10 Jun 2010

Kerajaan negeri digesa pulihara alam sekitar

26 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Hashim Abdullah

TEMERLOH, 8 Jun: PAS Pahang menggesa kerajaan negeri memberikan perhatian secara fokus terhadap usaha pemuliharaan alam sekitar di negeri ini yang semakin tidak terkawal sehingga mengakibatkan berlaku penceamaran.

Gesaan itu dibuat dalam deklarasi yang dibacakan Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Dr Hamzah Jaafar sempena Sambutan Hari Alam Sekitar yang diadakan di Taman Esplaned Temerloh, kelmarin.Deklarasi mengandungi tiga perkara penting turut diedarkan kepada orang ramai bagi menimbulkan kesedaran penjagaan alam sekitar.

Deklarasi itu menggesa kerajaan mengekalkan dan memulihara warisan negara di Gunung Senyum dan kawasan sekitar yang berusia 240 juta tahun sebagai destinasi pelancongan sebagai peninggalan berharga untuk generasi akan datang.

“Cadangan pembangunan kilang simen di Gunung Jebak Puyuh yang bersebelahan dengan Gunung Senyum mestilah dibatalkan dan sebarang proses pembinaan yang berkaitan dengannya perlu diberhentikan dengan segera,” katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri perlu merencana dan mengambil tindakan proaktif dan serius bagi memastikan bekalan dan kualiti air di sepanjang lembangan Sungai Pahang tidak terjejas.

“Aktiviti pembalakan, pembangunan, perladangan dan proses perbandaran tidak terkawal dikenal pasti sebagai antara punca utama pencemaran air sungai.

Kelemahan kawalan dan penguatkuasaan terhadap industri pertanian dan pelancongan di hulu lembangan Sungai Pahang iaitu di Cameron Highlands dikhuatiri menyumbang kepada pencemaran ekstrem semua aliran sungai di Cameron Highlands dan kemudian mengalir ke Sungai Pahang.

“Kita juga mengesa kerajaan meningkatkan keupayaan pengurusan hutan terutama dari sudut pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang terutamanya bagi mengecah pembalakan haram dan pembukaan haram kawasan hutan,” kata Dr Hamzah.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: