10 Jun 2010

Rugi RM40 juta: Siasatan Kohilal selesai

26 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Salhan K Ahmad

Siasatan ke atas Koperasi Al-Hilal Bhd (Kohilal) yang kerugian hampir RM40 juta, sudah selesai, kata pengerusi lembaga Kohilal, Mat Samsudin Abdullah.Menurut beliau, Kohilal kini diletakkan di bawah lembaga pengurusan baru yang dilantik oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) - (dahulunya Jabatan Pembangunan Koperasi Malaysia) sejak 2007.

"Siasatan sudah selesai dan sekarang lembaga baru tumpukan untuk memulihkan koperasi," kata Mat Samsudin ketika dihubungi Malaysiakini semalam.Beliau berkata tumpuan tersebut termasuk aktiviti mempromosikan produk baru keluaran Kohilal.Ketika ditanya, Mat Samsudin bagaimanapun enggan mengulas aktiviti pelaburan yang didakwa menyebabkan Kohilal mengalami kerugian berjumlah hampir RM40 juta itu.

“Siasatan sudah selesai dan lembaga baru yang menguruskan (Kohilal) sekarang. Jadi tidak adil bagi saya untuk memberi komen sekarang kerana semua itu berlaku dalam lembaga dahulu,” katanya.

Ditanya lanjut, beliau juga enggan mendedahkan hasil siasatan yang dilakukan oleh suruhanjaya berkenaan.

“Hasil siasatan itu ada pada mereka. Tidak adil (kepada ahli lembaga terdahulu) jika saya dedahkan,” katanya lagi.

Isu ini kembali mencuri perhatian susulan laporan akhbar Utusan Malaysia semalam berhubung dakwaan skandal berkenaan.

Laporan itu menyebut, presiden Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali akan membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan “penyelewengan pengurusan” yang berlaku sejak 2001.

Ibrahim dilaporkan telah menyedia satu dokumen berhubung dakwaan skandal itu, yang didakwa berlaku dalam sebuah anak syarikat koperasi berkenaan Kohilal Holdings Sdn Bhd.

Memetik exco kerajaan Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, laporan hari ini, akhbar itu juga menyebut, kegiatan Kohilal kini "dibekukan buat sementara waktu."

Dalam pada itu pula, lidah rasmi PAS memetik Mohd Amar sebagai berkata, Kohilal sedang "memperbaiki pengurusan baru untuk membuat perubahan dalam koperasi itu agar ia pulih semula."

Beliau juga berkata, Kohilal tidak perlu memberi penjelasan kepada PERKASA memandangkan Ibrahim Ali tidak menganggotai koperasi berkenaan.

Mohd Amar juga menepis dakwaan yang ditimbulkan Ibrahim, namun mengakui bahawa Kohilal sememangnya "mempunyai sedikit masalah."

“Kadang-kadang nasib kita baik, kita mencarum di tempat yang kebetulan ada rezeki yang baik untuk kita, kita akan mendapat keuntungan yang lebih. Jika tidak, inilah yang terpaksa kita tanggung,” ujarnya lagi.

Malaysiakini/-

2 ulasan:

Sadri berkata...

YB dan rakan2! Sebagai ahli berno:1399, adalah antara ahli yg terawal dalam kohilal w/pun ada yg awal lagi.
Saham saya boleh tahan tapi tak sampai 5 angka. Sebagai ahli yang tawad'duk ni.... kita byak redha aje ape yg berlaku.... tapi, pihak pengurusanpun....susah nak cakap. Kata orang SAPA YANG BISNES NK RUGI? Saya nampak puak2 kita ni...lemah dari segi pengurusan/failing/dokumentasi dll. Tu cita lama...harap2 skarang ni x belaku lagi la. Pengerusi kata dia sedng susun kerja.. ok la tu. Bagi la kepercayaan. Semua faham, keja kita ni amanah Allah je. Bejaya ke gagal ke...ditentukan matlamat akhirnya Allah Maha Esa. Ini tak bererti kita beserah bulat2 pada pengurusan. Harap2 deme buat yg terbaik la untuk ahli khasnya dan amnya untuk mu'amalat Islam sendiri. Sape yang sabo....alhamdulillah, sape yg merepek...muhasabah sendirilah. Harta yang kita ada, Allah SWT bagi pinjam je bukan hak mutlak kita....

Harap2 kome paham la ye?

Awanama berkata...

RM40 Juta adalah satu jumlah yang banyak "Kadang-kadang nasib kita baik, kita mencarum di tempat yang kebetulan ada rezeki yang baik untuk kita, kita akan mendapat keuntungan yang lebih. Jika tidak, inilah yang terpaksa kita tanggung,” ujarnya lagi. STATEMENT sebegini adalah tidak bertanggunjawab. Kerugian dapat dielakkan jika mempunyai pengurusan yang baik, dan segala kegiatan peniagaan diketahui akan risikonya sebelum membuat keputusan. "Amanah harus dipikul tanpa memperjudikannya".