27 Mei 2010

Bukan salah guna proses mahkamah - Sivakumar

12 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 25 Mei: Speaker Pakatan Rakyat Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, V. Sivakumar (gambar) berpendirian permohonannya untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Persekutuan membenarkan tiga Adun yang keluar parti menjadi wakil Bebas mengekalkan kerusi masing-masing bukan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

Sebaliknya beliau berkata, permohonan itu adalah untuk membetulkan kesilapan Mahkamah Persekutuan yang mentafsir undang-undang negeri sedangkan ianya bukan bidang kuasa mahkamah berkenaan.

"Ini bukan penyalahgunaan proses mahkamah sebab dalam kes ini kita dapat lihat mahkamah telah menyalahgunakan kuasa. Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk mentafsir undang-undang negeri tapi ia telah disalahgunakan dan telah mentafsir undang-undang negeri.

"Apabila perkara ini berlaku, apa salahnya kalau kita bawa semula perkara ini ke mahkamah untuk membuka semula kes ini. Kalau kita tidak buat begini, tidak ada pembetulan boleh dibuat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Semalam, Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin berkata permohonan Sivakumar adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah dan isu yang dibangkitkan pada prosiding telahpun dipertimbangkan sepenuhnya dan diputuskan dalam penghakiman oleh panel Mahkamah Persekutuan yang lain sebelum ini.

Zulkefli yang mengetuai panel tiga hakim, membatalkan permohonan Sivakumar selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan oleh peguam ketiga-tiga wakil rakyat serta peguam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang bertindak sebagai pencelah.

Zulkefli dan dua lagi hakim iaitu Datuk Seri Md Raus Sharif dan Datuk Abdull Hamid Embong, sebulat suara memutuskan bahawa Sivakumar gagal mengemukakan peruntukan undang-undang yang digunakan sebagai asas permohonannya.

Pada 19 April lalu, Sivakumar dalam notis usul yang dikemukakan di mahkamah mendakwa beliau berhak, di bawah undang-undang, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Persekutuan bertarikh 9 April yang terbatal kerana dibuat tanpa bidang kuasa.

Aduh Tronoh itu juga berkata, satu ketidakadilan telah berlaku apabila Mahkamah Persekutuan enggan menerima permohonan itu.

"Satu kesalahan telah dibuat oleh Mahkamah Persekutuan dan kita cuba membetulkan kesilapan yang dibuat itu. Adakah ini menyalahgunakan mahkamah?"

"Kalau kita tidak betulkan di sini di mana lagi kita nak betulkan? Kita tak ada ruang lain sebab Mahkamah Persekutuan merupakan mahkamah yang paling tinggi di negara kita," katanya lagi.

Sementara itu, beliau juga memberitahu, perbicaraan kes berhubung permohonannya untuk diadakan semakan perundangan bagi mencabar keputusan SPR untuk tidak mengadakan pilihan raya kecil bagi tiga kerusi Dun itu akan berlangsung 27 Mei ini.

Harakahdaily/-

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

bicara mahkamah UMNO macam tak bicara sahaja, keputusan ditangan najib

Tanpa Nama berkata...

kita semua berbeza pendapat
sehinggalah betul lagi benar
diperolehi