10 Jun 2010

Kelantan pesat membangun

26 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 8 Jun: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, negeri ini sedang pesat membangun biarpun pihak tertentu mendakwa kerajaan negeri tidak mampu melakukannya sejak PAS memerintah.Katanya, tuduhan kerajaan PAS tidak mampu melakukan pembangunan seperti dakwaan itu hanya akan membuatkan golongan bukan Islam semakin terasing daripada agama suci itu.

“Namun kini, selepas kerajaan PAS Kelantan mendepani perubahan, masyarakat bukan Islam seluruh negara telah menyaksikan sendiri bagaimana sebuah kerajaan yang ditadbir ulama mampu berbuat demikian (pembangunan),” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Projek Bandar Baru Tunjong di sini, hari ini.

Majlis perjanjian itu ditandatangani sendiri oleh pemilik-pemilik syarikat berkenaan bagi mewakili syarikat mereka sambil diperhatikan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Sebanyak 10 daripada 11 buah syarikat telah menandatangani perjanjian usaha sama antara Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) bagi memajukan projek tersebut.

Projek pembangunan yang berteraskan auto city dan pembangunan hartanah lain bertujuan untuk mengurangkan kesesakan bandar ini yang semakin kritikal khususnya pada waktu-waktu tertentu.

Seluas 2,000 ekar disediakan untuk projek bercampur yang bakal diisi dengan pembangunan rumah kedai, ruang pejabat, perumahan, masjid dan berbagai lagi.

Kerajaan negeri diwakili Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dana Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan.

Antara syarikat yang bakal melabur bagi memajukan pelbagai projek di bandar baru itu ialah Syarikat Kelantan Motors Credit (M) Sdn Bhd, Ban Chu Bee Sdn Bhd, Soons Seng Motors Enterprise Sdn Bhd.

Turut melabur ialah Charisma Positif (M) Sdn Bhd, Swee Chong Sdn Bhd, Sim Motors Workshop (KB) Sdn Bhd, Mentari Housing Sdn Bhd dan lain-lain lagi.

Sementara itu, Husam ketika berucap pada majlis yang sama memberitahu pihaknya menerima banyak tempahan para pelabur untuk mengambil bahagian melabur di situ.

Beliau turut berkeyakinan dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi, masalah kesesakan bandar ini akan selesai apabila siapnya pembangunan di situ.

“Kita juga yakin dalam tempoh lima tahun akan datang, Bandar Baru Tunjong akan jadi sebuah pusat pembangunan baru di Kota Bharu khususnya Kelantan,” ujarnya.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: