusahakan oleh peniaga luar.

Dalam jangka masa yang panjang, perniagaan etnik Hui di Wuzhong secara beransur-ansur mewujudan skala dan cirinya yang tersendiri. Mereka bukan sahaja meneroka sumber tempatan, malah mengimport produk daripada tempat lain. Oleh itu, struktur ekonomi kawasan itu dapat dipelbagaikan dan lebih sempurna. Sementara itu, taraf hidup rakyat tempatan semakin meningkat seiring dengan pertumbuhan ekonomi yang dilalui.

Selepas Republik Rakyat China ditubuhkan pada tahun 1949, lebih-lebih lagi dengan pelaksanaan dasar pembaharuan dan buka pintu di seluruh China, etnik Hui di barat laut China termasuk Wuzhong turut menyesuaikan diri dengan keperluan pasaran yang baru. Melalui usaha yang bersungguh-sungguh, mereka telah memberi sumbangan besar bagi perkembangan dan kemakmuran ekonomi kawasan itu.

Sekarang, Wuzhong merupakan salah satu kawasan penting dalam proses kemajuan perdagangan dan ekonomi di wilayah Ningxia. Kelebihan Wuzhong dalam sumber tanah dan sumber tenaga mengyebabkan bilangan keseluruhan ekonomi Wuzhong lebih banyak berbanding dengan 57 buah bandar lain di bahagian barat China.

Sejak kebelakangan ini, kerajaan Wuzhong terus menjalankan pembaharuan yang lebih pesat dengan meningkatkan peruntukan kewangan untuk mendorong industri pelancongan serta mengubahsuai industri perkhidmatan yang tradisional. Beberapa industri perkhidmatan yang baru seperti perkhidmatan hartanah, kewangan, insurans, logistik dan perunding undang-undang diperkembangkan agar struktur ekonomi menjadi lebih rasional.

Bandar Wuzhong merupakan di antara bandar yang mempunyai kadar penduduk etnik Hui tertinggi di seluruh negara. Oleh itu, ciri kebudayaan, agama dan etnik amat ketara di Wuzhong. Pada tahun-tahun kebelakangan ini, industri pengeluaran makanan halal dan barang keperluan orang Islam berkembang pesat. Perusahaan di Wuzhong memiliki keistimewaan ini dan secara aktif mengembangkan pengeluaran dan perkilangan makanan halal serta barang keperluan orang Islam. Melalui usaha yang bersungguh-sungguh, Wuzhong telah berjaya menjadi kawasan pengeluaran makanan halal dan barang keperluan orang Islam yang berpengaruh besar di seluruh China bahkan di arena antarabangsa.

Selain itu, kebudayaan Islam etnik Hui juga menjadi sumber kebudayaan yang istimewa bandar Wuzhong sehingga ia mendapat reputasi "Kampung Etnik Hui" yang terkemuka.

Pada tahun 2007, kumpulan pimpinan pembangunan industri makanan halal dan barang keperluan orang Islam ditubuhkan di Wuzhong. Mereka mengemukakan permohonan untuk membangunkan Wuzhong sebagai empat pangkalan di peringkat negara, iaitu "pangkalan makanan halal China", "pangkalan industri barang keperluan orang Islam dan makanan halal China", "kampung kebudayaan seni bina etnik Hui China" dan "kampung makanan halal yang enak di China". Sehubungan itu, jenama "Wuzhong" sebagai "Kampung Etnik Hui China" mula diketahui di seluruh negara malah di seluruh dunia. Di samping itu, kerajaan pusat juga memberi lebih banyak sokongan dari segi kewangan dan dasar untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi Wuzhong.

Wuzhong kaya dengan tumbuh-tumbuhan dan binatang ternakan. Beras, sayur-sayuran, daging lembu dan kembing, semuanya merupakan bahan yang bermutu dalam penghasilan makanan halal. Selain itu, terdapat pelbagai jenis makanan ringan halal yang istimewa di Wuzhong telah mendapat sambutan baik. Kini, kawasan perniagaan makanan halal dan barang keperluan orang Islam sedang dibina di bandar Wuzhong. Lebih ramai pelancong tertarik untuk datang ke Wuzhong bagi mendekati dan menghayati kebudayaan etnik Hui yang beragama Islam di China.

Walaupun pertumbuhan ekonomi Wuzhong semakin berkembang maju dengan taraf kehidupan penduduknya yang semakin meningkat serta persekitaran penghidupan mengalami perubahan yang besar, namun Wuzhong masih mempunyai perbezaan yang ketara dengan kawasan-kawasan lain terutama bahagian tenggara China. Oleh itu, langkah yang lebih kukuh dan berkesan perlu dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah sedia ada pertumbuhan ekonomi sehingga wujud mekanisme yang selaras dengan keperluan pertumbuhan ekonomi, kestabilan sosial dan keistimewaan kebudayaan sendiri di kawasan kediaman pelbagai etnik.CRI/-

Tiada ulasan: