06 Februari 2010

Cari titik persamaan agama dalam berdakwah

21 Safar 1431H
Dzulfikar Mashoor

KOTA BHARU, 4 Feb: Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Parti Keadilan Rakyat, Dr Muhd Nor Manuty menyeru umat Islam supaya menghayati konsep mencari titik persamaan dengan penganut-penganut agama yang lain dalam berdakwah.

Beliau yang juga Fello Kanan di Kolej Universi Islam Selangor (Kuis) turut menjelaskan pengalaman beragama Umat Islam di Singapura dan beberapa negara Eropah yang menggalakan wacana antara agama hatta berjaya mengIslamkan ramai penganut-penganut Kristian dan Atheis.

Dalam konteks Malaysia, menurut beliau, Pakatan Rakyat seharusnya memulakan wacana-wacana yang rasional demi membangkitkan keyakinan umat Islam, di samping menghakis rasa bimbang di kalangan rakyat tempatan.

"Rasulullah s.a.w adalah qudwah al-hasanah (contoh teladan yang baik) dan kerajaan Rasulullah adalah 'kerajaan dakwah' di mana Umat Islam dan (masyarakat) bukan Islam saling menghormati antara satu sama lain," jelasnya.

Beliau menyatakan demikian ketika membentangkan kertas kerja 'Pemakaian Kalimah Allah: Antara Kebimbangan dan Keyakinan Rakyat' pada Seminar Pemikiran Islam Semasa anjuran Tabung Amanah Tok Kenali di Pusat Tarbiyyah Islamiyyah Kelantan (Putik), di sini, hari ini.

Presiden Wadah Pencerdasan Ummah (Wadah), Datuk Dr Siddiq Fadhil pula berkata, kebimbangan yang dialami oleh masyarakat Melayu dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam sebelum ini kerana tidak mahu gerakan kristianisasi didakyahkan ke atas masyarakat seperti sebelum merdeka.

"Ketika sekolah (aliran) Inggeris diperkenalkan, orang Melayu begitu bimbang menghantar anak-anak mereka ke sekolah itu kerana bimbang, bimbang anak mereka didakyahkan (oleh) mubaligh Kristian.

"Tidak mungkin kebimbangan itu berlaku dengan prasangka semata-mata (dan) prasangka tidak bertahan lama, tentu ada sebab lain yang begitu kuat,” ujarnya ketika membentangkan kertas kerja 'Pemakaian Kalimah Allah: Suatu Pernyataan Keprihatan'.

Mengambil pengalaman gerakan dakyah Kristian ke atas bangsa Melayu-Jawa di Indonesia, beliau menganggap permohonan menggunakan kalimah 'Allah' oleh Gereja Katholik Kuala Lumpur seperti suatu gerakan Kristianisasi di tanah air.

"Dalam konteks Alam Melayu, seperti yang dilakukan di Indonesia, mereka (mubaligh Kristian) cuba 'mengkristiankan pribumi' dan 'mempribumikan Kristian' di mana Allah itu disebut-sebut sebagai secara lazim dalam penulisan Kristian hingga tidak ada yang berbeza dengan kita.

"Hal seperti itu telah terjadi, sama ada kebimbangan ini boleh dijadikan asas untuk kita (umat Islam) menyekat mereka (masyarakat bukan Islam) menggunakan kalimah 'Allah' atau kita mahu membenarkan dengan syarat-syarat yang begitu ketat, kebimbangan itu masih boleh dilihat dan ditimbang-timbangkan," ujarnya yang juga Presiden Kolej Dar al-Hikmah.

Ustaz Wan Ji Wan Hussin, Editor Syariah sebuah syarikat penerbitan buku ketika membentangkan kertas kerja 'Penggunaan Kalimah Allah bagi Masyarakat Bukan Islam' berkata, tidak ada nas yang jelas melarang masyarakat bukan Islam untuk menggunakan kalimah Allah.

Disebabkan itu, umat Islam mesti menunjukkan keadilan Islam untuk semua manusia dengan memberikan hak-hak kepada mereka yang berhak menggunakan kalimah Allah.

"Islam itu agama yang adil dan keadilan Islam itu untuk semua seperti mesti dalam semua perkara, termasuk dalam menggunakan nama Allah.

"Isu kalimah 'Allah' lebih jelas kalau dilihat pada (konteks) orang Islam dilarang minum arak, tetapi pengharaman itu tidak boleh kita sehingga kita menafikan hak masyarakat Islam meminum arak,” ujarnya.

Tegasnya lagi, apabila Allah tidak melarang masyarakat bukan Islam dari menggunakan nama 'Allah', bermakna terdapat hikmah yang berupa kebaikan yang besar berbanding kemudaratan yang kecil, seperti pandangan Imam al-Baidhowi dan Imam asy-Syatibi ketika membahaskan hukum-hakam Islam.

Harakahdaily.net/-

Tiada ulasan: