09 Jun 2010

'Jelaskan penyerahan Blok L dan M'

25 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: S Pathmawathy

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut penjelasan dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penyerahan dua zon yang kaya dengan minyak di luar pantai Laut China Selatan kepada Brunei tahun lalu.

Kementerian Luar sebelum ini telah mengakui dalam satu kenyataan bahawa blok minyak L dan M di luar pantai Sabah kini milik Brunei.Beliau mendesak perdana menteri menyatakan secara jelas di Parlimen mengenai keputusan kerajaan persekutuan menyerahkan wilayah negara, khususnya Blok L dan M, kepada Brunei.

Katanya, penyerahan tersebut selesai pada 16 Mac 2009, hanya 17 hari sebelum ahli parlimen Kepala Batas, Tun Abdullah Ahmad Badawi, melepaskan jawatan perdana menteri pada 3 April 2009.

Kontroversi mengenai Blok L dan M tercetus selepas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menuduh Abdullah 'menyerah' dua blok minyak itu bagi menyelesaikan pertikaian sempadan Limbang di Sarawak.

Dalam blognya April lalu, Dr Mahathir mendakwa bahawa tindakan penggantinya itu telah mengakibatkan negara kehilangan sekurang-kurangnya AS$100 bilion atau sekitar RM320 bilion pendapat dari minyak.

Abdullah, bagaimanapun, dalam satu kenyataan akhbar, menafikan dakwaan tersebut dengan berkata langkah itu dibuat 'tanpa merugikan Malaysia' dan Malaysia akan dibenarkan menyertai pembangunan bersama secara komersil di dua blok tersebut selama 40 tahun.

Menurutnya lagi, perjanjian itu dilakukan dengan persetujuan kabinet sebelum ianya ditandatangani dengan Brunei pada 2009 dan sebelum beliau melepaskan jawatan perdana menteri kepada Najib.

Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh berkata pendedahan mengenai penyerahan dua blok tersebut 'mengejutkan' kerana ia melibatkan kedaulatan negara serta kepentingan maritim dan ekonomi negara.

Katanya sewaktu pembentang undang-undang sempadan maritim 2006, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz berkata Malaysia telah menyatakan sempadannya melalui pengumuman Peta Baru Malaysia sejak 21 Disember 1979.

Menurut Anwar, peta tersebut diterbitkan dalam dua set, satu untuk Semenanjung dan satu untuk Sabah dan Sarawak.

Menurut peta Sabah dan Sarawak, Blok L dan M itu terletak di dalam sempadan dan perairan Malaysia. Ini telah diumumkan secara rasmi sebelum Brunei merdeka pada 1980, kata Anwar.

Dalam sidang akhbar selepas ucapannya di Parlimen itu, Anwar berkata rakyat hanya tahu tentang 'penyerahan' itu apabila Murphy Oil berkata kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) dengan Malaysia telah ditamatkan dan kawasan berkenaan bukan lagi menjadi sebahagian daripada Malaysia.

"Kita hanya mendapat tahu apabila Murphy Oil dimaklumkan oleh Petronas untuk menghentikan operasi. Ini salah kerana ia menjejaskan kepentingan nasional," kata Anwar sambil menambah, paling tidak pun, harus ada pakatan kuasa pembangunan bersama.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: