27 Mei 2010

Muktamar PAS dijangka bahas persiapan PRU 13

12 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 25 Mei: Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad (gambar) menjangkakan perbahasan pada Muktamar PAS Tahunan ke-56 yang bermula pada 11 Jun depan ditumpukan kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13).

Menurut beliau, tumpuan sedemikian dilihat wajar kerana kira-kira 1,000 perwakilan daripada 172 kawasan umumnya percaya bahawa PRU 13 akan diadakan pada 2011.

"Perbahasan mungkin sudah ke arah persiapan PAS, Pakatan Rakyat untuk menghadapi PRU 13 berkaitan bagaimana menghadapi musuh utama Umno serta media-media arus perdana yang ketara dikawal oleh mereka.

"Kita mungkin takkan menghadapi muktamar satu lagi sebelum PRU 13, muktamar inilah mungkin baik untuk kita buat apa juga persiapan," jelas beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usul Muktamar berkata, perwakilan umumnya mungkin tidak dapat lari daripada berbahas tentang pengalaman kekalahan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor serta berjaya di Sibu.

Ini kerana, katanya kedua-dua pilihan raya tersebut kebetulan hampir dengan muktamar kali ini.

Ujarnya lagi, walaupun bukan calon PAS yang bertanding dalam kedua-dua pilihan raya tersebut, namun trend pengundian dalam kedua-dua pilihan raya itu mencerminkan sokongan sebenar rakyat, khususnya masyarakat Melayu terhadap Pakatan Rakyat.

Implisitnya, beliau berkata, penyusutan sokongan masyarakat Melayu sekaligus memberi gambaran tidak langsung kepada PAS kerana PAS secara tradisi bertanding di kawasan-kawasan jalur Melayu majoriti.

Sehubungan itu, beliau secara peribadi menyuarakan rasa yakin bahawa muktamar merupakan wadah terbaik untuk mencari formula demi memastikan kaum Melayu bersedia memberi undi kepada PAS.

Untuk itu, menurut beliau, Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dijangka akan membentangkan formula PAS untuk memenangi jiwa rakyat, khususnya kaum Melayu.

Sekiranya muktamar kali ini dijadikan medan terbaik untuk mencanai formula memperkukuh parti, beliau percaya bahawa PAS boleh menjadi tiang seri utama Pakatan Rakyat seterusnya menggantikan Umno BN pada PRU 13 kelak.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: