15 Jun 2010

Hadi: Kerjasama Pakatan berdasar al-Quran dan syarak

1 Rejab 1431 H
Oleh: Jimadie Shah Othman

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menjelaskan bahawa kerjasama politik yang diamalkan dalam Pakatan Rakyat - bersama PKR dan DAP - sekarang ini dibuat berdasarkan al-Quran dan diizinkan syarak.

"(Sebaliknya) kerjasama (dengan) Umno dalam menggadaikan prinsip dan akhlak. Dan ia tidak boleh dijadikan contoh dalam Islam," katanya yang juga ahli parlimen Marang.

Katanya, berdasarkan al-Quran dan muzakarah ulama yang dirakamkan dalam kitab-kitabnya, umat Islam dibenarkan melibatkan masyarakat bukan Islam dalam urusan politik.

"Amalan politik dalam Islam berbeza dengan sembahyang. Dalam sembahyang jemaah, imam (mesti) Islam, makmumnya Islam.

"Dalam politik, pemimpinya Islam, (tetapi) petugasnya boleh diambil daripada kalangan Islam dan bukan Islam," kata Abdul Hadi lagi.

Beliau menegaskan demikian dalam ucapan penggulungannnya di muktamar PAS ke-56 yang berlangsung selama tiga hari mulai Jumaat lalu, yang dihadiri kira-kira 1,500 perwakilan, dan berakhir hari ini.

Sementara itu, dalam sidang media selepas tamatnya muktamar parti itu petang ini, Abdul Hadi Hadi mengulangi pendirian bahawa PAS menolak perpaduan dengan Umno.

Ianya antara lain kerana Umno didakwa mengamalkan pendekatan perkauman sempit, lapor akhbar webnya Harakahdaily.

"Gagasan dengan BN tak boleh selesai masalah kerana mereka masih tebal dengan perkauman, malah dibejati dengan rasuah," beliau dipetik sebagai berkata.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: